Tuesday, September 21, 2010

Kelly duta acara berbasikal

PERAGAWATI Kelly Brook mengetuai ribuan peserta mengayuh basikal dalam acara London Sky Ride, baru-baru ini.

pix_middle



Kelly yang turut mengambil bahagian pada acara sama tahun lalu, dilihat tampil bergaya dengan basikalnya ketika memulakan kayuhan bersama Datuk Bandar London, Boris Johnson dan peserta Sukan Olimpik bagi acara lumba basikal, Sir Chris Hoy.

Pada awalnya, Kelly, 30, yang hadir dengan jeans ketat dipadan dengan baju mendedahkan dada serta tumit tinggi tampak kurang selesa ketika mengimbangi basikal untuk memulakan kayuhan.

Kelly yang dipilih sebagai duta bagi acara London Sky Ride itu diikuti ribuan peserta akan berkayuh sejauh 15 kilometer di jalan raya sekitar London.

Kelly yang ditolak beberapa petugas ketika memulakan kayuhan di hadapan Istana Buckingham mengetuai ribuan peserta lain daripada pelbagai peringkat usia yang menggunakan berbagai bentuk jenis basikal.

Ketika ditanya mengenai acara London Sky Ride itu, Kelly berkata: "Saya sudah menyertai acara ini tahun lalu dan memang berhasrat untuk mengambil bahagian lagi pada tahun ini."

"Saya gemar berbasikal kerana ia salah satu cara untuk saya kekal cergas. Perkara paling menarik dalam acara ini ialah tidak kisah jika anda seorang amatur atau pengayuh berpengalaman, acara ini sesuai untuk semua peringkat usia dan kemampuan," kata Kelly.

Walaupun Johnson dan Hoy menunjukkan contoh yang baik kepada peserta lain apabila memakai topi keledar, namun Kelly tidak memakainya kerana tidak mahu merosakkan rambutnya yang kemas diikat seperti ekor kuda.

Aktiviti lasak nyata tidak menjejaskan penampilan Kelly kerana biarpun dia kelihatan letih, wajahnya tetap menawan dan tidak hairanlah agensi peragaan New York, One Management mengambilnya untuk menyertai mereka.

Kelly dikatakan akan menyertai peragawati seperti Claudia Schiffer, Helena Christensen, Eva Herzigova dan Lizzy Jagger yang menjadi terkenal sebaik menyertai agensi peragaan terkemuka itu.

Menurut seorang rakannya, Kelly sangat teruja kerana dapat menyertai agensi peragaan berkenaan.

"Kelly akan ke New York untuk menyertai minggu fesyen di sana dan dia amat berharap semuanya akan berjalan lancar. Siapa tahu penampilannya itu akan mengubah seluruh kehidupannya kelak?," kata rakan Kelly.

Tawaran menyertai agensi peragaan One Management bagaikan batu loncatan buat Kelly yang berusaha keras untuk menaikkan namanya selepas berlakon dalam filem
seram Piranha:3D.

Kelly juga semakin diminati ramai di Amerika Syarikat sejak muncul sebagai gadis penghias muka depan majalah Playboy untuk bulan ini. Dia dilaporkan menerima bayaran STG340,000 (RM1.36 juta) untuk penampilannya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: