WALAUPUN 10 pingat emas menjadi sasaran utama pada Sukan Komanwel di New Delhi bulan depan, atlet negara yang memikul tugas pada temasya itu diharap dapat menambah beberapa butir lagi kilauan emas sekali gus menyamai pencapaian cemerlang seperti dilakukan kontinjen Sukan Sea di Laos tahun lalu.
MALAYSIA BOLEH...Shabery (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Abdul Halil di IOI Resort, semalam.
Katanya, pada Sukan Sea di Laos, walaupun pada awalnya sasaran kutipan emas antara 30 hingga 35 sahaja, namun atlet negara berjaya meraih 40 kilauan emas dan semangat seperti itulah yang diharapkannya dapat dicontohi setiap atlet negara ke New Delhi.
“Di India ketika ini kita mendapat berita ada atlet mereka berdepan dengan masalah ujian doping dan ini membuka peluang yang luas kepada atlet negara.
“Begitu juga yang berlaku kepada Chris Hoy (pemenang tiga emas Sukan Olimpik di Beijing) yang dikatakan tidak dapat menyertai Sukan Komanwel atas sebab tertentu sekali gus ia turut memberi peluang kepada pelumba kita iaitu Azizulhasni Awang,” katanya ketika ditemui pada majlis Penyerahan Jalur Gemilang sempena temasya Sukan Komanwel di Putrajaya, semalam.
Antara yang turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar, Chef de Mission Sukan Komanwel, Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkeples Embong.
Atlet boling padang negara, Siti Zalina Ahmad terpilih selaku pembawa bendera pada upacara pembukaan 3 Oktober ini. Seramai 201 atlet serta 95 pegawai akan berkampung di New Delhi sehingga 14 Oktober ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai satu kumpulan militan yang dilaporkan membuat ancaman untuk melakukan serangan ke atas temasya Sukan Komanwel yang bakal membuka tirainya kira-kira dua minggu lagi, Ahmad Shabery berkata, pihaknya tidak memandang remeh mengenai ancaman terbaru itu sebaliknya beliau sendiri akan membawa perkara itu ke kabinet untuk dibincangkan.
“Sehingga kini saya yakin ancaman ini dapat di atasi oleh kerajaan India. Disamping itu kita juga mengambil kaedah berjaga-jaga dalam soal ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: