KEINDAHAN pelamin yang tersergam mewah tentunya menarik perhatian tetamu. Ditambah pula penggunaan warna menawan serta perhiasan moden, menjadikan singgahsana tarikan utama dalam sesebuah majlis perkahwinan.
BESAR...penggunaan kerusi besar dengan gaya hiasan sederhana menjadi pilihan pengantin yang ingin tampil mewah pada hari persandingan.
Menurut pemilik Sri Angsana Caterer yang terletak di Ampang, Selangor, Nurulhuda Yaacob, dia menyerahkan kepada pelanggan bagi menentukan konsep pelamin yang diinginkan. Daripada situ, Nurulhuda bersama pereka pelamin akan merealisasikan impian mempelai dengan memastikan pelamin serasi dengan busana dipakai mereka.
"Warna pelamin biasanya mengikut tema perkahwinan. Namun, warnanya tidaklah harus sama dengan pakaian kerana ini akan menenggelamkan kecantikan dan ketampanan mempelai. Sekiranya pengantin berpakaian terang, pelamin haruslah berwarna kontra.
"Kini majlis perkahwinan banyak berkonsepkan dua warna, misalnya merah jambu dan hitam, hitam dan merah serta jingga dan hitam. Ini memudahkan pemilihan warna untuk pelamin kerana boleh disesuaikan mengikut warna pakaian," katanya.
Selain itu penggunaan bunga-bungaan segar seperti mawar memperindahkan lagi singgahsana. Tidak kira sama ada perkahwinan di taman atau di dewan.
Namun sekiranya mempelai inginkan bunga segar menghiasi pelamin, kerja menghias pelamin harus dilakukan sehari sebelum majlis berlangsung.
Ini bagi memastikan kesegaran bunga berkekalan.
Bagi mempelai yang inginkan tema moden dengan pakaian gaun, selain bunga, pelamin akan dihiasi kristal serta lampu bagi menyesuaikan pelamin dengan konsep moden.
"Penggunaan kristal serta juraian lampu yang tidak keterlaluan akan menjadikan pelamin indah dipandang. Lebih menarik apabila mempelai melangkah duduk di atas pelamin, ketika itu seri wajah akan terserlah menerusi gabungan rona pakaian dan hiasan pelamin," jelas Nurulhuda yang akan memastikan harga tidak meningkat.
Sebolehnya dia akan mengurangkan kos untuk bahagian lain.
Sebaiknya pasangan perlu membuat tempahan enam bulan sebelum tarikh perkahwinan. Ini bagi memastikan jenis pelamin diinginkan masih ada di dalam stok. Sekiranya terlewat dikhuatiri mereka tidak dapat pelamin impian mereka.
Selain pelamin, Sri Angsana juga menyediakan semua keperluan lengkap yang diperlukan pengantin termasuk, pakaian, solekan, khemah dan katering pada harga yang sangat berpatutan.
Menurut Nurulhuda, kebanyakan pelanggan bertanya mengenai pelamin dan meminta dia menyediakannya.
Pada mulanya dia menyerahkan kepada rakan yang menyediakan perkhidmatan itu, namun bertekad memulakannya selepas menerima maklum balas memberangsangkan daripada pelanggan.
Perniagaan keluarga yang dijalankan bersama suami Mohd Ashrin Alias bermula pada 1995, di Restoran Sri Angsana kemudian diperluaskan kepada penyediaan makanan istimewa Johor yang menjadi tarikan sejak 14 tahun lalu.
Resipi digunakan adalah resipi turun temurun daripada ayahnya sendiri iaitu nasi beriani, ayam masak merah, daging hitam Johor dan dalca buah. Pada Sabtu dan Ahad, Sri Angsana membuka kepada orang ramai untuk merasai makanan yang akan dihidangkan ketika majlis berlangsung.
"Setakat ini orang ramai meminati pakej katering disebabkan hidangan yang enak. Bagi memastikan rasa tidak berubah, bahan digunakan tetap sama walaupun berlaku kenaikan harga barang," jelasnya.
Menurut Nurulhuda, untuk berada seperti sekarang bukanlah semudah disangka. Ini kerana selain kerja keras, dia perlu memastikan perkhidmatan disediakan terkini mengikut peredaran semasa serta memenuhi kehendak ramai.
"Saya bermula dengan menjual burger, kemudian membuka kedai makan dan restoran di Taman Nirwana. Pada 1997 disebabkan kemerosotan ekonomi, saya membuka perkhidmatan katering dengan bantuan arwah ayah dan ibu. Oleh sebab itu walau apa juga masalah dan cabaran melanda saya tetap akan meneruskan perniagaan ini kerana ingin meneruskan semangat mereka," kata Nurulhuda yang sejak dulu meminati seni hias dan rekaan pakaian pengantin.
Atas usaha gigih ditunjukkan, Sri Angsana sudah mampu memiliki bangunan tiga tingkat yang digunakan sebagai tempat memasak dan bangunan menyimpan peralatan perkahwinan dengan kemudahan enam lori. Selain itu mereka menggunakan perkhidmatan 200 pekerja tambahan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan mengendalikan bahagian hidangan serta mengangkut barang.
Keseluruhan tenaga kerja bermula daripada bahagian pemasaran dan kewangan terdiri daripada keluarga Nurulhuda dan suaminya.
"Saya bersyukur kerana perniagaan ini mampu memberi peluang kepada ahli keluarga menceburinya. Pada masa hadapan, saya berharap dapat meluaskan lagi perniagaan ini dan menambah cawangan di negeri lain," katanya.
Untuk maklumat lanjut, boleh melayari laman sesawang http://sriangsanacaterer.blogspot.com.
boleh saya tahu harga pelamin bertiang besar tu berapa? tnpa pakej.. add saya di fb nora hila.. tq
ReplyDelete