|
|
Ketika mula mengarang artikel ini saya terfikir menu apakah yang ingin dikongsi bersama pembaca pada minggu ini. Lantas terfikir menu yang sangat bermakna dalam hidup dan karier saya iaitu ayam masak bunga kantan.
Sebenarnya untuk pengetahuan anda, menu inilah yang telah memikat hati juri sekali gus menobatkan saya menjadi juara rancangan Maggi Mencari Bintang anjuran Maggi yang disiarkan selama 13 episod di TV3 dua tahun lalu.
Sedikit maklumat tentang rancangan ini di mana ia berkonsep black box iaitu bahan-bahan utama yang akan dimasak telah diberi tanpa diketahui oleh peserta sehingga pertandingan bermula.
Dalam episod terakhir itu saya diberi dua bahan utama iaitu ayam dan bunga kantan. Bagi menguji tahap kreativiti setiap peserta, saya wajib memasak dua bahan itu dengan menggunakan produk-produk keluaran Maggi untuk dijadikan juadah dan perlu disiapkan dalam tempoh 30 minit.
Setiap peserta perlu berfikir cepat dan dapat mengawal tekanan dan emosi dalam menghasilkan suatu makanan yang lazat.
Dalam pertandingan ini cabarannya sangat besar kerana selain perlu fokus kepada pertandingan memasak saya juga perlu berkomunikasi dengan penonton di rumah.
Ayam masak bunga kantan yang saya cipta ini adalah idea yang datang secara tiba-tiba apabila saya mula melihat bahan-bahan itu semasa pertandingan bermula.
Bunga kantan atau nama saintifiknya etlingera elatior sangat terkenal dalam masakan. Bagi saya bunga kantan dan ayam memang sesuai digandingkan dalam makanan berkuah. Ia boleh dipelbagaikan dalam makanan yang boleh kita cipta.
Yang penting anda perlu kreatif. Bunga kantan yang masih belum kembang banyak digunakan dalam masakan tempatan seperti dijadikan perencah untuk membuat kuah laksa dan juga digunakan dalam masakan asam pedas sebagai pembangkit aroma.
Ia juga sesuai dicampurkan dalam makanan kering seperti kerabu yang dapat memberi rasa yang enak. Selain sebagai penambah bau dan rasa dalam makanan, bunga kantan juga mempunyai khasiatnya yang tersendiri.
Warnanya yang merah muda mengandungi bahan antioksida iaitu karotinoid yang baik untuk kesihatan. Antioksida yang terkandung dapat mengurangkan risiko seseorang untuk mendapat penyakit barah selain dapat mengekalkan awet muda.
Bunga kantan juga dikatakan mempunyai khasiat perubatan seperti mengubati luka. Air rebusan bunga kantan yang masih suam boleh digunakan untuk membasuh luka.
Telah terbukti bunga kantan mempunyai khasiat dan keunikannya yang tersendiri jadi cubalah resipi ayam masak bunga kantan yang saya kongsikan untuk juadah anda hari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: