Friday, September 24, 2010

Butik pengantin sehenti


Zaidi Osman berbangga dengan perniagaan dalam bidang perkahwinan yang diusahakannya.


Menjelang perkahwinan, setiap bakal pengantin pastinya pening kepala memikirkan segala kelengkapan yang perlu disediakan bagi memastikan majlis yang berlangsung sempurna daripada segala aspek.

Pasangan yang menggunakan perkhidmatan perunding profesional atau mengambil pakej perkahwinan, tentulah kurang membebankan fikiran kerana hampir keseluruhan keperluan akan dirancang, diatur dan disediakan pihak berkenaan.

Namun bagi pasangan yang ingin menyediakan segala persiapan dengan tangan sendiri mungkin demi kepuasan hati, inginkan kelainan dan mengurangkan kos, pasti gusar dan tidak senang duduk.

Justeru, kewujudan pusat kraf tangan perkahwinan dan kelengkapan andaman yang dilihat umpama syurga pengantin Dios Astana Bridal pastinya membantu meringankan bebanan bakal pengantin dalam melakukan persiapan perkahwinan.

Ditubuhkan sejak 2000, pusat milik syarikat Dios Flowers & Handicrafts Sdn. Bhd. itu menyediakan ratusan malah ribuan rekaan dan warna untuk kelengkapan dan keperluan perkahwinan.

Bermula daripada pakaian dan aksesori pernikahan, persandingan serta acara resepsi perkahwinan, Dios Astana Bridal turut menyediakan perkhidmatan penyediaan kraf tangan dan cenderahati kepada tetamu.

Memasuki kedai empat tingkat di ibu pejabat Dios Flowers & Handicrafts Sdn. Bhd., yang menempatkan Dios Astana Bridal di Taman Puchong Prima, Puchong, Selangor, membuatkan pengunjung rambang mata dengan kelengkapan perkahwinan yang disediakan.

Pemilik yang juga Pengurus Pemasaran Dios Flowers & Handicrafts Sdn. Bhd., Zaidi Osman berkata, visi penubuhan Dios Astana Bridal adalah untuk mengembangkan dan menjadi peneraju hebat dalam industri perkahwinan di Malaysia.

Jelasnya, sejak penubuhannya, syarikat itu mengkhususkan kepakaran dalam penyediaan cenderahati tetamu dan pakaian pengantin.

"Kami memiliki hampir 200 jenis cenderahati menarik dan unik dalam pelbagai rekaan serta warna pilihan untuk tetamu.

"Antaranya koleksi cenderahati daripada tembaga, kayu jati, rotan, bekas eksklusif, getah Eva, kotak kayu, kayu berukiran dan seramik.

"Kami turut menawarkan cenderahati dalam bentuk kipas dan gelas serta edisi tempahan khas seperti bakul, cawan, mini chrome, wedding rose dan rose chrome," katanya.

Zaidi berkata, bagi pakaian pengantin, syarikatnya menyediakan perkhidmatan jahitan busana dan kelengkapannya termasuk kasut bagi kegunaan pasangan raja sehari.

Ujarnya, apa yang istimewa mengenai Dios Astana Bridal, ia memberi pilihan kepada bakal pengantin untuk menentukan gaya atau corak pakaian mengikut cita rasa mereka atau berkongsi idea dengan pereka fesyennya yang berpengalaman.

"Selepas 10 tahun menempuhi pelbagai cabaran termasuk menyakinkan pembekal utama untuk terus menerajui dan mengukuhkan perniagaan ini, kini, kami melebarkan sayap dalam penyediaan koleksi produk.

"Ketika ini, kami turut menyediakan perkhidmatan perunding perkahwinan dan mak andam dengan menawarkan segala keperluan serta kelengkapan perkahwinan.

"Ia termasuk bermacam-macam rekaan busana, kasut, pelamin, aksesori, barangan kemas tiruan, kosmetik, set merenjis, rambut palsu, patung pakaian pengantin dan katalog untuk pengantin wanita dan lelaki," ujarnya.

Menurut Zaidi, pada masa depan, syarikatnya merancang menyewakan busana pengantin kepada bakal raja sehari kerana permintaan terhadapnya menggalakkan.

"Setakat ini, kami hanya menghasilkan busana pengantin dan menjualnya namun dalam tempoh terdekat, kami akan menawarkan busana secara sewa kerana ramai yang bertanya mengenainya.

"Pada masa sama, kami ingin menarik seberapa banyak francaisi di kalangan bumiputera untuk jenama Dios Astana Bridal bagi membantu golongan ini aktif dalam perniagaan.

"Di Malaysia, setahu saya masih belum ada perniagaan seperti ini yang dikenali secara meluas jadi saya ingin mewujudkan keadaan itu yang mana apabila mendengar sahaja Dios Astana Bridal, orang akan terus berfikir ia adalah perniagaan memfokuskan kelengkapan perkahwinan," katanya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: