Friday, September 3, 2010

Karya dua generasi


PHILIP menunjukkan sekeping lukisan gaya impresionisme Fook Liung yang mengingatkan tentang kehidupan di kampung halaman.


KEASYIKAN seorang kanak-kanak yang sibuk mengocakkan air kolam di tepi kerbaunya terlihat jelas pada wajahnya. Ekspresi itu menumpukan pusat pandangan di di tengah-tengah suasana sawah padi.

Selang beberapa keping lukisan pula, imej seorang ibu dan anak perempuannya cukup menarik perhatian. Kemesraan kedua-dua beranak itu memetik buah merupakan antara senario biasa yang dihadiahkan oleh sebuah kehidupan di kampung.

Pengalaman seperti itulah yang dilalui oleh Wong Fook Liung, 42 tahun. Pelukis berbakat besar kelahiran Johor Bahru, Johor itu secara spontan menterjemahkan keindahan kehidupan di Kampung Baru Plentong, Johor sewaktu zaman kanak-kanaknya ke atas ruang kanvas.

"Sebenarnya, saya lebih banyak menjadi pemerhati. Selain melukis apa yang dilalui sendiri, sebahagian pula merupakan pengalaman kawan-kawan dari kampung tersebut," katanya kepada Kosmo!.

Pemandangan yang cantik dan kehidupan suasana desa yang membahagiakan adalah cerita di sebalik himpunan karya impresionisme itu. Daripada sejumlah sembilan buah lukisan yang dipamerkan, lebihannya merupakan koleksi lukisan realisme.


FOOK LIUNG menggunakan strok-strok lukisan yang lebih halus dan teliti dalam hasil karya figura ini.


Hakikatnya, bapa kepada seorang anak itu berkata, dia tidak terlalu memikirkan tentang jenis dan latar era yang ingin dilukiskan. Sebaliknya, aspek yang lebih penting adalah gaya lukisan ringkas dengan strok asas.

"Dalam siri lukisan ini (yang bergaya realisme), figura-figura yang dilukis itu merupakan pelajar saya. Saya ingin mempelbagaikan gaya lukisan seperti ini pada masa akan datang," tambahnya yang teruja dengan pameran solo pertamanya itu.

Sebelum ini, graduan Diploma Seni Halus dari Kolej Seni Kuala Lumpur (KL) pada tahun 1989 itu telah beberapa kali mengambil bahagian dalam pameran secara berkumpulan.

Dalam pameran bertajuk East West Malaysian Art anjuran Galeri Artseni di Galeri Starhill, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur kali ini, Fook Liung merupakan salah seorang daripada dua artis berbeza latar belakang yang diketengahkan.

Graduan Universiti Kolej London (UCL) dalam jurusan Pengurusan, Reka Bentuk dan Perancangan Urban, Tan Su-Ann pula menampilkan hasil-hasil karya yang menjadikan subjek pelarian dan bunga sebagai fokusnya.

Kurator Galeri Artseni, Philip Wong menjelaskan, gaya lukisan Su-Ann pula menyuntik elemen-elemen kebaratan.

"Subjek pelarian pilihan Su-Ann amat rapat dengan jiwa dan statusnya sebagai seorang sukarelawan di kota Mexico.

"Lukisan yang dicalit dengan rona monokrom itu merupakan caranya bereksperimen dengan warna-warna terhad bagi meluahkan inspirasi asas hasil karyanya," jelas Philip tentang gadis berusia 22 tahun itu.


WARNA-WARNA monokrom menyerlahkan hasil karya kreatif Su-Ann.


Lebih penting, konsep pameran solo dua dalam satu itu mengetengahkan dua pelukis dengan jurang usia yang sangat berbeza.

Sambil menyifatkan hasil karya Su-Ann bergaya ekpresionisme dan kontemporari, percubaan anak kelahiran Kuala Lumpur itu menyuarakan mesej-mesej kemanusiaan dianggap amat berani. Justeru, adalah sia-sia jika audiens tidak mengambil peluang untuk melihat sendiri hasil karya yang dipamerkan sejak 5 Ogos lalu dan akan berakhir 5 September ini.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-2144 0782 atau emelkan soalan anda ke alamat pwartseni@gmail.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: