
RUANG dewan Restoran Bora Ombak pada tarikh 8 Ogos lalu penuh dengan hadirin yang tidak sabar menantikan persembahan istimewa yang menampilkan penari-penari hebat.
Ramai yang tertanya-tanya, bagaimana agaknya hasil latihan yang diadakan selama seminggu sebelumnya. Meskipun memenatkan, latihan itu penting untuk memastikan penonton terhibur dengan aksi lincah mereka.
Lalu muzik pun dimainkan. Sekumpulan penari cilik berpakaian putih masuk ke ruang pentas. Bersama solekan ceria pada wajah dan rambut yang didandan rapi, mereka dilihat penuh yakin mengatur langkah tari mengikut alunan muzik rancak lagu Waka Waka nyanyian Shakira dan lagu Bad Romance nyanyian Lady Gaga.
Terkesima seketika apabila hadirin melihat kelincahan kanak-kanak seawal usia lima tahun ke atas itu. Begitu yakin mereka mengatur langkah tari tanpa silap. Lebih penting, di hadapan hadirin yang teruja, kanak-kanak tersebut tidak berasa malu, takut atau gugup.
Dalam kumpulan penari cilik perempuan tersebut, hadirin turut tertumpu kepada satu-satunya kelibat kanak-kanak lelaki.
Terdetik di hati tentang kesanggupan kanak-kanak itu tampil membuat persembahan di hadapan hadirin yang jauh lebih berusia daripada mereka.
Bukankah jarang ditemukan kanak-kanak yang mempunyai keyakinan seumpama itu. Apakah rahsianya?
Jawapan kepada pertanyaan itu sebenarnya sudah terpampang di hadapan mata hadirin pada ketika itu.
Potensi diri

Percaya atau tidak, belajar menari sahaja sudah mampu meningkatkan rasa yakin si cilik untuk tampil di hadapan khalayak.
“Masing-masing ada potensi untuk berjaya. Tidak sukar untuk mengajar mereka kerana mereka tahu apa yang mereka lakukan.
“Ibu bapa perlu terbuka dalam hal ini. Jangan halang anak untuk belajar menari kerana khuatir ia tidak menjamin masa depan. Tidak semestinya belajar menari untuk jadi penari atau belajar berlakon untuk jadi pelakon,” kata Que Haidar merangkap Penolong Kanan di Linda Jasmine Performing Art Studio.
Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar memberitahu, skil menari dan berlakon mampu mendidik kanak-kanak membentuk keyakinan diri sekali gus menjadi manusia yang berani dan tidak rendah diri.
“Walaupun sifat merendah diri itu bagus, tetapi ada waktunya seseorang perlu berani tampil ke hadapan terutamanya apabila berada dalam sektor pekerjaan,” kata pelakon berbakat itu ketika ditemui di Majlis Graduasi Penari Cilik Linda Jasmine Performing Art Studio.
Dalam pada itu, seorang tenaga pengajar studio tersebut, Dayana Ezrin Jamaluddin, 26, memberitahu, tidak sukar baginya untuk mengajar kanak-kanak menari kerana dirinya sukakan kanak-kanak.

“Walaupun kadangkala mereka sukar diurus, tetapi apabila menyentuh soal disiplin, mereka amat mematuhinya. Mereka juga mementingkan ketepatan masa.
“Mungkin orang di luar sana melihat mereka sekadar menari tetapi aktiviti ini juga baik untuk pembentukan sahsiah,” ujarnya.
Melihat pada bakat anak-anak buahnya itu, tidak mustahil suatu hari nanti mereka boleh menempa nama dalam industri seni kreatif yang pelbagai cabang.
Pada majlis tersebut juga turut dipersembahkan beberapa persembahan lain seperti tarian gelek, drama dan persembahan nyanyian.
Seorang suri rumah, Heriyati Bidin, 38, sempat berkongsi cerita tentang anaknya Nur Erissa Yasmine Johari, 9. Semenjak mengikuti kelas tarian kelolaan Linda Jasmine, anaknya itu semakin yakin apabila berhadapan dengan orang ramai.
“Kelas tarian ini bukan sekadar mengajar menari, malah ia merupakan satu platform buat anak-anak ini bergaul. Pada masa yang sama, mereka dipupuk semangat berpasukan dan setiakawan tanpa mengira kaum.
“Saya tidak pernah memaksanya menyertai kelas tarian ini kerana dia sendiri yang meminta untuk mengikutinya.
“Tetapi saya kenakan syarat agar dia membahagikan masa yang wajar untuk akademik,” katanya.
Peningkatan keyakinan Nur Erissa amat ketara. Siapa sangka, dalam usia cilik, pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Melawati itu boleh bertindak sebagai koreografer di sekolahnya.
Dia membimbing gerak tari rakan-rakannya dalam sebuah persembahan sempena sambutan Hari Guru di sekolahnya baru-baru ini.
Salah seorang ibu yang hadir, Asheeba Mad Aris, 60, pula menyifatkan pendedahan kanak-kanak terhadap kelas tarian adalah bagus kerana ia lebih baik daripada mereka melepak dan membuang masa.
![]() |
| KANAK-KANAK ini sudah tidak lagi malu beraksi di depan khalayak dan pada masa yang sama skil interaksi mereka semakin baik. |
“Anak-anak zaman sekarang tahu apa yang mereka mahukan. Maka, ibu bapa perlu menyokong minat mereka. Jangan sesekali memaksa anak melakukan sesuatu yang tidak disukai mereka.
“Ini bukan bererti ibu bapa mengikut telunjuk anak, tetapi ibu bapa perlu berikan kebebasan yang bersyarat supaya tidak menjejaskan waktu mengulangkaji pelajaran,” ujarnya.
Tambahnya, ibu bapa perlu memberikan anak mereka peluang dan jangan fikir sesuatu yang negatif setiap kali ada aktiviti menari dan menyanyi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: