
“EMAK suruh tinggal di rumah perlindungan supaya saya ada masa depan yang lebih cerah. Pada mulanya saya tidak mahu kerana masih ada adik-adik yang masih kecil di rumah. Tapi, kehidupan sangat susah.”
Demikian permulaan satu kehidupan baru buat Siti Nurhidayah Mahmud, 17, yang menetap di Rumah Perlindungan Rahoma Darul Fakir, Taman Melati, Kuala Lumpur sejak setahun lalu.
Biarpun agak terlewat untuk remaja seusianya diletakkan di rumah perlindungan berkenaan, dia akur dan reda sementelah tiga adiknya sudah ditempatkan di tempat sama lebih awal daripadanya akibat desakan hidup.
“Emak saya bekerja sebagai jurujual dan perlu menampung kami lapan adik-beradik. Sebab itu saya dan adik-adik lain terpaksa berjauhan tetapi kami masih berjumpa di sekolah setiap hari. Lama-lama, ia sudah menjadi kebiasaan,” jelas anak sulung daripada lapan adik-beradik itu.
Bercerita mengenai Ramadan, Nurhidayah selaku penghuni Rahoma Darul Fakir yang paling tua dan sebagai ketua mempunyai tanggungjawabnya sendiri. Dia bukan sahaja menjaga tiga adik kandungnya, tetapi seramai 22 ’adik-adik’ lain.
“Bulan Ramadan sangat bermakna buat kami semua kerana ketika ini rezeki melimpah ruah. Saat paling gembira adalah ketika berbuka puasa beramai-ramai dengan tajaan makanan daripada pelbagai pihak.

“Sebagai kakak, saya juga membantu mengejutkan adik-adik untuk bangun bersahur. Saya kini ibarat mempunyai dua buah keluarga dan saya sayangkan kedua-duanya,” katanya yang bercita-cita menyambung pelajaran ke luar negara.
Tambahnya, dia tidak akan melupakan rumah perlindungan berkenaan biarpun akan meninggalkannya tahun hadapan setelah umurnya genap 18 tahun.
“Saya juga berjanji akan selalu membantu golongan yang memerlukan sebagaimana saya dididik di sini,” ujarnya berjanji.
Siti Nur Adila Mahmud, 13, adalah adik kepada Nurhidayah tetapi dia sudah empat tahun menghuni rumah perlindungan berkenaan. Seperti kakaknya, dia juga berasa selesa dan seronok menjalani hidup dalam sebuah keluarga besar.
Makan sedap bulan Ramadan
“Saya tidak pernah makan di hotel,” katanya memberitahu kehidupannya sebelum menjadi salah seorang penghuni rumah perlindungan berkenaan. “Bulan Ramadan paling seronok sebab dapat makan sedap-sedap di hotel dan dapat duit raya,” luahnya jujur.
Menurut Nur Adila, walaupun sekadar menumpang kasih di rumah kebajikan, dia pasti berasa ralat untuk meninggalkannya suatu hari nanti.
“Pada mulanya, saya tidak mahu dan tidak gembira menjalani kehidupan di rumah kebajikan.
“Tapi sekarang, saya seronok tinggal di sini. Cuma ada masanya, saya teringin untuk berbuka puasa dengan emak dan adik-beradik di rumah sendiri,” tuturnya yang mengakui diselubungi rindu pada ibu kandungnya.
Sebagai antara penghuni terawal menetap di rumah perlindungan tersebut, Nur Adila kini tidak berasa terasing kerana di samping bilangan penghuninya yang semakin ramai, adik dan kakaknya juga ada bersama.
“Ustazah di sekolah ialah orang yang mencadangkan agar saya tinggal di rumah perlindungan. Beliau ada beritahu, mungkin masa depan saya lebih cerah kerana keperluan pelajaran saya lebih terjaga.

“Ketika itu, emak tidak yakin dengan cadangan tersebut, hinggalah ustazah saya berjumpa dengannya. Selepas itu barulah saya tinggal di sini sehingga sekarang. Emak ada juga datang melawat,” ceritanya petah.
Sementara itu, Fatehah Zakaria, 11, pula sudah tiga tahun menjadi penghuni Rahoma Darul Fakir. Katanya, dia seronok menjalani ibadah puasa di rumah berkenaan tetapi lebih gembira jika dapat bersama ibu tersayang, walaupun dalam serba kekurangan.
Bercerita kelebihan menjalani ibadah puasa di rumah perlindungan itu, Fatehah berkata, bulan puasa adalah peluang untuk menabung kerana banyak pihak akan menghulurkan sumbangan duit raya dalam majlis-majlis berbuka puasa yang mereka hadiri.
“Kami berasa gembira apabila memenuhi jemputan berbuka puasa tetapi semua duit raya akan disimpan di dalam bank untuk kegunaan pada masa hadapan,” katanya.
Fatehah menetap di rumah perlindungan berkenaan selepas dihantar ibunya yang mahu supaya dia dapat belajar bersungguh-sungguh dalam persekitaran yang lebih selesa.
“Selepas keluar dari sini, saya ingin menyambung pelajaran dan tinggal dengan emak,” janjinya.
Presiden Rahoma Darul Fakir, Datuk Faridah Omar Shah yang mesra disapa sebagai Umi oleh ‘anak-anaknya’ menetapkan disiplin yang ketat. Ia penting untuk mendidik kanak-kanak dan remaja di bawah jagaannya tentang kewajipan berpuasa.
“Di sini, semua penghuni wajib berpuasa penuh apabila mencapai usia 10 tahun. Tetapi, latihan awal berpuasa diberi sejak berumur lapan tahun,” jelasnya.
Pintu rezeki
Menurut Faridah, bulan Ramadan ibarat pintu rezeki yang terbuka luas kerana hampir setiap hari akan ada jemputan berbuka puasa di restoran atau hotel, atau sumbangan jamuan berbuka puasa oleh pihak-pihak tertentu.
“Boleh kata dalam sebulan berpuasa, 25 hari akan ada jemputan berbuka puasa. Kanak-kanak di sini juga sangat gembira kerana mereka bukan sahaja dapat menikmati makanan yang tidak didapati di rumah sendiri, malah mendapat banyak duit raya,” katanya.
Tambahnya, kasih sayang yang sama rata diberikan supaya tiada antara penghuni rumah perlindungan berkenaan yang rasa tersisih.
“Sama ada mereka anak yatim atau orang miskin, kegembiraan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri adalah sama sahaja.
“Saya dapat lihat walaupun sambutan raya di rumah perlindungan ini tidak sama dengan sambutan di rumah, namun apabila beramai-ramai, kesedihan itu seperti tidak terasa,” katanya.

Rahoma Darul Fakir menaungi seramai 35 orang termasuk 10 lagi yang masih tinggal dengan keluarga masing-masing tetapi diberi bantuan kewangan. Mereka adalah golongan miskin, anak yatim dan daripada keluarga bermasalah.
“Jumlah kanak-kanak dan remaja di bawah jagaan kami memang tidak sebanyak rumah perlindungan lain tetapi kami menitik beratkan keselesaan dan tumpuan pendidikan.
“Di sini, kami mahu mereka sedar bahawa mereka mempunyai tempat bergantung. Kami juga tidak mahu masalah keluarga diingati sehingga menyebabkan kesedihan,“ katanya.
Faridah mengakui, semua penghuni rumah perlindungan tersebut sudah dianggap seperti anak-anaknya sendiri dan berharap mereka akan menjadi manusia yang berguna dan berjaya dalam hidup.
“Selepas keluar dari rumah perlindungan ini, saya harap mereka juga dapat membantu kanak-kanak miskin lain sebagaimana mereka telah dikasihi dan diasuh,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: