
Namun hakikatnya, hingga ke hari ini masih belum ada jawapan dari pihak kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan tentang memorandum yang dihantar oleh Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), tentang pembantahan kedua ‘orang kuat’ itu sejak 14 April lalu.
Bagi Idham, perkara itu sememangnya memberikan kesan terhadap dirinya. Walaupun ‘dibantai’ rakan-rakan seperjuangan, namun ia tidak pula mematahkan semangatnya untuk terus berjuang, apatah lagi mahu menarik diri dari perbadanan itu.
“Sekarang, kita tunggu sahaja keputusan Kementerian dan saya tak berani nak buat apa-apa kenyataan selagi tak ada keputusan yang dibuat oleh kementerian.
“Selagi itu, saya akan tetap meneruskan kehidupan dan tugas saya di Finas seperti biasa,” kata Idham yang ditemui ketika majlis pra tonton filem arahannya, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, (JPBC2) di e@The Curve, Damansara Utama, baru-baru ini.
Idham turut meluahkan rasa kecewanya kerana apa yang dilakukannya untuk industri tidak pula dihargai. Dia yang sudah bekerja keras selama ini untuk mendapatkan tempat dalam perbadanan itu demi kepentingan bersama dikecam pula dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas.
Paling sukar diterima, apabila dia dituduh menggunakan jawatan yang ada untuk kepentingan sendiri.
“Saya benar-benar kecewa, bila saya bersusah payah mendapatkan kepercayaan pihak kementerian untuk penggiat filem, ada pula orang industri yang bantai saya.
“Tidakkah perkara ini hanya merugikan mereka sendiri, kerana ‘tapak’ itu sudah dibuka untuk kita penggiat filem uruskan sendiri perbadanan yang sememangnya menjadi tempat untuk kita majukan industri kita.
“Daripada orang lain yang tidak tahu apa-apa tentang filem dan industri, lebih baik kita orang industri sendiri yang menguruskannya. Bukannya saya ingin jadi ‘board’ untuk kepentingan sendiri, Tapi jawatan itu pun tak lama, paling tidak pun dua hingga tiga tahun dan selepas itu, orang lain pulalah yang ganti tempat itu,” kata Idham yang turut dikecam selepas ura-ura tentang pelantikannya sebagai Ketua Pengarah Finas tersebar luas.
Meskipun kecewa dengan apa yang berlaku, Idham, cuba melihat perkara itu dari sudut positif dan berharap apa yang berlaku ke atasnya dapat dijadikan pengajaran dan iktibar kepada seluruh penggiat seni.
“Bila jadi macam ni, saya harap orang industri dapat belajar. Jangan mudah buat tanggapan atau persepsi terhadap orang lain . Tak perlu buat konfrontasi atau aibkan orang dengan sewenang-wenangnya kerana itu adalah budaya yang tidak sihat. Berbincang adalah jalan yang terbaik,” kata pengarah Jangan Pandang Belakang dan Rem-pit.
Sedia lepaskan karier jika jadi KP
Menyentuh tentang desas-desus pelantikannya sebagai KP Finas, Idham nampaknya lebih selesa mengunci mulutnya.
Namun ketika persoalan itu dibangkitkan beberapa kali, Idham berkata, dia rela melepaskan segala karier dan kemasyhuran dalam industri sekiranya ditawarkan jawatan itu.
“Kita bukannya Tuhan yang boleh menunjukkan masa hadapan. Tapi sebagai manusia, kita juga tidak wajar menuduh atau membuat spekulasi sendiri sebelum sesuatu itu berlaku,” ujar Idham yang masih berteka-teki tentang perkara itu.
Selesa bekerjasama dengan David
Hubungan baik antara Idham dan David Teo mungkin menimbulkan rasa senang segelintir pihak sehingga ada yang mengecamnya. Dan tidak keterlaluan jika dikatakan, isu pembantahannya dalam finas itu juga disebabkan hubungan baiknya dengan produser kaya itu.
Tidak mahu mengambil pusing tentang perkara itu, Idham berkata, kejayaannya selama ini banyak dibantu David dan dia selesa bekerjasama dengan produser itu hingga ke hari ini.
“Bila saya dah berjaya jadi pengarah kerana David, ada orang mula tak senang. Tapi saya hairan, dulu masa saya cari peluang nak mengarah, tak ada produser yang sanggup nak beri peluang.
“Saya ada matlamat sendiri dalam industri. Saya bukannya selama-lamanya nak bekerja di bawah David. Saya pun dah ada produksi sendiri dan sudah terbitkan beberapa filem sendiri. Dengan produksi yang ada, kami akan cuba jalinkan usaha kerjasama untuk beberapa projek lain pula,” katanya.
Selepas kejayaan filem Jangan Pandang Belakang yang mencecah kutipan hampir RM8 juta dan Jangan Pandang Belakang Congkak, RM6.3 juta, pengarah prolifik ini tampil pula dengan buah tangan terbaru, yang juga merupakan sekuel terhadap Jangan Pandang Belakang Congkak 2 yang bakal ditayangkan di pawagam pada 7 Oktober ini.
Menyusul selepas itu, Cuti-Cuti Cinta, 21 Oktober dan Aku Masih Dara, 16 Disember.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: