|
|
AKTRES ini cukup dikenali dengan perwatakan yang ceria dan wajah comelnya yang sentiasa mengukir senyuman manis.
Malah, dalam setiap filem lakonannya, watak yang selalu dibawakannya cukup dekat dengan personalitinya yang sebenar.
Tidak hairanlah mengapa Drew Barrymore sering kali menjadi pilihan penerbit dan pengarah filem di Hollywood untuk membintangi filem romantik komedi.
Sebagai seorang aktres, Barrymore memang tidak dapat lari daripada memenuhi permintaan mereka yang mahukannya terus membawakan watak sedemikian.
Memulakan karier seninya seawal usia tiga tahun lagi, Barrymore yang satu ketika dulu dilabel sebagai remaja bermasalah Hollywood dengan pantas menjadi buah hati kesayangan Amerika.
Siapa yang dapat lupa wajah comel Barrymore membawakan watak Gertie dalam filem klasik arahan Steven Speilberg, E.T. the Extra-Terrestrial (1982).
Begitu juga dengan filem-filemnya yang lain seperti The Wedding Singer, Ever After, Never Been Kissed, Duplex, 50 First Dates, Music and Lyrics dan terbaru Going the Distance telah menguatkan lagi portfolionya sebagai seorang aktres.
Tetapi kata Barrymore, sepanjang 32 tahun menjadi anak seni, satu-satunya karya yang memberikan kepuasan maksimum kepadanya adalah Grey Gardens.
Baginya, bukan mudah untuk membawakan watak Edith 'Little Edie' Bouvier Beale yang benar-benar mencabar dirinya sebagai seorang pelakon.
"Sepanjang hidup saya sebagai seorang aktres, belum pernah saya mengkaji dan menelaah mana-mana watak dengan begitu mendalam sekali.
"Namun, apabila saya menerima tawaran membintangi Grey Gardens, bagaikan ada kuasa magnet yang menarik saya untuk mendalami watak Little Edie.
"Bagi saya, Little Edie bukan sembarangan watak kerana sepanjang kehidupannya, dia telah mengecapi kegembiraan yang membuat hidupnya bahagia.
"Tetapi, semua itu tidak lama apabila satu per satu musibah menimpa dirinya sehingga amarah semakin menguasai dirinya dan mendorongnya melakukan perkara yang dia sendiri tidak pernah melakukannya," cerita Drew dengan penuh bersungguh.
Grey Gardens yang diterbitkan oleh HBO Films itu merupakan kisah benar yang diadaptasi daripada sebuah filem dokumentari dengan judul sama diterbitkan pada tahun 1975.
Ia memaparkan kisah kehidupan anak-beranak yang memiliki nama serupa, Edith Ewing Bouvier Beale dan anak perempuannya, Edith Bouvier Beale. Untuk membezakan kedua-duanya, si ibu menggunakan panggilan Big Edie manakala anaknya pula digelar Little Edie.
Big Edie dan Little Edie bukan sembarangan individu kerana mereka merupakan ibu saudara dan sepupu kepada Jacqueline Bouvier Kennedy Onassis yang merupakan isteri Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy.
Kedua beranak itu tinggal di sebuah rumah agam 28 bilik peninggalan keluarga mereka yang dipanggil Grey Gardens sejak ia mula dibina pada 1897.
Namun, kehidupan mewah yang pernah dikecapi mereka satu ketika dulu mula berubah apabila Big Edie dan Little Edie kemudiannya hidup dalam serba kemiskinan dan mula menjauhkan diri daripada masyarakat.
Akibatnya, rumah mereka yang serba indah satu ketika dulu menjadi suram dan tidak terurus bagaikan rumah terbiar sehinggalah Little Edie menjualnya kepada bekas editor Washington Post, Ben Bradlee pada tahun 1979.
Menyambung bicara, Barrymore menjelaskan bukan mudah untuk dia mendalami dan menjiwai watak Little Edie sehingga dia sendiri mendaftarkan dirinya dengan mengikuti beberapa kelas.
Antara kelas yang disertainya adalah kelas bahasa dan tarian serta mentransformasi dirinya dengan memakai gigi palsu dan kanta lekap semata-mata mahu watak Little Edie memberikan kesan besar.
Apatah lagi, proses solekan dan tata rias memang cukup memeritkan apabila Barrymore perlu menadah wajahnya selama tiga jam sehari bagi menjelmakan Little Edie dari zaman mudanya sehinggalah ke akhir usianya.
"Bukan mahu mengangkat bakul sendiri, tetapi saya menanamkan disiplin yang tinggi untuk watak ini apabila selama tiga bulan menjauhkan diri daripada kawan-kawan saya.
"Malah, saya juga sanggup memadamkan BlackBerry dan komputer riba saya selama tempoh itu dengan hanya membaca buku, artikel dan keratan surat khabar tentang Little Edie.
"Saya melakukannya kerana mahu mencari punca mengapa Little Edie menyisihkan dirinya daripada masyarakat dan begitu terdesak mencari kebebasan daripada terus dibelenggu kesepian yang dialaminya.
"Jika saya tidak berbuat demikian, sukar sekali untuk saya mencari jawapannya. Selepas melakonkan watak ini, barulah saya tahu mengapa Little Edie bersikap demikian," katanya yang menonton filem dokumentarinya terlebih dahulu untuk mendapatkan gambaran sebenar.
Keberkesanan lakonan Barrymore telah membuahkan hasil apabila dia dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik untuk dua anugerah berprestij iaitu Golden Globe dan Screen Actor Guild tahun lalu.
Malah, Barrymore turut dicalonkan untuk Anugerah Emmy namun tewas kepada Jessica Lange yang memenanginya untuk wataknya sebagai Big Edie.
Aktor Ken Howard yang memegang watak sebagai Phelan Beale pula dianugerahkan dengan trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Selain itu, Grey Gardens juga menerima 17 pencalonan Emmy dan memenangi enam daripadanya termasuk Filem Televisyen Terbaik serta tiga anugerah teknikal yang lain.
Pelakon lain yang membintangi Grey Gardens ialah Jeanne Tripplehorn sebagai Jacqueline 'Jackie O.' Kennedy Onassis, Kenneth Welsh (Max Gordon), Arye Gross (Albert Maysles), Daniel Baldwin (Julius 'Cap' Krug) dan Malcolm Gets (George 'Gould' Strong).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: