|
|
SAAT menyaksikan kehebatan filem-filem berunsur futuristik terbitan Hollywood seperti filem Transformers, pasti ada yang tertanya-tanya bilakah industri filem tempatan mampu menghasilkan sesuatu yang gah sebegitu.
Tidak dinafikan ada beberapa produksi pernah hadir dengan filem sebegitu, menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) supaya kesan robotik itu kelihatan benar.
Namun, ia seakan masih tidak cukup setara dengan teknologi terkini yang sebenarnya boleh membuat filem lebih dari itu.
Menyahut cabaran itu, Flare Studio Sdn. Bhd. (FSSB) yang sebelum ini sudah menghasilkan bidang animasi berjudul Muhammad - Utusan Terakhir hadir dengan filem bercorak fiksyen dan robotik yang berjudul Mantera.
Filem Mantera yang mengisahkan seorang anak muda yang mempunyai kuasa luar biasa turut mendapat kerjasama syarikat antarabangsa seperti Spacetoon International.
Mantera bermaksud Manusia Jentera atau Man Transformable Exo-Robotic Armor. Ia membabitkan perselisihan dua kumpulan robotik seperti mana cerita Transformers dan Iron Man.
Mempertaruhkan dua wajah yang masih baru dalam industri perfileman tanah air sebagai tunjang utama iaitu Tomok dan Shiqin Kamal, filem ini kini menjalani proses pasca produksi membabitkan penggunaan imej janaan komputer (CGI).
Pemenang musim ketiga One In A Million (OIAM) ini yang memegang watak hero yang bernama Azman dan Syiqin, artis baru yang membintangi filem Lagenda Budak Setan pula menjadi heroin filem ini iaitu Deena.
Disamping itu, filem ini juga dibarisi oleh pelakon-pelakon tempatan yang lain seperti Faezah Elai, Yang Kassim dan Jayson Lee.
Menurut Ketua Pegawai Perhubungan dan Komunikasi FSSB, Khairul Anuar Md. Ariff, filem ini menjalani penggambaran sebanyak 40 peratus di luar negara iaitu di Dubai dan Rusia serta turut dibintangi oleh para pelakon antarabangsa.
Antaranya ialah seperti Wael Al-Masri dari Dubai, Ayman, Mikhail Dorojkin, Saide Dashuk-Nighmatulin, Daria Markova (Russia) dan penyanyi pop Ukraine serta pemenang Ms. World 2008, Natalya Shmarenkova @ Kamaliya.
Kos penggambaran di Dubai dan Rusia, sebahagian besarnya telah ditanggung oleh Spacetoon International iaitu rakan kongsi FSSB untuk filem Mantera.
"Kami bernasib baik kerana ada syarikat antarabangsa seperti Spacetoon International yang berminat menjalinkan kerjasama untuk membangunkan filem Mantera ini.
"Filem arahan Mohd. Aliar Ally ini juga menggabungkan teknologi perfileman Rusia dan hanya melibatkan 20 peratus CGI sahaja.
"Menariknya lagi, filem ini turut akan ditayangkan di 38 buah negara di sekitar negara-negara di Asia Barat, Asia Timur dan Eropah Timur," kata Khairul Anuar.
Tomok jadi robot
Melihat perjalanan karier seni anak muda ini, memang tidak dapat dinafikan dia sudah mengukuhkan namanya di bidang nyanyian.
Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail sudah cukup selesa dengan gelaran penyanyi popular sejak dia menganggotai kumpulan New Boyz dulu lagi.
Tapi seakan tidak puas dengan pencapaiannya dalam dunia seni, Tomok mengembangkan sayapnya dalam bidang lakonan.
Cubaan pertamanya bukan calang-calang apabila dia diberikan kepercayaan untuk memegang watak utama di layar lebar malah turut berpeluang untuk berlakon filem yang bertaraf antarabangsa.
Tomok memegang watak sebagai Azman yang secara tidak sengaja memiliki 'super power' melalui sut Mantera.
Ujar Tomok, dia bukannya memilih kerana status filem antarabangsa untuk aksi sulungnya ini tetapi kerana tertarik dengan jalan cerita filem ini yang ke arah futuristik.
"Cabaran memang banyak kerana saya memang amat baru dengan dunia lakonan tetapi dengan tunjuk ajar krew filem ini, saya yakin lakonan saya boleh lakukannya," Tomok berkongsi pandangan mengenai pengalaman sulungnya di layar perak.
Antara cabaran yang diharungi Tomok ialah perlu berlakon seorang diri di depan skrin hijau untuk tujuan CGI kerana perlu membayangkan benda yang tidak ada ketika itu.
"Sebelum penggambaran, kami ada sesi latihan malah saya turut menyertai kelas silat untuk watak saya ini.
"Banyak pengalaman berharga yang saya timba tambah-tambah apabila berlakon dengan pelakon luar negara dan dalam masa yang sama kita dapat melihat cara kerja mereka," ujar Tomok yang bakal hadir dengan album solo pertamanya bulan Oktober ini.
Tambah Tomok, Mantera bukanlah filem terakhirnya kerana dia semakin bersemangat apabila dipertanggungjawabkan untuk membawa watak yang penting sebegini.
Syiqin ganti Lisa
Jika diingat kembali sidang akhbar Mantera yang pernah diadakan tahun lalu, pasti ramai yang masih ingat yang Lisa Surihani merupakan heroin yang sepatutnya bergandingan dengan Tomok.
Namun, atas sebab tertentu, Lisa terpaksa menolak tawaran ini dan setelah menjalani uji bakat sekali lagi, pelakon baru, Syiqin Kamal terpilih menggantikannya.
Biarpun Syiqin masih terlalu baru di gelanggang pefileman, namun semua watak yang pernah diberikan kepada Syiqin atau nama sebenarnya, Nur Ashiqin Mohd. Kamal ini watak utama.
"Saya rasa saya agak bertuah kerana sentiasa diberi peluang membawa watak utama walaupun tiada pengalaman sebelum ini.
"Watak saya sebagai Deena dalam filem ini merupakan pelajar genius dan saya pula kebetulan memang sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dalam bidang Diploma Sains Aktuari.
"Mungkin kerana perawakan saya kelihatan seperti seorang pelajar yang serius memberi peluang kepada saya untuk mendapat watak ini," kata Syiqin lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: