Tuesday, September 7, 2010

Ramadan, Bulan Anak Yatim ‘Hidup Mewah’

Golongan anak yatim sentiasa diberi perhatian terutamanya oleh pemimpin negara dan juga organisasi kerajaan dan bukan kerajaan di sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan.

ANAK-ANAK yatim paling sibuk sepanjang Ramadan berbanding bulan-bulan lain. Bukan dengan aktiviti ibadah dan kerohanian, sebaliknya memenuhi jemputan majlis berbuka puasa bermula hari pertama sehinggalah malam terakhir menjelang Syawal.

Sebagai makluman, syarikat korporat atau orang persendirian yang berhajat menjemput anak-anak yatim menghadiri majlis berbuka puasa perlu menghantar surat permohonan kepada rumah kebajikan berkenaan terlebih dahulu.

Ini bagi mengelak percanggahan tarikh memandangkan jadual padat rumah-rumah anak yatim memenuhi undangan berbuka di sana sini termasuk sebagai undangan khas golongan VIP, Perdana Menteri malah tetamu diraja dan Yang Di-Pertuan Agong!

Menurut Warden Rumah Anak-Anak Yatim Darul Kifayah, Mohd Azwan Othman, selepas menerima surat permohonan daripada penganjur, pihaknya akan memberikan tiga pilihan tarikh berbeza untuk memastikan kelapangan jadual kedua-dua pihak.

“Kadang-kala kami terpaksa menghampakan beberapa undangan disebabkan jadual yang terlalu padat. Setiap hari ada sahaja majlis berbuka puasa,” katanya sambil menambah, sekurang-kurangnya RM20,000 hingga RM30,000 disumbangkan kepada rumah kebajikan itu - untuk satu majlis sahaja.

Mohd Azwan Othman

Manakala anak-anak yatim lazimnya diberikan sumbangan duit raya sebanyak RM50 hingga RM100 sebagai duit kocek memandangkan turut menerima pakaian dan kelengkapan seperti kasut, tudung dan songkok daripada pihak-pihak lain pula.

Tanggungjawab sosial korporat

Sebelum majlis bermula, wakil penganjur berucap ringkas mengenai hasrat mereka meraikan anak-anak yatim sebagai tanggung jawab sebagai badan korporat kepada masyarakat, khasnya golongan kurang bernasib baik.

Walaupun demikian, senario di kebanyakan majlis seumpama ini adalah, tetamu kehormat dihidang oleh pelayan bankuet manakala anak-anak yatim yang ‘diraikan’ tadi terpaksa beratur dan menunggu giliran bersama para jemputan lain di meja bufet.

“Kami cuba menempatkan VIP di meja-meja berlainan supaya mereka boleh bergaul dengan anak-anak yatim serta melayani mereka.

“Harapnya ini dapat mengelak tanggapan bahawa anak-anak yatim tidak dipedulikan pihak penganjur,” kata Timbalan Naib Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel), Prof. Dr Anwar Ahmad.

Beliau yang ditemui di Shah Alam baru-baru ini berkata, tujuan pihaknya mengundang anak-anak yatim adalah sebagai memenuhi fadilat beramal jariah di bulan mulia ini di samping membangkitkan keinsafan di kalangan para penuntut Unisel.

Dr Anwar juga berpendapat, sifat pemurah dan mudah bersimpati di kalangan rakyat Malaysia menyumbang kepada peningkatan anjuran majlis-majlis berbuka puasa untuk golongan fakir miskin.

Beliau mengakui, dalam kesibukan beramal jariah di bulan Ramadan, banyak pihak menjadi terlalu ghairah sehingga berbelanja mewah dan berlebih-lebihan sehingga terlupa tujuan sebenar untuk bersedekah.

Erti Ramadan

Sayang sekali, kemewahan rezeki yang melimpah-ruah sepanjang bulan Ramadan ini secara perlahan-lahan mengikis jati diri anak-anak yatim bernasib malang sehingga ramai di antara mereka alpa tentang nikmat berpuasa yang sebenar.

Lebih-lebih lagi di ibu negara apabila menghadiri majlis-majlis berbuka puasa di hotel, contohnya, anak-anak yatim kelihatan ‘mewah’ apabila dipakaikan baju melayu dan kurung sedondon daripada fabrik berkualiti berbanding ‘apa yang termampu’ seperti sebelumnya.

Nurul Anisatul Laiyinah

Salah seorang penghuni rumah anak-anak yatim, Nurul Anisatul Laiyinah, 11, berkata, dia paling seronok berbuka puasa kerana berpeluang menjamu selera di hotel terkemuka setiap hari sepanjang Ramadan.

“Lepas makan, selalu dapat hamper, kuih raya, duit raya. Semua bawa balik kampung untuk mak,” katanya.

Sementara Khairun Najihah, 11, pula teruja kerana baru pertama kali merasai suasana berbuka puasa secara mewah tanpa henti sejak bermulanya 1 Ramadan.

“Tahun lepas saya masih dengan keluarga, tapi sebab kami orang susah, saya dihantar ke Rumah Penyayang Hembusan Kasturi, Klang,” katanya yang sebulan sekali dihantar pulang ke rumah keluarganya di Cheras.

Bagi Mohd Jundullah Zairi, 9, Ramadan paling seronok baginya kerana sudah pandai puasa penuh sejak berusia 6 tahun. Katanya, ibu yang mengajarnya berpuasa kerana katanya “Orang lelaki mesti puasa penuh,”.

Mohd Jundullah Zairi.

Apabila ditanya mengenai duit raya, dia termenung panjang. “Tak banyak, semua mak simpan untuk beli baju raya,” jawabnya pendek.

Biar apa jua niat dan sejauh mana keikhlasan pihak penganjur ‘meraikan’ anak-anak yatim pada bulan yang penuh keberkatan ini, namun bagi golongan kanak-kanak kurang bernasib ini, realitinya sama sahaja.

Menjelang tamatnya Ramadan, mereka akan dilupakan semula sehinggalah ia muncul semula di tahun hadapan di mana anak-anak yatim sekali lagi menjadi tetamu jemputan istimewa memeriahkan majlis-majlis bertaraf lima bintang di seluruh negara.

1 comment:

  1. Bagi golongan yang berada.....dampingilah anak-anak yatim sepanjang masa untuk membersih dan memberkati harta kita.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: