Saturday, September 25, 2010

Mampukah mereka menyinar?


NUR Ayuni mempu lakukan kejutan.


Akuatik

Berdasarkan aksi perenang dan penerjun negara di Sukan Komanwel, Malaysia mula mencipta nama di Manchester pada 2002 melalui Alex Lim Keng Liat yang pernah memenangi pingat perak dan gangsa.

Selepas itu ia Yeoh Ken Nee menghadiahkan pingat perak di Melbourne 2006, kali ini akuatik dilihat mampu meneruskan tradisi pungutan pingat dengan menyandarkan harapan kepada penerjun wanita, Pandelela Rinong Pamg dan Leong Mun Yee.

Berdasarkan senarai nama yang telah dikeluarkan Ken Nee akan kembali semula dengan ditemani oleh penerjun yang tidak kurang hebatnya, Bryan Nickson Lomas bagi kategori lelaki.

Sementara itu nasib renang berada di bawah Khoo Cai Lin, Daniel Bego yang menyerlah di Sukan SEA 2009 Laos.

Memanah

Tidak ada lagi gandingan tiga serangkai Muhammad Marbawi Sulaiman, Cheng Chu Sian dan Wan Khalmizan Abd. Aziz, hanya Chu Sian seorang sahaja akan menggalas cabaran negara di New Delhi selepas Marbawi mengambil keputusan untuk bersara dan menjadi jurulatih.

Sementara Wan Khalmizan tidak tersenarai untuk skuad kali ini, namun Chu Sian dilihat tidak menghadapi masalah untuk sekurang-kurangnya menghadiahkan satu pingat buat negara menerusi kategori individu. S. Anbarasi pula akan mengetui pemanah wanita dalam misi yang amat sukar.

Olahraga

Tumpuan diberikan seluasnya kepada dua atlet yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Beijing 2008, Lee Hup Wei dan Roslinda Samsu, walaupun dilihat bakal mendapat cabaran daripada atlet Kanada, England dan Australia mereka juga tidak mustahil untuk meraih pingat.

Hup Wei yang merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan lompatan 2.27 meter sudah tentu akan memberi cabaran kepada atlet daripada Britain yang menyinar di Beijing dua tahun lalu. Roslinda pula yang memegang rekod kebangsaan 4.40 meter tidak jauh catatanya daripda atlet Kanada, Australia, Britain di peringkat kelayakan Sukan Olimpik Beijing.

Menembak

Kehadiran penembak muda dilihat bakal membuka lembaran baru buat skuad ini, setidak-tidaknya mengatasi pencapaian empat tahun lalu satu perak dan empat gangsa, Bibiana Ng dan Joseline Cheah sekali lagi diletakkan harapan meraih pingat.

Tidak ketinggalan penembak yang beraksi di Sukan Olimpik Beijing, Hasli Izwan Amir Hasan yang diharapkan dapat menukar warna pingat gangsa kepada perak atau emas dalam acara 25 meter rapid fire pistol.

Penembak lain seperti Nur Suryani Mohamed Taibi, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, Shahera Rahim Raja dan Siti Nur Masitah Mohd. Badrin juga tidak harus diketepikan begitu sahaja kerana mereka mempunyai peluang untuk menyinar.

Badminton

Datuk Lee Chong Wei, gandingan beregu Koo Kien Kiat - Tan Boong Heong hanya perlu melepasi saingan England dan India untuk meraih pingat emas Sukan Komanwel New Delhi, namun bagi wanita pula jika Wong Mew Choo mampu beraksi konsisten dia dilihat mempunyai peluang cerah meraih emas.

Bagaimanapun pemain wanita negara harus membuka mata dengan kehadiran skuad India yang semakin memuncak melalui pemain Sania Nehwal, Jwala Gutta dan Aditi Muttatkar. Pengalaman harus menjadi kayu pengukur antara Malaysia dan India.

Hoki Lelaki

Pingat perak di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dan pingat gangsa di Melbourne 2006, skuad hoki bimbingan Stephen Van Huizen masih mempunyai harapan untuk mengulangi pencapaian di kedua-dua temasya tersebut walaupun tidak lagi bergantung kepada pemain senior seperti S. Kuhan, Chua Boon Huat dan Keevan Raj.

Skuad kali ini dilihat lebih bertenaga dengan muka baru dan diadun bersama pemain berpengalaman tetapi tidak terlalu berusia. Cabaran sengit sudah tentu akan diberikan oleh Australia, Pakistan, India dan England.

Boling padang

Tidak keterlaluan untuk mengatakan ia adalah lubuk emas buat Malaysia dengan kehadiran beberapa pemain berpengalaman, boling padang mampu membantu kontinjen negara mencapai sasaran 10 pingat emas.

Safuan Said yang merupakan pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia sudah pasti menjadi tumpuan untuk menyinar di New Delhi, sementara Siti Zalina Ahmad yang menduduki tempat keempat dunia perseorangan wanita, memburu emas ketiga selepas cemerlang di Manchester dan Melbourne.

Pemain berpengalaman lain seperti Syed Mohamad Syed Akil dan Nor Hashimah Ismail mampu membantu negara meraih pingat untuk acara beregu, trio dan berempat.

Skuasy

Datuk Nicol Ann David terlalu sukar untuk ditewaskan bagi temasya kali ini, hanya keajaiban mampu menukar skrip emas Malaysia, ditambah pula Low Wee Wern yang semakin meningkat naik.

Mohamad Azlan Iskandar bakal mengetuai cabaran negara untuk kategori dan berdepan laluan sukar pemain Pakistan, namun apa sahaja boleh berlaku untuk skuasy menghadiahkan lebih daripada satu pingat emas.]

Angkat berat

Ia adalah acara tradisi buat Malaysia untuk meraih pingat, pada 2006 Mohd. Faizal Baharom menghadiahkan pingat emas buat negara bagi kategori 56 kilogram. Edisi kali ini terarah kepada Amirul Hamizan Ibrahim yang pernah memenangi tiga pingat emas di Sukan Komanwel Manchester.

Amirul Hamizan juga adalah di antara atlet yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Beijing 2008, dia akan beraksi dengan beberapa atlet muda untuk meneruskan legasi angkat berat negara di Sukan Komanwel.

Berbasikal

Mohd. Azizulhasni Awang diletakkan harapan tinggi untuk meraih pingat di New Delhi selepas kejayaan memenangi pingat perak di Kejohanan Trek Dunia 2010 di Copenhagen, Denmark tahun ini. Pelumba yang terkenal dengan gelaran Pocketrocketman itu tewas kepada Chris Hoy dari Britain.

Hoy yang sepatutnya mewakili Scotland dikatakan tidak akan beraksi di Sukan Komanwel ke-18 itu, peluang Azizulhasni bersama rakan-rakan yang lain seperti Josiah Ng Onn Lam dan Rizal Tisin bagi acara trek dilihat agak cerah.

Sementara itu Anuar Manan pula menjadi tumpuan untuk acara lebuh raya, namun dia bakal mendapat laluan sukar daripada pelumba Australia, Kanada dan Afrika Selatan, pelumba kelahiran Terengganu itu mengharapkan laluan landai di New Delhi mampu membantunya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: