Sunday, September 5, 2010

Adu jika harga ayam lebih mahal

KUALA LUMPUR - Orang ramai yang mendapati terdapat peniaga yang menjual ayam melebihi paras harga siling diminta membuat laporan terus kepada Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Perunding Eksekutif Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Dr. Abdul Rahman Md. Saleh berkata, pihaknya memandang serius jika hal tersebut berlaku memandangkan FLFAM telah mengadakan rundingan dengan KPDNKK.

Menurut beliau, melalui rundingan itu harga siling ayam ditetapkan sebanyak RM7.20.

"Kita tidak mahu masih ada peniaga yang berdegil dengan melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Jika peniaga masih meletakkan harga melepasi harga siling, mereka boleh dikenakan tindakan kerana menyalahi undang-undang," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Beliau mengulas dakwaan orang ramai berlakunya kenaikan harga ayam melepasi harga siling di sekitar Lembah Klang.

Kenaikan itu mendatangkan kerisauan kepada pengguna kerana dibimbangi harga ayam akan terus meningkat menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: