Sunday, September 5, 2010

Mohon keredaan




KETIKA langit Ramadan sedang menjauh dan awan-gemawan melambaikan Syawal segera datang, ada jiwa-jiwa kontang semakin bersemi.

Berbunga hati dan syukur pun menakluk nurani, agar segala kebahagiaan yang didoakan mendapat pertimbangan Yang Maha Esa.

Ketika ini juga, setiap kisah lara menjadi bingkisan paling bermakna kerana hati mudah sayu oleh bicara tentang dosa.

Tapi kata sang pujangga tidak bernama, biarlah semalam yang meninggalkan daki asalkan esok cahaya kudus menerangi hidup.

Membelah perasaan sang penghibur bernama Jamal Abdillah, hatinya lapang berkongsi rasa.

Berteduh dan menyandarkan separuh lagi usianya pada Rumah Pengasih di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, hidup dijalani dengan seadanya.

Sesekali dia berpaling ke belakang semata-mata untuk melihat sempadan, di depannya, jalan bahagia sedang terbentang, terang bersuluh oleh dua matahari kecil, Osama Yamani dan Ahmad Zaki Yamani. Hidup bukan lagi untuk diri sendiri.

"Persiapan kami anak-beranak biasa sahaja, mereka sedang membesar, jadi tidak berbaloi jika berlebih-lebihan. Cuma, saya cuba untuk memberi sesuatu yang berharga dari segi emosi.

"Dalam keadaan saya begini, saya tercari-cari formula terbaik untuk mereka merasai bahagia hari raya.

"Saya ada kekurangan dari segi hubungan, kekurangan yang sukar untuk saya ucapkan," lontarnya berbaur emosi.

Pandangannya tertancap ke bangku batu, sepi seketika. Jamal sendiri sudah bertahun-tahun berhari raya tanpa keluarga, raya berbumbungkan Rumah Pengasih juga sudah entah ke sekian kalinya.

Mujurlah, sejak Osama mula tinggal bersama, sudah empat tahun, hening pagi Aidilfitrinya bersambut cium dan salam seorang anak.


BESAR hasrat Jamal Abdillah, dia mahu bersatu di bawah bumbung yang sama dengan anak-anak. Minta dijauhkan aral, Februari depan rumah barunya di Shah Alam siap diduduki. Kelak, dua anaknya mampu diberikan kehidupan selesa untuk masa depan yang bahagia.


"Beraya di sini agak meriah, sedikit sebanyak ia dapat memotivasikan penghuni yang tidak berpeluang balik ke rumah masing-masing.

"Sejak beberapa tahun ini, beraya dan mengisi jemputan persembahan di Sri Perdana (kediaman Perdana Menteri) sudah menjadi tradisi buat saya.

"Bukan keperluan saya lagi untuk terlalu bergembira di hari raya, tetapi untuk anak-anak. Hidup saya untuk orang lain, untuk hiburkan orang lain," jawabnya tentang rutin raya yang kami usulkan.

Memiliki dua bisnes atas nama sendiri, Bintang Channel yang dikhaskan untuk acara seni manakala Pro Channel untuk dagangan dan pengedaran keperluan perubatan dan alat tulis, kehidupan peribadi Jamal kini boleh dianggap stabil tanpa anasir dadah.

Air mata

Jika ada yang masih melihat dirinya sebagai penagih, persoalan yang sudah berzaman hinggap ke mukanya itu sekali lagi kami utarakan.

"Saya sudah mampu tersenyum malah ketawa apabila sebut tentang dadah. Jujurnya saya sudah berasa selesa sejak tiga atau empat tahun kebelakangan ini.

"Saya sebenarnya sudah terlepas daripada masalah," akuinya yang juga menolak andaian bahawa pengaruh dadah dapat membantu keupayaan vokalnya.

Dia diam sesekali kemudian rancak berbicara. Menghidangkan cerita klasik yang sepatutnya tidak diulang kembali, takut menjadi bara.


MEMILIH untuk hinggap di Rumah Pengasih untuk selama mahunya, bagi Jamal, pusat pemulihan tidak berpagar itu adalah dunia yang tidak mahu dijauhi.


Namun, keseriusan dia bergelar lelaki dan individu normal membuatkan dia tidak tersangkut-sangkut berkongsi.

"Dulu saya beraya setiap kali dapat 'benda' itu. Itu pengertian raya saya.

"Selebihnya hari lebaran yang sebenar penuh dengan rasa kosong dan keterasingan," ujarnya yang sering tersenyum dan bangga dengan peningkatan diri setiap kali melewati jalan atau lorong yang pernah terpalit kisah hitamnya.

"Bukan bererti riak, tetapi melihatkan kisah dahulu dan sekarang, saya terpanjat rasa syukur yang melimpah.

"Dulu, saya terjelepuk di lorong atau jalan di tengah kota lumpur. Tetapi kini, kereta saya boleh menjalar di arena yang sama tanpa saya terasa untuk kembali seperti dulu," luah seorang Jamal.

Cuma selit Jamal, pada usia 51 tahun dia mengaku sukar mendapatkan titis-titis air mata.

"Dulu, senang benar saya menangis. Tetapi rasa itu sudah hilang dan saya sentiasa tercari jawapannya," luahnya tanpa mencuba mencari jawapan spontan.

Sebelum usai dia menutup kisah silamnya, sempat dia diusik dengan satu perkataan yang membuatnya tersenyum - kahwin.

"Godaan daripada perempuan itu ramai. Bimbang dengan agenda orang terhadap diri saya," luahnya ringkas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: