Musim durian kembali lagi
Ramli (kanan) melayan pembeli yang datang ke gerainya untuk membeli durian.
KUALA NERANG - Setiap tahun menjelang Jun dan Julai, Pekan Kuala Nerang akan meriah dengan durian menyebabkan kawasan ini menjadi tumpuan pengunjung.

Peniaga, Ramli Wok, 58, dari Kampung Rambutan berkata, setiap kali musim durian, persekitaran Pekan Kuala Nerang akan dikunjungi orang ramai tidak kira sama ada siang dan malam semata-mata mahu mencari raja buah itu untuk santapan keluarga.

Menurutnya, kawasan dusun sekitar Pekan Kuala Nerang ini akan menjadi perhatian kerana selain pembeli, dusun ini menjadi buruan peraih yang datang membeli dan menjual buah berkenaan.

“Kemeriahan pengunjung ini semakin terasa setiap kali hujung minggu apabila ramai yang datang dengan keluarga membeli durian dengan buah yang segar serta harga berpatutan dan ini menjadi penarik utama mereka datang ke sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramli berkata, dia mampu menjual sebanyak 100 hingga 200 durian sehari dan jualannya akan bertambah terutamanya menjelang Julai nanti dan kebanyakan durian yang diterimanya datang dari Kampung Kuala Janing, Kampung Rambutan, Kampung Semeliang dan Kampung Kuala Kejai.

Katanya, kedatangan musim durian ini merupakan rahmat kerana kebanyakan pengusaha dusun di sini terdiri daripada penoreh getah dan petani sekali gus dapat menambah pendapatan mereka.

"Ramai peraih dari luar terutamanya dari Kodiang, Air Hitam dan Perlis datang mencari durian di sini kerana harganya berpatutan dan ini menyebabkan pengeluaran durian di kawasan ini semakin hari semakin meningkat,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan durian yang dihasilkan di sini ialah jenis kampung dan di antara yang menjadi rebutan peminat ialah durian kancing baju kerana isinya yang kuning, lemak lagi manis.

"Pengusaha dusun di sini kurang menanam durian kahwin kerana permintaannya kurang berbanding dengan durian kampung.

“Bagaimanapun pada tahun ini, pemintaan durian sedikit terjejas kerana kedatangan Ramadan tidak lama lagi tetapi akan kembali pulih selepas hari raya nanti. Apabila berlaku lambakan durian kerana terlalu banyak durian tidak lama lagi, Pekan Kuala Nerang akan bertambah meriah dengan kedatangan pelancong dari luar daerah ini," katanya.