|
KUMPULAN nasyid tersohor negara, Raihan tidak memerlukan publisiti yang meluas untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka di negara jiran, Indonesia.
Dalam diam-diam, anggota Raihan yang terdiri daripada Che' Amran, Abu Bakar, Amran dan Zulfadli menjalin kerjasama dengan rangkaian industri muzik Indonesia untuk terus berkarya.
Sebenarnya, Raihan masih relevan di Indonesia dan terus menjadi pilihan segenap lapisan masyarakat tanpa sebarang garis halangan.
Muzik yang diperjuangkan mereka adalah platform yang terus mendekatkan mereka di sini.
Sebagai penggiat seni, Raihan masih aktif memainkan peranan mendekatkan bangsa Malaysia dan Indonesia menerusi muzik tanpa disedari peminat di tanah air.
Kosmo! mendekati Raihan yang berkunjung ke Jakarta baru-baru ini.
Kunjungan singkat mereka itu bermatlamat untuk melakukan persiapan bagi menjayakan konsert jelajah sempena bulan Ramadan tidak lama lagi.
Pada pertemuan itu, banyak hal yang dikongsi bersama dengan keempat-empat anggota kumpulan nasyid yang suatu ketika dahulu menjadi perintis kepada kebangkitan muzik berteraskan Islam di Malaysia.
Soalan pertama yang dituju kepada Abu Bakar adalah berkisar tentang kenapa Raihan begitu merendah diri dan tidak menghebahkan kepada umum tentang perkembangan terbaharu kerjaya mereka?
Jawab Abu Bakar, Raihan sangat senang bersederhana dalam apa sahaja tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Ini kerana ia seiring dengan apa yang dituntut agama.
"Lagipun, seganlah untuk kami bercerita kepada semua orang, nanti disalah anggap pula. Sementelah, apa yang kami lakukan adalah kerja semata- mata," ujarnya ringkas tetapi mengandungi makna yang cukup mendalam.
Mengenali Abu Bakar dan teman-temannya, harus diakui personaliti mereka masih tidak berubah sejak dari awal penglibatan sehinggalah usia Raihan di persada muzik arus perdana sudah mencecah angka 17 tahun.
Raihan masih merendah diri biarpun pencapaian kerjaya seni mereka seharusnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sejak dahulu, kini dan selama- lamanya.
Diterima dengan baik di Indonesia sendiri disifatkan Che' Amran yang juga ketua kumpulan Raihan pula sebagai suatu penghargaan yang sangat luar biasa.
Dia menyifatkan kesempatan bekerjasama dengan penggiat-penggiat muzik Indonesia menawarkan pengalaman yang sangat berharga.
Berpeluang mengadakan persembahan di hadapan puluhan ribu penonton dan disokong dengan kerjasama penggiat-penggiat muzik kelas A Indonesia membuatkan Raihan begitu berbesar hati dengan penerimaan masyarakat di situ.
"Apresiasi orang-orang di sini (Indonesia) terhadap muzik nasyid merupakan suatu bentuk kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
"Ada benarnya, populasi di Indonesia sangat besar dan kerana itu muzik nasyid boleh terus relevan. Itu fakta yang tidak dapat dinafikan.
"Pada masa sama, kami juga tersentuh hati kerana penggiat-penggiat muzik yang senior, berpengalaman dan sangat masyhur sentiasa mahu bekerjasama dengan Raihan," jelas Che' Amran sambil diakui teman-teman lain.
Benar apa disebut Raihan mengenai kecenderungan penggiat-penggiat muzik termasyhur Indonesia yang sangat senang untuk diajak berkongsi pentas.
Terbaharu, kumpulan ternama Indonesia, GiGi memilih untuk bekerjsama dengan Raihan dalam sebuah single khusus untuk dipasarkan pada bulan Ramadan ini.
Single berjudul 20 Sifat Allah (versi Malaysia berjudul Sifat 20) menampilkan gandingan vokal penyanyi utama GiGi, Armand Maulana dan kumpulan Raihan.
Selain lagu berkenaan, Raihan juga berada di sini untuk menyiapkan proses penerbitan album kompilasi mereka yang akan turut memuatkan sebuah lagu lebaran berjudul Hari Raya Untuk Semua.
Album berkenaan bakal berada di pasaran Indonesia pada awal bulan Ramadan ini.
Tidak hanya berkongsi lagu, bahkan GiGi juga sangat berbesar hati untuk membawa Raihan menjelajah tujuh kota besar di Pulau Jawa selama dua minggu pada bulan penuh kemuliaan, Ramadan bulan depan.
"Inilah yang Raihan sifatkan peluang yang amat berharga buat kami. Barangkali penyanyi lain tidak mendapat peluang seperti kami. Justeru, kami sangat bersyukur dan menghargai kesempatan yang diberikan ini," jelas Che' Amran lagi.
Bukan hanya GiGi akan turut serta dalam jelajah Ramadan itu, bahkan penyanyi senior tersohor Indonesia, Iwan Fals dan Chandra Malik juga akan berkongsi pentas yang sama.
Sebelum ini, Raihan pernah mengadakan persembahan diiringi oleh kumpulan orkestra pimpinan Erwin Gutawa bersama artis-artis lain seperti Rossa dan Marcel yang turut menyanyikan lagu-lagu nasyid yang pernah dipopularkan Raihan.
Lagu-lagu Raihan juga pernah dirakamkan oleh kumpulan Sheila On 7, Padly (Padi) selain pernah kerjasama dengan penyanyi Ikang Fawzi dan lain- lain lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: