Sunday, June 23, 2013

Gred pelakon ikut bakat


AIRIS YASMIN (kiri) dan Diana Johor menganggap mereka ialah aktres kelas pertengahan.


DUA wajah ini sering dilihat menerusi televisyen terutamanya dalam kalangan penonton setia drama bersiri. Namun, baru-baru ini mereka berpeluang meneroka layar lebar melalui filem Tokak arahan pelakon veteran Sabree Fadzil. Mula ditayangkan sejak 20 Jun lalu, filem ini membariskan pelakon seperti Airis Yasmin, Diana Johor, Faiz Raja Lawak, Julia Ziegler, Abon, Kazar dan Lana Nordin.
Filem seram komedi terbitan Mar Energetic Industri Sdn. Bhd. ini berkisar tentang jelmaan makhluk halus yang mahu menghisap darah gadis untuk memulihkan wajahnya agar dapat menjadi manusia biasa.
Selain ruang mempromosikan filem yang dirakam dua tahun lalu, kedua-dua aktres ini juga diajukan topik menggred pelakon dalam industri lakonan tempatan.
Kelas yang hadir secara 'halus' ini dapat dilihat melalui pembayaran tenaga, tawaran karakter dan kelompok yang disertai. Sedar dengan situasi pengelasan yang sememangnya wujud dalam industri lakonan tempatan, dua pelakon ini memberikan buah fikir mereka.
Boleh ceritakan pengalaman berlakon dalam filem Tokak?
AIRIS YASMIN (AY): Saya membawakan watak Azian, pekerja hotel yang mempunyai hubungan sulit dengan pengurus hotel. Saya merupakan mangsa keenam Tokak yang sempat diselamatkan.
DIANA JOHOR (DJ): Sebenarnya kita sudah menjalani penggambaran dua tahun lepas. Saya hampir terlupa dengan nama watak yang dipegang. Cerita ini mengisahkan percutian sekumpulan remaja ke sebuah hotel tetapi seekor jembalang bernama Tokak mengambil mereka seorang demi seorang.
Apa yang membuatkan kalian terpanggil untuk berlakon filem ini?
DJ: Saya sebenarnya sudah lama tidak berlakon. Balik dari Australia, berkahwin dan kemudian membuka rumah produksi bersama kembar saya. Jadi, bila pihak pengurusan mencadangkan untuk mencuba filem ini, saya tidak kisah.
Mungkin kerana sudah lama saya tidak turun padang. Lagipun saya tidak pernah berlakon filem hantu dan ini merupakan pengalaman yang baik. Saya berpengalaman di tarik ke dalam laut pada waktu tengah malam, bayangkan air yang sejuk dan ombak besar.
AY: Sama seperti pelakon lain, saya menjalani uji bakat. Apabila dapat buat filem, saya agak teruja. Bila sudah membaca skrip, saya rasakan filem ini boleh dihayati dan ada mesej. Saya berikan yang terbaik untuk filem ini.
Apa pandangan kalian bila pelakon dikelaskan mengikut gred?
AY: Mungkin ada pro dan kontranya. Tetapi kelebihan akan banyak kepada artis yang popular yang naik secara apa sahajalah. Maksudnya bakat atau gosip liar. Ia akan menjadi kekurangan kepada artis atau pelakon yang tidak mendapat tempat. Untuk artis yang diberi gred A, bayaran yang diterima memang berbaloi. Bagi saya sendiri, saya selesa di tempat sekarang. Saya melihat ada sesetengah rumah produksi yang menganggap apa yang pelakon itu persembahkan setimpal dengan bayaran.
Ada juga yang jenis mengambil kesempatan dengan melihat pelakon secara sebelah mata. Ada yang jenis mahu berjimat dan bersikap tidak adil. Bagi pelakon yang ada kerja sampingan yang lain, mungkin mereka tidak kisah tetapi buat pelakon yang menjadikan lakonan sebagai periuk nasi, mereka perlu mengikut gred bayaran.
DJ: Sebagai penerbit, saya sedar dengan gred ini kerana bila mahu ambil pelakon akan ada harga yang berbeza. Tetapi apa yang saya lihat di Malaysia, gred ini bukan hanya berlaku kerana seseorang itu pandai berlakon. Tidak semestinya pandai berlakon, tetapi mereka jatuh dalam artis kelas A. Maksudnya di sini, ada yang disebabkan kontroversi dan paras rupa, tetapi ia tidak sepatutnya berlaku kerana bakat adalah lebih penting.
Adakah ini sihat untuk industri lakonan tempatan?
AY: Tidak sihat kerana golongan yang tertindas akan terus ditindas. Yang diberi ruang akan menguntungkan mereka. Saya risau pada mereka yang ditekan dan tidak mendapat peluang yang sepatutnya.
DJ: Kurang sihat sebab nanti kalau kita mahu bawa produk kita ke luar negara, ia akan dinilai melalui lakonan dan bukannya faktor lain. Lagipun faktor kecantikan akan menjadi subjektif bagi orang berlainan.
Bagaimana kalian melihat kewujudan kalian dalam kelompok pelakon sedia ada?
AY: Saya secara umumnya selesa dengan keadaan semasa. Untuk artis baharu, mereka mungkin mengambil beberapa tawaran yang tidak terkejar. Saya jenis fokus dan berprofil rendah. Ada tawaran saya buat. Jika tawaran tersebut tidak sesuai, saya tidak akan paksa diri.
Rasanya, saya berada di pertengahan kerana saya bukanlah jenis yang terdesak mahu popular atau glamor. Rezeki sentiasa ada walaupun tidak dikenali dalam kalangan kelompok komersial.
Saya mungkin tidak banyak filem atau dapat tawaran jadi heroin. Lagipun faktor usia membuatkan saya lebih mendapat watak sampingan kerana ruangnya di situ. Saya bekerja dalam lingkungan saya.
DJ: Saya sendiri tidak tahu di mana kelompok saya. Saya ini jenis sekejap ada sekejap tidak ada dalam industri. Saya akui ini bukanlah kerja sepenuh masa saya kerana sebelum ini saya sibuk belajar di Australia tetapi terus membuka rumah produksi sebaik pulang ke tanah air.
Saya bukan pelakon kelas A kerana lakonan saya tidak hebat mana pun. Nak kata kaku pun tidak juga, jadi mungkin di tengah-tengah. Saya tidak boleh menilai sebaliknya penonton.
Apa pandangan kalian terhadap pengarah atau penerbit yang cenderung mengambil wajah-wajah yang sama?
AY: Kelebihan untuk wajah-wajah yang sama ini mungkin kerana keselesaan kerja dan disebabkan mereka tahu tanggungjawab masing-masing. Jadi, perjalanan kerja akan lancar kerana sudah ada hubungan kimia yang baik. Keburukannya pula akan ada golongan yang terpinggir dan bakat yang tidak dilihat oleh pengarah dan penerbit.
DJ: Itu tidak menjadi masalah. Ada pihak tertentu lebih suka mengambil orang yang sama kerana mereka senang bekerja. Mungkin orang yang mereka biasa bekerja tidak buat hal dan tahu apa yang diperlukan dalam drama atau filem mereka.
Diana sebagai produser, cenderung kepada budaya ini?
DJ: Tidak, kerana saya mengambil pelakon mengikut kesesuaian cerita.
Airis, sudahkah berjumpa peringkat selesa yang dikatakan itu?
AY: Saya tidak ada pengarah atau penerbit tertentu yang saya terikat. Sejauh ini saya bekerja dengan pelbagai pengarah dan produser.
Inisiatif kalian untuk dilihat di depan mata pengarah dan penerbit?
AY: Saya tidak harapkan gosip yang liar atau murahan. Saya berpendapat untuk pelakon yang berada pada tahap dan usia seperti saya, mereka tidak gemar dikenali kerana gosip.
Saya sudah berkeluarga dan punya anak jadi perlu jaga ruang itu. Apa yang saya harapkan ialah mendapat naskhah yang bagus dan dapat bekerjasama dengan produksi atau tim yang bagus.
DJ: Saya akan pastikan lakonan saya mantap dan buat sehabis baik mengikut kehendak pengarah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: