Sunday, June 23, 2013

Pangkin kampung di kafe Arab


REKAAN Kafe Mukha agak ringkas tetapi sarat dengan elemen tradisional dan antik yang menarik.


ADA aura tersendiri yang cuba ditonjolkan oleh pemilik Kafe Mukha, Sayid Abdul Rahman Sayid Hussin Al Junid yang terletak di Lorong Rahim Kajai 13, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Kunjungan kru Jurnal di kafe itu pada Khamis minggu lalu disambut dengan beberapa elemen kejutan.
Pertamanya, cara pemakaian Sayid Abdul Rahman sendiri yang memakai kopiah berwarna biru, kemeja putih selain kain pelekat.
"Biasanya, pakaian kerja lebih kepada pakaian korporat yang lengkap bertali leher, cuma pada hari ini tiada urusan kerja menyebabkan saya berpakaian sebegini.
"Namun, ia bukan menggambarkan konsep kafe yang santai dan serba ringkas ini," ujar Sayid Abdul Rahman sebagai membuka bicara.
Konsep santai yang dipertuturkan lelaki yang turut mengusahakan agensi pengiklanan itu ternyata benar.
Kafenya yang baru beroperasi dua tahun itu tampak berbeza.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke bahagian luar, pandangan mata akan terarah ke sebuah set pangkin yang dialas dengan tikar plastik.
Kata lelaki yang berkahwin pada umur 20 tahun itu, pangkin itu berfungsi untuk memudahkan pelanggan bersantai bersama-sama keluarga atau rakan-rakan.
"Sebenarnya, konsep sebegini sudah popular di restoran lain kerana pelanggan dapat duduk bersila selain bersandar dengan selesa selepas kenyang menikmati makanan.
"Sama seperti pangkin di kampung, tiada penggunaan meja kecil atau kerusi namun, sudah mencukupi sekadar duduk menikmati makanan sambil dihembus angin yang mendamaikan.
Simen
PANGKIN yang dialas dengan tikar plastik pasti menjadi rebutan pelanggan kafe untuk bersantai.


"Ia cukup sesuai untuk berehat setelah hampir seharian bekerja," ujarnya.
Selain dekorasi yang agak pelik itu, pengunjung pasti dapat menikmati makanan yang dipesan dengan tenang sambil mendengar alunan lagu-lagu sentimental dan rancak yang memenuhi seisi restoran.
Lantai kafe milik lelaki berketurunan Arab Yemen itu bersifat tradisional apabila dia mengekalkan lepaan simen tanpa dicat atau dipasang marmar.
"Sebenarnya, kami mengekalkan lantai bersimen kerana ia mampu mengimbau suasana kediaman pada zaman dahulu.
"Malah, dinding bata merah yang ada di beberapa sudut restoran sengaja tidak diplaster bagi mewujudkan persekitaran semula jadi," ujarnya.
Sedang kami rancak berbual, penulis menyedari kehadiran sebuah sofa lama yang sudah berlubang dan koyak.
"Jangan terkejut kerana kebanyakan kerusi dan meja di kafe ini ialah barangan terpakai yang telah dibuang oleh pemiliknya.
"Namun, fizikal kesemua barangan itu masih elok dan boleh digunakan lagi," jelas Sayid Abdul Rahman.
Uniknya, set sofa di kafe yang ditutup pada setiap Isnin itu hadir dengan variasi warna seperti hijau, coklat dan biru sekali gus memberikan sudut pandang yang berbeza.
Bukan itu sahaja, kerusi yang digunakan pula tidak seragam.
"Pelanggan juga mempunyai cita rasa masing-masing tentang kerusi dan meja yang menjadi kegemaran mereka," terangnya.
Walaupun teruja dengan konsep santai, lelaki itu tidak sekali-kali meminggirkan rekaan kontemporari.
Bagi memenuhi jiwa kontemporari itu, Kafe Mukha menyediakan set sofa mewah ala kolonial.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke bahagian dalaman kafe, anda akan melalui transisi dua alam yang berbeza iaitu ala tradisional dan moden.

BAHAGIAN luar Kafe Mukha yang santai dan selesa.


Antik
Malah, terdapat beberapa poster dalam bahasa Arab yang menceritakan mengenai daerah Mokha yang terletak Yemen.
Mokha ialah sebuah bandar pelabuhan yang juga pengeluar minuman kopi terbaik di negara itu.
Selain berfungsi sebagai kedai makan, Mukha juga kerap mengadakan jualan amal untuk membantu umat Islam yang hidup dalam kemiskinan di Kemboja, Bangladesh dan Vietnam.
"Pada kebiasaannya, program itu dijalankan sebulan sekali. Caranya ialah pelanggan dapat menikmati tiga menu makanan yang disediakan pada harga RM10.
"Sebanyak 50 peratus daripada hasil jualan akan didermakan kepada badan kebajikan yang terpilih," katanya.
Ukiran kayu penghadang di bahagian dapur kafe itu jelas menonjolkan ciri-ciri Asia Barat dengan motif alam semula jadi.
Sebuah almari antik yang disulami lampu klasik yang memberikan pencahayaan suram berjaya mencetuskan suasana romantik. Ia sesuai bagi mereka yang sedang bermadu kasih.
Barangan antik seperti beg, cawan, teko dan piring tembaga yang disusun kemas di atas meja tidak mencacatkan pemandangan.
Soal makanan pastinya menjadi kegemaran sesiapa sahaja.
Justeru, menu yang disediakan di kafe tersebut boleh dipuji terutamanya roti yang dicecah bersama bebola daging yang lazat.
Menikmati kopi Arab yang dicampur dengan halia juga sudah cukup untuk menyegarkan tubuh yang lesu pada waktu petang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: