Sunday, June 23, 2013

Kapsul masa bekas pelajar MRSM



BEBERAPA pelajar menunjukkan kapsul masa yang dikeluarkan selepas ditanam sejak 15 tahun lalu di Balik Pulau semalam.



BALIK PULAU - Kaset lagu 90-an, foto lama, lukisan, nota luahan perasaan, pensel 2B dan surat cinta adalah antara barang kenangan dalam 'kapsul masa' yang terpateri kukuh di dinding bangunan ruang legar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau di sini sejak 15 tahun lepas.
Walaupun tampak biasa, ia menggamit memori penuh nostalgia buat 270 orang alumni MRSM sesi 1998/1999 yang datang dari seluruhpelosok tanah air untuk berkumpul dan menyaksikan pembukaan kapsul itu semalam.
Acara pembukaan kapsul itu disempurnakan bekas Pengetua MRSM Balik Pulau dari tahun 1996-2004, Faruk Senan Abdullah dan isi kandungan kapsul itu akan diletakkan di dalam akuarium untuk tontonan ramai.
Pengerusi penganjur, Amir Redza Mohd. Tajudin berkata, kapsul itu diwujudkan untuk mengabadikan kenangan pelajar tingkatan empat dan lima serta tenaga pengajar pada waktu itu termasuk dua guru Bahasa Inggeris dari United Kingdom dan Ireland, Clare Magill dan Joanne Parsons yang mengajar di maktab itu selama enam bulan.
"Saya masih ingat pada masa itu saya tulis cita-cita saya untuk menjadi juruterbang. Saya tidak menyesal kerana tidak menggapai impian itu kerana ketika itu kami tulis apa sahaja yang terlintas di fikiran," katanya yang merupakan ahli perniagaan.
Beliau berkata, program yang diadakan serentak dengan sambutan Hari Guru itu bertujuan mengukuhkan lagi ikatan persahabatan antara warga maktab yang telah terjalin sejak sekian lama.
Amir Redza yang kini berusia 31 tahun berharap kehadiran alumni yang telah berjaya dalam bidang masing-masing dapat menyuntik inspirasi kepada junior mereka agar lebih tekun berusaha serta menghargai detik alam persekolahan yang dilalui.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: