JARAK Pulau Denawan, Semporna, Sabah dari Pulau Mabul hanya mengambil masa kira-kira 30 minit dengan bot laju. Walaupun berkongsi perairan yang sama iaitu Laut Sulawesi, namun kedua-dua pulau itu tampak berbeza.
Pulau Mabul ternyata lebih banyak daya tarikan terutamanya kepada mereka yang gemarkan aktiviti selaman skuba. Mabul yang terkenal dengan kejernihan air laut itu juga mempunyai kira-kira 30 inap desa dan resort untuk kemudahan penginapan pelancong.
Namun, segala kemudahan dan keindahan yang digambarkan di Pulau Mabul itu ternyata tidak terdapat di Pulau Denawan. Dalam kunjungan Kosmo! pada perasmian perigi Air Untuk Manusia anjuran Coca-Cola Malaysia dan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) di pulau itu, penduduk pulau menyambut baik kedatangan kami.
Bercucuk tanam
Penduduk pulau yang terdiri daripada masyarakat Bajau Palauh dan Suluk itu juga sentiasa menegur rombongan kami dan mereka begitu menghargai kunjungan orang luar. Difahamkan, pulau itu jarang mendapat kunjungan daripada pelancong.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK), Pulau Denawan, Abdul Ghani Mahajud, 56, pulau itu mula dihuni sejak tahun 1911 oleh sebuah keluarga dari Filipina.
Keluarga yang terdiri daripada suami isteri itu tinggal di pulau tersebut dan menjalan kerja-kerja bercucuk tanam sebagai aktiviti harian mereka.
|
"Apabila sepasang suami isteri itu mendapat anak, mereka menamakan anak lelaki mereka dengan nama Danau kerana di pulau itu terdapat sebuah danau yang luas.
"Nama Danau itu semakin lama berubah menjadi Denawan mengikut dialek bahasa Filipina, lalu mereka menamakan pulau itu sebagai Denawan," ujarnya.
Sehingga kini, jumlah penduduk pulau itu mencecah 1,400 orang mengikut bancian yang dilaksanakan oleh pihak tentera.
Rata-rata penduduk pulau bekerja sebagai nelayan. Mereka juga menjual hasil tangkapan di Semporna untuk menyara kehidupan.
Seorang penduduk pulau, Moro Ajan, 40, merupakan seorang nelayan yang menangkap gamat di sekitar perairan pulau itu untuk menyara isteri dan sembilan anaknya.
Menurut Moro, dia melakukan kerja-kerja menangkap gamat sejak sedekad lalu dan memperoleh pendapatan sekitar RM300 sebulan.
"Selain menangkap gamat, saya juga melakukan proses membersih dan mengeringkan hidupan laut itu sebelum dijual. Gamat perlu direbus terlebih dahulu sebelum direndam dengan air garam supaya ia tahan lama.
"Harga bagi gamat kering dan basah yang dijual di Semporna juga berbeza. Gamat kering dijual pada harga RM50 sekilogram manakala gamat basah pula mencecah harga RM200 sekilogram," ujarnya ketika ditemuinya Kosmo! di kediamannya di Pulau Denawan baru-baru ini.
Tiada pusat pelancongan
Selain itu, penduduk pulau juga membuka kedai runcit yang menjual makanan ringan dan minuman sebagai salah satu cara untuk menyara kehidupan. Pelanggan yang datang terdiri daripada penduduk pulau.
Menurut Abdul Ghani, Pulau Denawan tidak mempunyai produk pelancong berbanding pulau-pulau berdekatan seperti Pulau Mabul, Pulau Kapalai dan Pulau Siamil.
"Pulau ini tiada inap desa atau resort. Kebanyakan pelancong ke sini hanya untuk melihat kehidupan masyarakat Bajau atau menjadi persinggahan sebelum melakukan aktiviti selaman skuba di persekitaran Pulau Siamil,"ujarnya.
Abdul Ghani yang mewakili seluruh penduduk kampung mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Coca-Cola Malaysia dan Muslim Aid kerana menghulurkan bantuan untuk membantu menyelesaikan masalah air di pulau itu.
Ketika ditanya mengenai kemudahan asas yang diperlukan oleh penduduk kampung, Abdul Ghani berharap ada pihak yang dapat membuka perusahaan memproses ais di pulau itu.
"Nelayan-nelayan memerlukan ais untuk menyimpan hasil tangkapan. Sebongkah ais di Semporna dijual pada harga RM20 dan ia membebankan golongan nelayan. Jika ada perusahaan memproses ais sekurang-kurangnya ia dapat memudahkan mereka," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: