|
BERWARNA terang, unik dan selesa dipakai ialah antara sebab peminat sukan berbasikal dan motosikal lasak menggilai jenama barangan serta peralatan keluaran Troy Lee Designs (TLD).
Manakan tidak, sejak dicipta oleh Troy Lee lebih 30 tahun lalu di Corona, California, Amerika Syarikat, jenama tersebut dikenali di seluruh dunia sebagai peneraju barangan sukan khususnya topi keledar dan aksesori sukan pemotoran.
Sebutkan sahaja acara sukan lasak seperti Formula Satu, Nascar, Enduro, perlumbaan jalanan, litar atau lumpur, pasti jenama TLD ada di situ.
Di Malaysia, jenama itu mempunyai pengikutnya sendiri walaupun ia baru dibawa masuk pada tahun 2010 oleh Ketua Pegawai Eksekutif TLD, Datuk Seri Patrick Tan Hing Chew.
Bagaimanapun, baru-baru ini, syarikat terbabit telah membuat penjenamaan semula. Kini, ia dikenali sebagai Troy Lee Designs Concept Store. Kedai itu bukan sahaja menjual barangan TLD malah barang-barang berjenama lain seperti Ducati, Fox Racing, Oakley dan Go Pro.
Ketika ini, TLD menguasai 75 peratus pasaran downhill dan 45 peratus trail riders di pasaran tempatan. Syarikat berkenaan juga menyasarkan untuk menguasai pasaran sukan lasak lain.
“Terdapat ramai anak muda di negara ini yang meminati aktiviti sukan lasak tetapi mereka takut dilabel sebagai budak nakal. Kebanyakan mereka yang terlibat pula tidak mengutamakan aspek keselamatan.
“Kita mahu memberitahu orang ramai bahawa sukan lasak seperti basikal atau motosikal adalah selamat. Mereka cuma perlu menitikberatkan aspek keselamatan ketika menunggang,” kata Hing Chew pada majlis perasmian penjenamaan semula TLD di Dataran Glomac, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed.
Duta produk
Selain itu, salah satu objektif TLD adalah untuk menarik lebih ramai kaum wanita supaya terlibat dalam sukan ekstrem seperti menunggang basikal.
Bagi menyokong pendekatan itu, TLD melantik selebriti seperti Ruzana Ibrahim, Nishaa Dir, Linora Low dan Chelsea Ng sebagai duta produk.
“Saya sangat teruja apabila dilantik sebagai duta produk TLD kerana saya memang meminati sukan lasak. Produk TLD berkualiti tinggi malah terdapat pakaian sukan khas untuk wanita.
“Sebagai duta produk saya berharap dapat membantu TLD menarik lebih ramai golongan wanita terbabit dalam sukan ekstrem,” kata Nishaa.
Seorang pelanggan, Zulirwan Zulkifli, 31, dari Bangsar, Kuala Lumpur berkata, sebelum ini dia terpaksa memesan menerusi rakan-rakan yang pergi ke luar negara supaya membelikannya produk jenama TLD.
Ujarnya, sejak premis tersebut dibuka tiga tahun lalu, dia tidak melepaskan peluang untuk membeli produk yang diminatinya.
“Biasanya saya beli produk berkaitan sukan basikal bukit seperti pakaian kerana kualitinya sangat baik dan tahan lasak,” katanya yang bekerja di syarikat minyak dan gas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: