Tuesday, June 25, 2013

Dua pemenang Peri-fy Your Art

NIK MOHD. SHAZMIE (kiri) dan Izzat pulang dengan wang tunai RM3,000 dan baucar Nando's selepas diumumkan pemenang pertandingan Peri-fy Your Art.


INSPIRASI pemandangan daripada ruang tingkap bilik membawa tuah kepada pelajar Seni Halus, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Perak, Nik Mohd. Shazmie Nik Shairozi, 22, apabila lukisannya diangkat sebagai salah satu daripada dua pemenang utama pertandingan Peri-fy Your Art kali keenam.
Seorang lagi pemenang ialah Izzat Aziz, 24, pelajar jurusan Seni Halus, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Pertandingan itu disertai oleh 208 peserta daripada 29 kolej dan universiti seluruh negara. Sebagai pemenang, mereka memperoleh hadiah wang tunai bernilai RM3,000 dan baucar Nando’s setiap seorang serta berpeluang membuat pameran solo.
“Saya mengambil masa selama sebulan untuk menyiapkan lukisan ini yang merupakan hasil pengamatan keadaan sekeliling dari tingkap bilik saya. Abang saya turut memberikan pandangan dan pendapat ketika proses menyiapkan lukisan ini.
“Tidak sangka penyertaan kali pertama ini, saya berjaya menarik perhatian para juri sekali gus diumumkan sebagai salah seorang pemenang utama,” ujar Nik Mohd. Shazmie ketika ditemui usai acara penyampaian hadiah yang diadakan di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, lukisan Izzat pula menggambarkan suasana berbilang kaum dalam kelasnya.
“Saya menggambarkan suasana ayam dalam reban yang sentiasa bising. Begitulah juga suasana dalam kelas saya apabila kami menggunakan dialek masing-masing ketika bercakap,” ujarnya yang turut mengambil masa selama sebulan untuk menyiapkan lukisan itu.
Pertandingan tersebut merupakan salah satu inisiatif Nando’s dalam mencari bakat-bakat muda dalam bidang artistik. Setiap peserta perlu melukis atas kanvas putih berdasarkan tema
Kepelbagaian.

KARYA lukisan Nik Mohd. Shazmie dizahirkan melalui pengamatan keadaan sekeliling dari biliknya.


“Kami menerima banyak penyertaan yang menghantar lukisan berkualiti tinggi pada tahun ini. Interpretasi mereka terhadap tema yang diberikan amat menakjubkan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Nando’s Chickenland (Malaysia) Sdn. Bhd., Mac Chung Lynn kepada media.
Beliau menambah, pada tahun ini, Nando’s akan mempamerkan 10 lukisan terbaik di dua restoran iaitu Publika dan Mid Valley.
“Selepas Publika, lukisan itu akan diletakkan di restoran Nando’s di Mid Valley selama setahun bagi memberi peluang orang ramai melihat karya pelajar-pelajar tersebut,” jelas Chung Lynn.
Pemenang diadili berdasarkan kefahaman tema, kreativiti, kandungan, komposisi dan penerangan mengenai lukisan tersebut. Antara juri ialah Low Ngai Yuen, Nora Murat, Nani Kahar, Syed Nabil Syed Nahar dan Chung Lynn.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: