Friday, June 21, 2013
Ganjaran besar menanti bapa mithali
MASIH belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua yang bergelar bapa, ayah, abi, papa atau apa saja gelaran anda. Walaupun sambutan Hari Bapa sudah disambut pada 16 Jun lalu, tidak salah rasanya jika saya memberikan fokus kepada isu berkenaan pada perbincangan kali ini.
Siapakah bapa? Bapa ialah semua lelaki yang menyebabkan lahirnya seorang manusia ke dunia ini sama ada melalui hubungan yang sah atau tidak.
Menurut hukum syarak, bayi yang dilahirkan usianya kurang enam bulan dari tarikh perkahwinan, tidak boleh dinasabkan kepada si ayah yang menjadi punca kelahirannya.
Bagaimanapun, sebagai tanda anda benar-benar bertaubat dan menyesal dengan kesilapan yang lepas, sewajarnya anda bertanggungjawab ke atas anak tersebut.
Buat bapa yang sememangnya menyebabkan kelahiran anak yang sah, anda memikul peranan dan tanggungjawab yang lebih utama.
Bagaimana pula dengan anak yang tidak dijangka? Ayat mudah sebahagian ibu bapa ialah ‘accident’.
Wah! Wah! Jelas sangat tidak amalkan doa yang diajar Rasulullah SAW ketika hendak bersama pasangan. Ini kerana jika berdoa, pasti anda sedar bahawa hubungan tersebut sekiranya menghasilkan zuriat, anda mahukan anak tersebut turut terpelihara daripada godaan syaitan. Tidak kisahlah terlupa doa atau tidak faham doa diucap, yang penting adalah tindakan yang perlu anda lakukan ketika ini.
Semua orang maklum, tugas dan tanggungjawab seorang bapa yang utama adalah menyara keperluan anak-anaknya, bermula daripada anak itu dilahirkan hinggalah mampu berdikari sendiri (bagi anak lelaki). Jika anak itu perempuan, tugas saraan keperluan ini akan tamat apabila si anak berkahwin.
Malangnya, realiti kehidupan hari ini, tidak ramai bapa yang melaksanakan tanggungjawab yang diwajibkan oleh syarak ini.
Kebanyakan mereka melepaskan sebahagian besar tanggungjawab memberi nafkah kepada ibu si anak. Bukan sahaja dalam kes pasangan bercerai malah ketika perkahwinan masih wujud.
Seorang suami dan bapa bertanggungjawab memberikan segala keperluan kepada isteri dan anak-anak. Ketahuilah wahai para suami, memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukanlah satu bebanan. Ia merupakan satu keutamaan dan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Dinar (wang) yang engkau infakkan (belanjakan) pada jalan Allah, dinar yang engkau infakkan untuk membebaskan hamba abdi, dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu, pahala yang paling besar ialah dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu.” - Hadis riwayat Muslim.
Kasih sayang
Bukan sahaja saraan malah seorang bapa bertanggungjawab memberikan didikan, bimbingan, kasih sayang dan perhatian yang tidak berbelah bahagi kepada anak.
Rasulullah mengajar agar anak-anak dibentuk sikap dan akhlaknya melalui empat peringkat usia:
1. Umur bawah enam tahun: Dibentuk melalui bermain, bermanja dan bergurau.
2. Umur tujuh hingga 14 tahun: Dibentuk secara mengajar dan mendisiplin.
3. Umur 15 hingga 21 tahun: Mendidik melalui berkawan.
4. Umur melebihi 21 tahun: Diberikan kebebasan bertindak sementara ibu bapa sebagai penasihat.
Saranan Rasulullah ini ditujukan kepada kedua-dua ibu dan bapa. Malah, para ulama menetapkan tanggungjawab mendidik anak-anak lebih perlu dimainkan oleh seorang bapa.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) mengerjakan solat dan engkau hendaklah bersabar menunaikannya. Kami tidak pernah meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik hanya bagi orang-orang yang bertakwa.” - Surah Toha: 132.
Ayat ini menjelaskan tentang tanggungjawab berat seorang suami dan seorang ayah untuk memimpin isteri dan anaknya agar beribadat kepada Allah. Dijanjikan, kegagalan para suami dan ayah melaksanakan tanggungjawab ini menyebabkan mereka turut sama memikul dosa yang dilakukan oleh isteri dan anak-anak.
Buat si ayah yang pernah mendabik dada kononnya anda ayah dan ketua keluarga, kata-kata anda adalah kata muktamad, tidak boleh ditambah kurang apatah lagi dibangkang, berusahalah untuk mengubah sikap sekiranya inginkan anak anda juga berubah.
Tidak perlu jadi seorang yang garang, kasar dan keras terhadap anak-anak bagi menjadikan diri anda dihormati dan disayangi.
Kasih sayang hanya akan wujud dan bercambah dengan kasih sayang juga, bukan dengan kekerasan. Jika kekerasan yang anda ajarkan kepada anak anda, pastinya kekerasan juga yang anda peroleh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: