Sunday, June 30, 2013

Jual kek atas lori




TIDAK sukar mencari kelibat wagon merah jambu yang diparkir di celah-celah bangunan Jabatan Audit Negara yang terletak bersebelahan Istana Kehakiman di Presint 2, Putrajaya ini.
Warnanya cukup terang. Ditambah pula dengan dekorasi hiasan pelekat maskot kartun berbentuk kek cawan jenama Cookies Wagon, ia sudah cukup untuk membangkitkan aura ceria yang seakan-akan menggamit sesiapa sahaja untuk mendekatinya.
Wagon itu ternyata mampu menarik minat ramai pelanggan untuk datang bertandang, apatah lagi selepas melihat barisan kek cawan pelbagai warna dan perisa.
Menampilkan konsep perniagaan baharu dengan pendekatan mesra pelanggan, usaha pasangan suami isteri ini untuk menjadikan Cookies Wagon sebagai kedai bakeri bergerak yang pertama di Malaysia mula membuahkan hasil.
"Saya memang meminati bidang perniagaan makanan sejak di bangku sekolah lagi. Malah, jika ada waktu lapang, saya akan menghasilkan sendiri biskut dan menjualnya kepada rakan-rakan di sekolah.
"Minat itu bagaimanapun terpaksa dilupakan seketika apabila saya menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
"Selepas menamatkan pengajian ijazah di UiTM, saya bekerja dalam bidang pengurusan korporat manakala suami merupakan seorang jurutera kimia.
"Walaupun seronok dengan cabaran dan kerjaya pada waktu itu, ia tidak memberi kepuasan pada diri saya. Sejak itu, saya mula merancang untuk memiliki perniagaan sendiri. Alhamdulillah, berkat doa, usaha dan sokongan penuh daripada suami dan keluarga, maka lahirlah Cookies Wagon yang menjadi teduhan rezeki buat kami," ujar pemilik dan pengasas Cookies Wagon, Fatimah Husna Razali yang berusia 26 tahun.
Tepung segera
Tanggal Ogos 2011, wagon merah jambu yang menjadi impiannya itu mula menjengah pasaran tempatan.
Sebagai cara untuk menampilkan suatu kelainan, Fatimah memperkenalkan perniagaan dengan konsep mesra pelanggan khususnya daripada kalangan kanak-kanak, keluarga serta belia urban.
"Seperti van bergerak yang biasanya menjual makanan dan minuman, belum ada lagi van yang menjual produk bakeri. Sejak itu, tercetusnya idea untuk membuat bakeri bergerak yang pertama di negara ini.
"Selain lebih mudah mendekati pelanggan, perniagaan ini juga lebih fleksibel dan pelanggan boleh berhubung dengan kami berpandukan Facebook, Twitter dan laman web untuk mengetahui lokasi lori kami.



"Operasi bakeri bergerak ini juga sangat mudah. Kek cawan kami dibakar segar pada setiap hari dengan menggunakan tepung segera yang diadun khusus menggunakan resipi tersendiri di dapur khas yang terletak di Seri Kembangan, Selangor.
"Kek yang sudah siap dimasak akan dibawa menggunakan wagon ke tapak perniagaan. Di situ, barulah kami menghiasnya dengan kemasan gula aising sebelum kami memulakan perniagaan.
"Sekiranya ada tempahan di luar kawasan barulah kek cawan itu dibakar di atas lori dengan menggunakan ketuhar," ujar Fatimah yang mengambil masa selama tiga bulan untuk menghadiri bengkel masakan dan rundingan perniagaan sebelum Cookies Wagon beroperasi.
Tidak hanya Fatimah, suaminya, Muhammad Azmi Azi, 26, turut bersama-sama melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Saya akui, isteri saya pandai membuat kek cawan di rumah. Namun, banyak aspek yang perlu diambil kira terutamanya berkaitan dengan kualiti apabila kita ingin berniaga.
"Memandangkan kami berniaga di luar bangunan dan terdedah kepada cuaca panas, kami perlu mengetahui bagaimana untuk mengekalkan kualiti kek cawan supaya rasanya segar seperti baru dibakar selain lembut, tidak kering serta gula aisingnya tidak cair.
"Jadi, kami ke Institut Teknologi Inovasi untuk belajar membuat biskut dan kek cawan daripada cef di sana. Kami turut menghasilkan tepung segera yang diadun khas menggunakan resipi asal untuk memudahkan kek cawan itu dimasak dan menyeragamkan rasanya, memandangkan kami bercadang membuka cawangan di lokasi berbeza.
Buang kek
"Tepung tersebut hanya perlu ditambah air dan telur untuk mendapatkan rasa kek cawan yang sama.
"Tepung itu turut dijual bagi memberi peluang kepada pelanggan merasai keenakan kek cawan Cookies Wagon di rumah sendiri dengan cara yang lebih mudah," jelas Muhammad Azmi.
Memiliki 10 orang pekerja, tiga buah lori yang beroperasi di Melaka, Seri Kembangan dan Putrajaya serta sebuah kios jualan yang terletak di Presint 2, Putrajaya, Fatimah menarik nafas lega apabila melihatkan sambutan menggalakkan yang diterimanya.
"Respons daripada pelanggan sangat menggalakkan. Kami bersyukur kerana konsep perniagaan bergerak itu diterima masyarakat dan mula menjadi trend," kata ibu kepada seorang anak ini.

LEBIH kurang 300 kek cawan dijual pada setiap hari.


Fatimah dan suaminya menawarkan pelbagai perisa kek cawan antaranya cip coklat asli bersama walnut, cip coklat bersama oat, oreo dan coklat gelap.
Dalam pada itu, Cookies Wagon menggunakan bijian kopi Arabica bermutu tinggi untuk menghasilkan minuman ice blended premium.
Malah, Fatimah turut mendapatkan bimbingan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memilih bijian kopi bermutu tinggi untuk menghasilkan ice blended premium seperti yang dijual oleh rangkaian kafe kopi mewah namun boleh didapati pada harga yang lebih murah kios Cookies Wagon.
"Untuk rangkaian kek cawan, pada setiap hari kami akan menjual perisa yang berbeza. Namun, perisa royal red velvet dan oreo dijual setiap hari memandangkan ia produk yang paling laris dan diminati ramai.
"Bagi ice blended pula, ramai yang menggemari gabungan perisa oreo bersama coklat serta caramelo," ujar Fatimah yang turut bekerjasama dengan kumpulan profesional dari Universiti Putra Malaysia bagi menghasilkan aising vanila yang dicampur dengan buah burberi yang mampu menjadi agen antikanser.
Selain menggunakan wagon berwarna ceria untuk menarik perhatian golongan muda serta keluarga, pasangan suami isteri ini turut menjual produk mereka pada harga yang berpatutan.
Francais
"Kami menjual setiap satu kek cawan pada harga RM2.80 dan ice blended bermula daripada RM5. Ia bukan sahaja mampu dibeli tetapi berkualiti, bersih dan segar kerana setiap hari kami akan membakar kek cawan yang baharu.
"Polisi kami, tiada kek cawan yang akan dijual sebanyak dua kali. Jika jualan pada hari tersebut tidak habis, bakinya kami akan berikan kepada jiran ataupun dibuang," katanya yang berminat untuk mencuba pelbagai resipi keluarga selain mendalami buku-buku masakan yang dibeli oleh ibunya sejak kecil.
Turut bercita-cita untuk membuka kedai bakeri sendiri, Fatimah kini sedang mengumpulkan seberapa banyak pengalaman dan ilmu perniagaan memandangkan ia memerlukan komiten dan modal yang tinggi.
"Impian itu ada. Namun, saya lebih selesa berniaga begini, lagipun anak masil kecil. Saya mahu orang mengenali jenama Cookies Wagon sebelum membuka cawangan kedai bakeri. Kalau boleh, saya mahu lori merah jambu ini ada di setiap negeri," katanya yang menjemput orang ramai yang berminat untuk turut serta dalam perniagaan francais Cookies Wagon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: