|
MELANGKAH masuk ke pekarangan rumah milik seorang kontraktor wanita dan pereka hiasan dalaman, Rosnani Mohamad, 53, kru Jurnal kagum dengan hiasan serta dekorasi yang diketengahkan bagi memberi inspirasi kepada para pelanggannya.
Menjadi pereka hiasan dalaman selama 26 tahun, Rosnani tidak menyangka kerjaya yang pada mulanya dilakukan secara sambilan kini menjadi sumber pendapatannya apabila dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat perkapalan pada tahun 2002.
“Sebenarnya, saya tiada langsung latar belakang dalam bidang hiasan dalaman. Namun, saya meminati bidang tersebut,” katanya.
Rosnani berkata, dia menceburi bidang itu juga secara tidak sengaja apabila dia memerlukan perbelanjaan kerana suaminya, Muhammad Nor Katim, 56, jatuh sakit.
“Sejak itu, saya mula tercari-cari kerja apa yang saya boleh lakukan bagi menambah pendapatan,” katanya.
Wanita itu memberitahu, dia kemudian mendapati dirinya mewarisi kemahiran menjahit daripada ibunya.
“Buat permulaan, saya mengambil upah menjahit langsir dan lama-kelamaan saya cuba pula menjual kertas dinding dan perabot bagi menambah pendapatan kami sekeluarga.
“Saya mengambil inisiatif dengan mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang hiasan dalaman untuk menambah pengetahuan saya dalam bidang itu selain mendalami ilmu berkaitan pembuatan perabot,” ujar ibu kepada empat orang anak ini.
Tambahnya, dia juga pernah membuat hiasan dalaman di rumah rakan-rakannya secara percuma ketika mula-mula menceburi bidang hiasan dalaman.
Secara tidak langsung, kata Rosnani, ia merupakan promosi buat dirinya sendiri kerana rakan-rakannya itu mula menyukai konsep hiasan yang dibawanya.
“Untuk mengetahui sesuatu material itu cantik atau tidak, saya akan mengaplikasikannya di rumah saya terlebih dahulu sebelum memberi cadangan kepada para pelanggan.
“Saya sudah banyak kali menukar kertas dinding di rumah ini.
Ketelitian
“Saya turut mengambil kursus untuk menjadi kontraktor bagi mendalami ilmu berkaitan pembuatan rumah yang bermula dari A hingga Z kerana saya sememangnya tiada pengetahuan mengenai bidang yang diceburi itu tetapi saya berusaha untuk mempelajarinya.
“Saya sendiri tidak menyangka akan serius dalam bidang ini kerana bagi saya, apabila bercakap tentang perniagaan yang hendak dijalankan, ia mestilah mempunyai kaitan dengan hobi dan minat seseorang.
“Jika perniagaan yang dijalankan itu sudah menjadi minat kita, segalanya-galanya tidak mustahil. Saya pernah cuba untuk menjadi mak andam tetapi saya mendapati, jiwa saya bukan ke arah itu walaupun saya boleh menyolek dengan baik,” jelasnya yang pernah membuka spa tetapi menjualnya kepada rakan disebabkan kekangan masa.
Menurutnya, bidang hiasan dalaman merupakan sesuatu yang baharu di Malaysia dan ia boleh dikatakan sinonim dengan golongan atasan disebabkan kosnya yang mahal tetapi golongan pertengahan juga sebenarnya boleh mendapatkan khidmat pereka hiasan dalaman mengikut bajet mereka.
|
|
“Selalunya, bidang ini lebih menjadi tumpuan golongan atasan dan bagi saya, jika kena pada bajetnya dan apa yang dimahukan pelanggan, tidak mustahil golongan pertengahan juga boleh mendapatkan khidmat pereka hiasan dalaman.
“Menceburi bidang ini memerlukan saya menjadi seorang yang sangat teliti kerana jika terdapat kesalahan, hasilnya pasti tidak memuaskan hati saya dan pelanggan selain menimbulkan banyak masalah pada kemudian hari.
“Selain itu, sukar untuk mencari satu konsep yang spesifik dan sesuai serta menepati cita rasa pelanggan. Saya akan memastikan konsep yang diberi kepada pelanggan mestilah sesuatu yang praktikal dan ia juga boleh digabungkan dengan perabot lama milik mereka,” tambahnya yang akan memastikan semua projeknya mengikut bajet pelanggan.
Ujarnya, pelbagai pengalaman serta bermacam-macam kerenah pelanggan yang terpaksa dilaluinya.
Namun, semua itu tidak pernah mematahkan semangatnya demi mencari sesuap nasi untuk keluarganya.
“Agak sukar juga memenuhi permintaan para pelanggan kerana pasti terdapat percanggahan pendapat dan saya perlu menyatukan semua pendapat yang diterima itu untuk memperoleh hasil yang memuaskan.
“Saya juga pernah ditipu apabila disuruh melakar reka bentuk terlebih dahulu tetapi setelah lukisan itu diberi kepada pelanggan, dia bertindak mendapatkan khidmat daripada pereka hiasan dalaman yang lain dengan menggunakan idea saya itu.
“Bayangkan perasaan saya ketika itu kerana untuk mendapat idea bagi sesuatu konsep itu bukannya kerja yang mudah sehinggakan saya tidak tidur malam bagi menyiapkan lakaran tersebut tetapi akhirnya mereka senang-senang sahaja mengupah pereka lain dan menggunakan idea saya itu,” ujarnya yang bercita-cita mahu membuka sebuah syarikat pembinaan.
Wanita itu berkata, semasa dia mula menjadi kontraktor, ramai orang yang tidak percaya dengan kemampuannya untuk mengendalikan sesuatu projek.
Berfikiran positif
“Semua itu menjadi cabaran kepada saya termasuklah membina perhubungan dengan pihak pembekal. Namun, selepas melihat hasil kerja saya, mereka mulai percaya kemampuan seorang wanita untuk mengendalikan projek pembinaan dan secara keseluruhannya, masa selama satu tahun setengah diperlukan untuk menyiapkan satu projek pembinaan.
“Saya akan sentiasa memantau sesuatu projek pembinaan kendalian saya dari A hingga Z bermula dari tanah kosong sehinggalah ia menjadi sebuah rumah dan saya tidak boleh lepas tangan kerana semuanya memerlukan ketelitian yang tinggi.
“Dahulu saya menyewa sebuah pejabat untuk memudahkan urusan. Namun, disebabkan kerja itu memerlukan saya sentiasa berada di lokasi pembinaan, saya membuat keputusan untuk hanya beroperasi dari rumah sahaja,” katanya yang mempunyai tujuh orang pekerja tetap.
Menurut Rosnani, keadaan itu berlaku kerana selain dapat menjimatkan kos ia lebih fleksibel sekali gus menyebabkannya mempunyai lebih masa bersama keluarga.
Dia berkata, pelbagai cabaran terpaksa dilaluinya kerana jarang sekali kaum wanita menjadi kontraktor.
“Saya percaya rezeki masing-masing walaupun terpaksa bersaing dengan bangsa lain yang sememangnya pakar dalam bidang ini. Bagi saya, jika orang lain boleh lakukan, tidak mustahil saya boleh melakukannya,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai pengalaman pahit dan manis dalam hidupnya, Rosnani memberitahu, kenangan pahitnya ialah apabila satu-satunya anak lelakinya, Aizat Naim, 21, sakit sejak 13 tahun.
“Ketika dia berumur lapan tahun, dia disahkan menghidap demam panas dan sejak itu, dia hanya terlantar di katil kerana tidak boleh berdiri serta bercakap. Dia hanya sempat bersekolah sehingga darjah dua namun saya berfikiran positif selain berharap dia akan sembuh.
“Hati ibu mana yang tidak sedih apabila melihat remaja sebayanya melalui zaman persekolahan, universiti dan seterusnya mendirikan rumah tangga. Namun, saya menganggap ia merupakan ujian kepada saya,” ujarnya.
Menurutnya, saat-saat manis yang dirasainya sebagai ibu adalah apabila dia berpeluang membawa anaknya itu mengerjakan haji dan umrah.
“Dia hanya tersenyum ketika memandang Kaabah ketika kami membawanya mengerjakan umrah dan saya bersyukur kerana perjalanannya dipermudahkan sebagai tetamu Allah SWT. Dia juga tidak banyak meragam sepanjang berada di sana,” jelasnya.
Menurutnya, pelanggan merupakan kekuatan utama bagi kemajuan perniagaan.
“Saya akan memastikan para pelanggan saya memperoleh apa jua mereka inginkan selain berpuas hati dengan mutu kerja saya kerana ada di antaranya yang sangat teliti dan cerewet dengan hasil kerja.
“Saya juga sering berpesan kepada para pekerja supaya sentiasa teliti dalam setiap kerja yang dilakukan bagi meminimakan aduan daripada para pelanggan selain menjaga kebajikan mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: