Monday, June 24, 2013

Survival bot penambang Kuala Terengganu



BOT penambang mampu memendekkan jarak perjalanan dari Seberang Takir ke pusat bandar Kuala Terengganu.



SEAWAL pukul 7.30 pagi, jeti penambang di Seberang Takir, Kuala Terengganu mula dipenuhi penduduk setempat. Ada yang menjinjing bakul untuk ke pasar dan segelintir yang lain pula berpakaian kemas untuk ke tempat kerja.
Kemudahan bot penambang di perkampungan nelayan Seberang Takir ke pusat bandar Kuala Terengganu itu telah lama menjadi pengangkutan tradisional pilihan mereka.
Dengan bayaran RM1 sehala, penumpang dapat tiba ke destinasi dengan lebih pantas berbanding jalan darat.
"Kalau naik bot ini kita boleh sampai ke bandar dalam tempoh kira-kira lima hingga 10 minit. Biasa kalau naik motosikal kita akan tiba dalam masa 15 minit.
"Perjalanan menaiki kereta pula jika dicampur kesesakan lalu lintas boleh mencecah 20 hingga 30 minit," kongsi seorang penumpang, Suriati Mohd. ketika ditemui Kosmo! di jeti bot penambang Taman Shahbandar, Kuala Terengganu.
Selama tiga tahun, Suriati menjadi penumpang harian bot penambang tersebut. Wanita berusia 30 tahun itu menaiki bot dari rumahnya di Seberang Takir ke Taman Shahbandar setiap pagi dan petang untuk ke tempat kerja lamanya di lot kedai baharu yang terletak di belakang Pasar Besar Kedai Payang.
"Dahulu tambangnya hanya 50 sen," tambah Suriati yang dilihat membawa beberapa beg plastik berisi barangan dapur yang dibeli di Pasar Payang.
Selain faktor masa dan penjimatan kos pengangkutan, Suriati juga menggemari suasana yang dirasai ketika berada dalam bot penambang. Kesejukan angin Laut China Selatan yang menyentuh wajah dan tubuh menghadirkan rasa nyaman yang cukup menyegarkan.
Dianggarkan kira-kira 20 buah bot penambang beroperasi setiap hari bermula pukul 6 pagi hingga 7 malam. Namun operasi membawa penumpang bot dari jeti Seberang Takir menuju ke jeti Taman Shahbandar tamat pada pukul 6 petang.

KEDUDUKAN jeti bot penambang terletak bersebelahan jeti utama ke Pulau Redang di Taman Shahbandar.


Anak muda
Saat kaki melangkah masuk ke dalam bot yang boleh memuatkan kira-kira 40 penumpang itu, tumpuan pasti terarah kepada golongan warga emas yang membawa pelbagai barangan harian yang dibeli dari bandar.
Kelibat anak-anak muda pula tidak kelihatan dan jika ada pun, kanak-kanak yang setia menemani ibu bapa atau datuk nenek mereka ke pasar. Timbul persoalan, adakah pengangkutan air itu tidak lagi digemari golongan belia?
Seorang penumpang muda, Mohd. Nasaruddin Mohd. Aziz memberitahu: "Hari ini merupakan kali pertama saya menaiki bot penambang dalam tempoh hampir 20 tahun.
"Kali terakhir saya menaiki bot ini ketika umur tujuh tahun ketika menemani mak cik saya membeli kuih di jeti Seberang Takir.
"Dahulu memang kerap menaiki bot ini sebab kuih yang dijual di Seberang Takir sangat terkenal dengan keenakannya. Lagi pun ketika itu keluarga saya masih menetap di Kampung Tanjung Pantai yang terletak berhampiran dengan jeti Taman Shahbandar.
"Saya dan mak cik menaiki beca atau berjalan kaki dari rumah ke jeti," singkap Mohd. Nasaruddin yang kini menetap di Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir.
Tambah lelaki berusia 25 tahun itu, orang muda di Kuala Terengganu jarang memilih pengangkutan air tersebut. Jika ada pun penduduk yang tinggal berdekatan dengan jeti Seberang Takir yang tidak memiliki kenderaan.
"Orang sekarang ramai sudah berkereta. Ia lebih mudah dan praktikal untuk membawa barang yang dibeli di bandar," kata Mohd. Nasaruddin.
Bagaimanapun pengalaman menaiki bot penambang itu semula mengundang memori kanak-kanak yang cukup manis untuk dikenang Mohd. Nasaruddin. Baginya, meskipun wujud kenderaan darat, bot penambang masih perlu dikekalkan.
"Sejujurnya saya gembira bot penambang ini masih ada sehingga ke hari ini. Ia perlu diteruskan kerana ia telah sebati dengan imej Pasar Payang yang menjadi sebahagian besar warisan utama Terengganu," tutur Mohd. Nasaruddin.
Selain beroperasi membawa penumpang secara harian, bot di jeti penambang itu juga sedia untuk disewa bagi tujuan bersiar-siar menyusuri Sungai Terengganu. Caj bagi khidmat itu ditetapkan pada harga RM40 bagi tempoh satu jam.
Bersebelahan jeti penambang Taman Shahbandar itu pula terletaknya jeti bagi membawa orang ramai ke destinasi percutian terkenal Terengganu, Pulau Redang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: