|
SETIAP hari, kita mendengar berita kekejaman manusia membabitkan pelbagai kejahatan seperti merompak, merogol, bahkan ada yang sanggup melaku- kan pembunuhan.
Pada masa yang sama, kita juga mendengar cerita mengenai kebaikan manusia. Ada yang menghulurkan bantuan kepada orang lain apabila diperlukan. Ada pula individu tertentu yang kita kenal dengan sifat kebaikannya.
Semua itu membuatkan kita bertanya, mengapa tatkala kita berasa bahawa dunia ini tidak lagi selamat, ada pula manusia yang memanfaatkan orang lain. Siapakah sebenarnya manusia ini?
Dalam psikologi, terdapat dua panda- ngan mengenai manusia. Ada pandangan yang menyatakan bahawa manusia ini bersifat rasional.
Ini bermaksud dalam setiap tindak- tanduk yang dilakukan, akan ada pertimbangan tertentu. Sebab itulah mereka yang rasional boleh mengawal diri mereka, sekalipun dihadapkan perkara yang sukar.
Orang miskin misalnya, mereka tidak mencuri atau merompak harta orang lain kerana ia tidak dianggap sebagai rasional.
Bagaimanapun, terdapat pula panda- ngan kedua mengenai manusia. Manusia dianggap mempunyai ciri- ciri seperti haiwan.
Pandangan itu mungkin sedikit mencetuskan kontroversi. Dengan melihat semula tindakan-tindakan tidak logik, kita mungkin boleh mengandaikan bahawa pandangan tersebut ada benarnya.
Peragut misalnya, tidak mempeduli- kan siapa mangsanya. Mereka sanggup meragut nenek tua atau ibu mengandung, asalkan mendapat habuan.
Lebih malang, mereka mengabaikan nyawa orang lain. Mereka tidak peduli kalau orang lain tercedera atau terdedah dengan bahaya.
Kalau mereka bersikap rasional dan tidak membawa naluri kebinatangan itu, hal kejahatan mungkin tidak berlaku.
Ini bermakna, tatkala ada manusia rasional, ada pula yang tidak bersikap rasional.
Sebab itulah kita perlu berhati-hati. Walaupun rambut manusia sama hitam tetapi apa yang ada di hati orang lain, tidak dapat kita ketahui.
Apakah pula yang membentuk sifat manusia ini?
Hal yang sering didebatkan oleh ahli psikologi, adakah peribadi manusia dibentuk secara semula jadi atau disebabkan faktor persekitaran.
Ada pandangan yang menyatakan bahawa keperibadian manusia diwariskan daripada orang tua mereka.
Sifat yang diwarisi
Pandangan itu menghujahkan bahawa ia berlaku di bahagian fungsi otak manusia atau dalam istilah saintifiknya frontal cortex dan limbic system (sekumpulan struktur otak termasuk amigdala, hipokampus dan hipotalamus yang berkaitan dengan aktiviti seperti fungsi autonomi, emosi dan tingkah laku).
Sifat takut dan malu dikatakan diwariskan daripada genetik ibu bapa.
Bagaimanapun, pandangan yang lain menyatakan bahawa persekitaranlah yang sebenarnya membentuk sifat manusia.
Anak-anak kecil yang pemalu atau penakut misalnya, bukanlah kerana mereka mewarisi apa yang dibawa oleh ibu bapa mereka.
Sebaliknya, mereka mempelajari sifat tersebut daripada kedua ibu bapa atau keluarga mereka. Anak-anak yang sering didedahkan dengan cerita menakutkan, mungkin juga akan menjadi seorang yang penakut.
Seseorang itu mungkin juga menjadi pemalu kerana keluarga mereka telah mendidik mereka dengan sikap tersebut.
Sekiranya kita percaya bahawa sistem genetik atau persekitaran ibu bapa yang membentuk keperibadian seseorang, maka pada akhirnya kita tidak boleh menyalahkan individu yang melakukan jenayah.
Ini kerana bukan mereka yang berhasrat untuk menjadi sedemikian rupa tetapi mereka mewarisi apa yang orang tua mereka miliki.
Hakikatnya tidak sedemikian. Setiap manusia dikurniakan dengan akal untuk bertindak sama ada perbuatan mereka itu rasional atau tidak.
Bagaimanapun, adakalanya banyak perlakuan manusia itu disebabkan oleh pengaruh yang ada di sekelilingnya.
Ia bergantung kepada dengan siapa mereka bergaul dan berapa banyak masa dihabiskan dengan orang itu.
Mereka yang banyak bergaul dengan orang alim misalnya, mungkin akan cenderung untuk menjadi orang yang baik dan banyak bercakap mengenai kebaikan.
Mereka yang banyak menghabiskan masa dengan usahawan pula mungkin akan mempunyai kecenderungan untuk berniaga.
Begitu jugalah dengan mereka yang terlibat dengan jenayah. Biasanya, mereka juga mempunyai teman-teman yang mempunyai sifat atau kecenderungan seperti mereka juga.
Orang baik tidak boleh bergaul dengan mereka yang mempunyai perilaku tidak baik kerana secara psikologinya, ia menjadikan mereka tidak selesa.
Begitu jugalah sebaliknya, mereka yang mempunyai sifat yang buruk tidak mungkin mampu untuk menjadi teman akrab kepada mereka yang mempunyai sifat yang mulia. Mereka akan merasa diri diasingkan.
Kalaulah begitu kitar hidup manusia, ini bermakna sepanjang zaman kita akan tetap mempunyai dua jenis manusia iaitu manusia yang mulia dan manusia yang merosakkan orang lain.
Pada akhirnya ia bergantung kepada apa yang kita pilih. Manusia boleh memilih sama ada mahu menjadi makhluk yang rasional atau terus berasa megah dengan naluri haiwan.
Kita mungkin tidak mampu mengubah dunia. Bagaimanapun, sesiapapun tidak boleh menghalang diri kita untuk mengubah diri sendiri. Itulah definisi terbaik menceritakan makhluk yang bernama manusia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: