Friday, June 21, 2013

Kuasa perubatan dalam tumbuhan


BUAH mengkudu boleh mengatasi masalah darah tinggi, demam dan rasa nyeri.


BUAH-BUAHAN dan herba merupakan sumber makanan lazim dalam diet seharian. Namun, tidak ramai yang sedar tentang nutrien dan manfaat perubatannya. Fungsi tumbuh-tumbuhan itu khususnya dari segi kesihatan, rawatan dan penyembuhan masih kurang didedahkan. Berikut, dijelaskan secara lanjut tentang tiga jenis tumbuhan yang mempunyai kuasa perubatan.
Bunga lawang
Dikenali sebagai buah pekak, kembang lawang atau bunga lawang, ia merupakan sejenis rempah yang memiliki rasa seakan-akan jintan manis. Biasanya, bunga lawang ini dijadikan rempah penyedap makanan. Bunga lawang banyak ditemui dalam masakan kaum India, Thailand, Vietnam dan Indonesia seperti kari atau sebagai penyedap rasa masakan. Di Indonesia khususnya, rempah ini digunakan di beberapa daerah yang memiliki ciri khas masakan berperisa rempah yang kaya. Antaranya ialah gulai Aceh, rendang Padang, masakan Jawa dan Bali.
Selain memberi rasa kepada makanan, bunga lawang mempunyai kesan perubatan yang sangat mujarab. Secara amnya, bunga lawang dikenali sebagai agen penyembuh jangkitan respirasi dan radang, selesema (influenza), selesema babi dan burung.
Selain itu ia juga boleh dijadikan penawar kepada gangguan pencernaan, perut kembung, kehilangan nafsu makan, kolik bayi, batuk dan bronkitis. Bunga lawang juga digunakan secara oral untuk meningkatkan penghasilan susu ibu, kesakitan haid, memudahkan kelahiran bayi, meningkatkan libido dan menangani gejala klimakterik lelaki.
Dalam industri pembuatan, minyak bunga lawang digunakan sebagai komponen utama dalam aroma sabun, kosmetik, pewangi dan ubat gigi. Bunga lawang juga digunakan secara meluas dalam industri farmasi bagi mengawal bau ubat-ubatan.
Mengkudu
Rasa buahnya yang tawar dan bau yang kurang menyenangkan bukan alasan untuk kita menghindari buah mengkudu atau buah noni.
Selain dijadikan jus, daun dan pulpa mengkudu didapati mempunyai pelbagai manfaat penyembuhan. Antaranya, mengatasi masalah darah tinggi, demam, rasa nyeri dan jangkitan.
Buah mengkudu merupakan sumber utama vitamin C, A, B kompleks, kalsium, sulfur, kalium, fosfor serta asid amino seperti fenilalanin dan tirosin. Kebiasaannya, mengkudu digunakan sebagai agen antiinflamasi bagi mengurangkan rasa sakit berkait dengan penyakit artritis dan ketidakselesaan sendi.
Mengkudu merupakan pelindung terbaik untuk ginjal, hati dan perut. Ia membantu menyeimbangkan kandungan alkalin dalam tubuh. Bukan itu sahaja, mengkudu juga membantu pankreas mengatur dan menstabilkan kadar gula dalam darah. Ia bermanfaat bagi mereka yang menderita diabetes mahupun hipoglisemia.

BUNGA lawang banyak ditemui dalam masakan masyarakat Indonesia, Thailand, Vietnam dan India.


Pengambilan jus mengkudu terbukti melindungi perkembangan sel kanser kerana ia bersifat antitumor di samping berkemampuan mencegah luka dalam usus, menurunkan kandungan asid di dalam perut dan meningkatkan lendir yang melindungi lapisan perut.
Bendalu
Bendalu atau benalu ialah tumbuhan yang menumpang dan memperoleh makanan daripada tumbuhan yang ditumpangnya. Ia digolongkan dalam spesies mistletoe atau mistletoe eropaatau iaitu sejenis hemiparasit semak.
Beberapa penelitian dan fakta membuktikan, bendalu memberi kesan positif terhadap kanser. Di Jerman misalnya, pesakit kanser diubati dengan memberikan ubat tradisional berupa ekstrak bendalu yang dipercayai mampu menghalang dan memusnahkan sel tumor sekali gus meningkatkan kekebalan tubuh. Bagaimanapun, tumbuhan bendalu hanya ditemui di tempat bermusim dingin.
Keberkesanan bendalu merawat kanser ditemui sekitar tahun 1920. Jerman meneruskan kajian dan akhirnya bendalu dijadikan ubat sokongan kepada pesakit kanser. Sehingga hari ini, para onkologi menggunakannya sebagai ubat utama dalam penyembuhan kanser.
Hasil penyelidikan mendedahkan bendalu memiliki zat lektin atau dikenali sebagai mistellektin. Di Jerman, penggunaan mistellektin diterapkan dalam rawatan terapi kanser. Malah, menurut statistik, pesakit yang diubati menggunakan mistellektin secara umumnya menunjukkan kualiti hidup semakin baik.
Bagi mereka yang menjalani rawatan kemoterapi, pemberian mistellektin mengurangkan kesan akibat rawatan itu seperti rasa mual, keguguran rambut, pening dan kehilangan nafsu makan.
Di Asia Tenggara, catatan pengkaji botani menunjukkan bendalu digunakan di Pulau Jawa sejak tahun 1968. Ia digunakan sebagai ubat tradisional bagi merawat penyakit cacar air dan lembu, cirit-birit, ubat untuk cacing kait pada anjing, tumor dan kanser.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: