Monday, June 24, 2013

Anuar Zain kemuncak Nyonya & The Gang


ANUAR muncul mengalunkan lagu Ketulusan Hati dengan sepenuh jiwa dan emosi.


PENYANYI tersohor Malaysia, Anuar Zain yang tampil membuat persembahan khas menerusi teater Nyonya & The Gang selama dua hari berturut-turut iaitu pada 19 dan 20 Jun lalu, ternyata berjaya menghiburkan kira-kira 1,000 penonton yang hadir.
Penantian para peminat setianya yang menunggu sejak 8.30 malam berbaloi apabila Anuar muncul dari belakang set kamar tidur yang disinari lampu sorot tepat pukul 10.30 malam.
Kelihatan segak dan kemas mengenakan sut elegan berwarna hitam, Anuar lantas mendendangkan sebuah lagu yang berkonsepkan ketuhanan iaitu Ketulusan Hati dengan penuh penghaya- tan dan perasaan.
Dia melontarkan kelunakan vokalnya itu sebaik sahaja keluar di sebalik langsir di belakang set kamar tidur tersebut, membuatkan pentas Istana Budaya gamat dengan jeritan para peminatnya.
Anuar Zain atau lebih mesra disapa Anuar menyatakan, ia merupakan kali pertama dirinya terlibat dalam pementasan dunia teater.
Walaupun tidak berlakon dan hanya menyanyi dalam teater arahan Rosminah Mohd. Tahir dan Siti Rohayah Attan itu, bagi Anuar ia merupakan pengalaman terindah.
“Saya pernah berlakon sebelum ini tetapi bakat saya bukan dalam bidang lakonan. Jadi, saya lebih yakin untuk menyanyi berbanding dalam bidang lakonon. Saya tidak yakin untuk berlakon,” katanya.
Apabila ditanya apakah perasaannya apabila berada dalam satu produksi bersama Amy Mastura, Fara Fauzana dan Misha Omar, Anuar menyatakan yang dia cukup teruja biarpun tidak digandingkan dalam satu babak yang sama.

KIAH PROPA sedang beraksi dalam teater Nyonya & The Gang.


“Saya rasa gembira kerana dapat terlibat dalam produksi CTRA dan bersama-sama dengan artis lain serta golongan profesional serta sangat kreatif,” katanya.
Sebelum ini Anuar hanya membuat persembahan di konsert- konsert dan majlis-majlis rasmi tetapi dia tidak pernah terfikir akan membuat persembahan nyanyian dalam pementasan teater.
“Ia merupakan peluang yang baik dan merupakan luar daripada bidang saya sebelum ini.
“Walaupun tidak berlakon dan hanya membuat persembahan nyanyian pada malam ini (19 Jun lalu), perasaan saya berbeza oleh kerana prop dalam teater tersebut,” ujarnya lagi.
Tambah Anuar, persediaannya untuk beraksi dalam teater tersebut sama sebagaimana konsert yang dijayakan sebelum ini.
“Saya perlu datang awal ke pentas bagi pemeriksaan teknikal sebelum persembahan diadakan,” jelasnya.
Bercerita tentang persetujuannya untuk bersama produksi Nyonya & The Gang yang diambil dalam tempoh singkat, ujar Anuar, faktor utama kemunculannya dalam teater itu adalah kerana latar belakang penceritaannya.
“Ia mempunyai kaitan dengan tempat diri saya membesar iaitu di Kampung Simpang Serkam, Merlimau, Melaka,” akuinya.
Sementara itu, Amy Mastura yang pernah digandingkan dengan Anuar menerusi filem Bintang Hati menyatakan kegembiraannya terlibat dalam teater Nyonya & The Gang.
“Saya berasa gembira kerana sambutan yang diberikan terhadap teater ini amat menggalakkan.
“Walaupun Anuar tidak berlakon dalam satu babak yang sama, saya selaku rakannya teruja kerana Anuar menerima tawaran muncul dalam teater ini,” ujar Amy.
Sementara Siti Rohayah Attan turut melahirkan perasaan gembira kerana pementasan tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada khalayak, terutamanya pementasan yang menampilkan Anuar.
Selain Fara, Misha dan Amy Mastura, teater tersebut turut menampilkan lakonan Mardiana Alwi, Taiyuddin Bakar dan Kiah Propa.
Ia diterbitkan oleh CTRA Production dengan kerjasama Kosmo! sebagai akhbar rasmi dan dipentaskan dari 14 hingga 20 Jun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: