Saturday, June 22, 2013

Zue's Oven guna blog jual kek 3D

ZURIANI kini boleh menarik nafas lega apabila produk Zue's Oven mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.


BERMULA sekadar suka-suka, usaha Zuriani Abd. Kadir, 47, menghasilkan kek cawan kini menjana pendapatan lumayan.
Pemegang Ijazah Sarjana Perakaunan dari Universiti London Timur, United Kingdom itu sanggup meninggalkan kerjayanya demi perniagaan bakeri.
Bekas kakitangan sumber manusia Syarikat Bina Darul Aman, Alor Setar iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) itu berhenti kerja empat tahun lalu semata-mata mahu memberi tumpuan kepada perniagaan bakeri yang semakin mendapat sambutan.
Minatnya yang mendalam terhadap pembuatan kek menyebabkan Zuriani lebih mementingkan kepuasan pelanggan berbanding keuntungan.
Zuriani atau lebih mesra dengan panggilan Zue berkata, sejak di bangku sekolah dia memang gemar melukis dan memasak kek.
"Sejak kecil saya sering membantu ibu menyediakan pelbagai jenis biskut raya yang ditempah secara kecil-kecilan.
"Ketika belajar di luar negara selama enam tahun, saya dan teman-teman akan bergotong-royong menyediakan kek dan biskut sebagai juadah hari raya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Usaha Zuriani menghasilkan biskut dan kek itu mendapat sokongan daripada suaminya, Mohd. Jafri Abd. Hamid, 47, serta tiga orang anak mereka.
Zuriani terlibat secara tidak langsung dalam perniagaan bakeri lima tahun lalu menggunakan jenama Zue's Oven.
"Bisnes ini bermula selepas saya membawa marble cheese brownies ke pejabat. Mereka sukakannya. Sejak itu ramai kawan-kawan yang menempah kek, biskut dan makaroni saya," katanya yang berusaha memantapkan kemahiran dengan mengikuti kelas-kelas menghias kek.
Tempahan
Pada hari-hari biasa, Zuraini biasanya menerima tempahan kira-kira 10 biji kek. Permintaan itu akan meningkat pada musim perayaan.
Meskipun Zuraini lebih suka membuat kek tanpa bantuan orang lain, anak-anaknya sering membantunya.

SEORANG anak Zuriani membantunya membuat dan membungkus kek.


Kek hasil tangan anak ketiga daripada lapan beradik itu bukan sahaja mendapat sambutan dalam kalangan orang tempatan malahan pernah mendapat tempahan dari luar negara seperti Belanda dan India.
Selain itu, jirannya yang merupakan warganegara Jerman juga sangat menyukai kek yang dihasilkan Zuraini dan pernah memintanya membuat kek marble cheese brownies untuk dijadikan buah tangan.
Selain kreatif menghias kek dengan pelbagai figura bunga, Zuriani juga berbakat dalam membuat kek tiga dimensi (3D), kek balang, biskut, brownies, pasta, pemanis mulut dan kek mini.
Malah, dia pernah diberi kepercayaan menyediakan kek untuk sambutan hari lahir bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abd. Razak.
Produk-produk hasil tangan Zuriani juga berjaya mendapat tempat di hotel-hotel di sekitar Alor Setar.
Dia yang berasal dari Nilam Puri, Kelantan turut mengiklankan produk Zue's Oven dalam blog dan Facebook.
Selain itu, Zuriani juga menyediakan katalog yang dimuatkan dengan gambar-gambar produk bakeri hasil buatannya untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan.
Mereka yang berminat boleh membuat tempahan melalui blog miliknya iaitu cekmekzue-zue.blogspot.com atau www.facebook.com/pages/Zues-oven.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: