Saturday, June 29, 2013

TBNSA bukan taman botani biasa



HUTAN dalam bandar. Itu ayat yang tepat bagi menggambarkan keistimewaan Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) yang dulu dikenali sebagai Taman Pertanian Bukit Cerakah.
Jika anda merancang untuk berkunjung ke destinasi riadah hujung minggu yang lengkap dengan aktiviti lasak dan santai yang sesuai untuk semua peringkat umur, TBNSA adalah pilihan terbaik.
Kedudukannya yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur menjadikan TBNSA lokasi riadah tumpuan warga kota yang mahu menghabiskan cuti hujung minggu bersama insan tersayang.
Sebanyak 600 tempat letak kereta awam yang disediakan di TBNSA mula dipenuhi kenderaan pengunjung seawal pukul 8 pagi khususnya pada hari hujung minggu. Mereka yang bercadang untuk berbasikal di taman botani tersebut perlu tiba awal pagi supaya tidak pulang hampa kerana basikal yang ada habis disewakan kepada pengunjung.
Bagaimanapun, ramai yang tidak tahu bahawa TBNSA adalah lokasi paling ideal untuk menganjurkan aktiviti hari keluarga bersama rakan-rakan, teman sepejabat ataupun keluarga yang berskala besar.
PENGUNJUNG yang gemarkan aktiviti lasak boleh mencuba aktiviti yang ditawarkan di Taman Cabaran Skytrex, TBNSA.


Lokasi aktiviti famili
Pekerja swasta, Amirul Azman, 26, berkata, dia kerap mengunjungi TBNSA kerana taman rekreasi tersebut berada dalam persekitaran hutan yang lengkap dengan elemen flora dan fauna walaupun terletak di tengah-tengah pusat bandar Shah Alam.
Katanya, taman tersebut amat sesuai dijadikan lokasi penganjuran aktiviti hari keluarga kerana ia menitikberatkan aspek keselamatan serta menyediakan banyak lokasi sesuai untuk aktiviti berskala besar seperti explorace dan trek merentas hutan.
“Kenderaan luar tidak dibenarkan masuk tanpa kebenaran ke kawasan taman sebagai langkah keselamatan kepada pengunjung yang melakukan aktiviti rekreasi.
“Saya juga gemar dengan landskap taman padi yang ada di sini kerana dapat merasakan pengalaman hidup di kampung. Lebih-lebih lagi bagi orang yang tiada kampung seperti saya,” katanya yang berasal dari ibu negara.
Melarikan diri daripada kesibukan bekerja selama lima hari seminggu dengan mengunjungi TBNSA sedikit sebanyak mampu meningkatkan tahap kesihatan pengunjung dan meringankan fikiran mereka.
Mengimbau sejarah awal pembangunan taman botani tersebut, ia dimasyhurkan menjadi Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj ibni Hisamuddin Alam Shah Al-Haj pada tahun 1991.
Nama TBNSA sekarang adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada tahun 2007 untuk membangunkan TBNSA menggantikan nama lamanya iaitu Taman Pertanian Malaysia.
Dalam pada itu, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Azraful Azman, 23, berkata, dia dan rakan-rakan memilih untuk mengadakan hari keluarga bersama-sama bagi mengeratkan persahabatan dan mengurangkan tekanan menghadapi peperiksaan akhir semester.
“Selain bergelar pelajar, kami menggalas jawatan sebagai anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam yang terikat dengan pelbagai aktiviti universiti sehingga jarang meluangkan masa bersama-sama.
“Kemudahan yang ada di sini membolehkan kami bertemu dalam situasi berbeza untuk kenal-mengenal dengan lebih rapat,” ujarnya yang memegang jawatan Yang Dipertua MPP UiTM Shah Alam.

KEBANYAKAN pengunjung meluangkan masa berbasikal bersama keluarga pada hujung minggu.


Kem pelajar
Keindahan alam semula jadi TBNSA turut menjadi faktor utama yang menarik pengusaha syarikat perunding berteraskan pendidikan, P. Shaan, 44, untuk mengendalikan kem pendidikan selama tiga hari dua malam di taman tersebut.
“Perkembangan minda kanak-kanak serta remaja akan lebih terbuka jika mereka berpeluang menyertai aktiviti riadah di kawasan persekitaran yang hijau dan dekat dengan alam semula jadi.
“Taman ini selesa untuk dikunjungi dan menyediakan banyak kawasan terbuka dan berbumbung untuk menjalankan aktiviti riadah yang lasak dan ringan,” katanya ketika ditemui di TBNSA baru-baru ini.
Antara tarikan lain di TBNSA ialah Taman Haiwan, Taman Hiasan, Taman Iklim Sederhana Empat Musim, Taman Rempah-ratus, Taman Kaktus serta Taman Buah-buahan Tropika.
Selain itu, pengunjung juga boleh melihat keunikan reka bentuk rumah tradisional negeri-negeri di Malaysia yang terletak di Kampung Idaman taman botani tersebut.
Bagi mereka yang menggemari sukan lasak pula boleh mencuba aktiviti yang disediakan di Taman Cabaran Skytrex dengan membuat tempahan awal dengan pengendali aktiviti itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: