Friday, June 21, 2013
Kualiti udara Singapura cecah tahap bahaya
SINGAPURA - Kualiti udara di Indonesia merosot ke tahap berbahaya semalam selepas jerebu akibat pembakaran hutan di Indonesia menyelimuti pulau ini sekali gus mengganggu aktiviti perniagaan dan pengangkutan.
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di sini, masa lebih lama diperlukan untuk pendaratan dan pelepasan pesawat ekoran jarak penglihatan yang terhad.
Kerja-kerja di beberapa tapak pembinaan turut perlahan dengan rangkaian makanan ringan McDonald's menggantung perkhidmatan penghantaran di pulau ini.
Setakat pukul 1 tengah hari semalam, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sini melonjak kepada 371 sekali gus menandakan kualiti udara mencapai tahap berbahaya.
Takat IPU melebihi 300 menandakan udara berbahaya manakala bacaan antara 201 hingga 300 menunjukkan kualiti udara amat tidak sihat.
Dalam pada itu, kerajaan Singapura mahu pemerintah Indonesia bertindak menangani krisis tersebut.
"Tiada negara atau badan korporat yang berhak mencemari udara sehingga menyebabkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Singapura terjejas," kata Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Vivian Balakrishnan di laman Facebooknya.
Menurut Balakrishnan, Singapura telah menghantar beberapa pegawainya bagi membincangkan masalah jerebu tersebut di ibu negara Indonesia, Jakarta.
Masalah itu berpunca daripada pembakaran hutan di Pulau Sumatera yang terletak di barat pulau ini dan Malaysia.
Pembakaran hutan itu berlaku pada musim panas antara Jun hingga September bertujuan untuk membersihkan tanah bagi penanaman kelapa sawit.
Bacaan IPU di sini sejak dua hari lalu melebihi paras tertinggi 226 yang direkodkan pada 1997 apabila jerebu akibat pembakaran hutan di Indonesia mengganggu laluan kapal dan perjalanan udara di Asia Tenggara.
Dalam pada itu, beberapa pegawai Indonesia cuba menyalahkan syarikat-syarikat negara ini berhubung kebakaran hutan tersebut.
"Apa yang kami tahu terdapat beberapa pelabur asing dari Singapura terlibat dalam pembakaran hutan itu," kata seorang pegawai kanan Kementerian Perhutanan Indonesia, Hadi Daryanto.
Namun, tiga syarikat di sini yang diberikan konsesi tanah di Indonesia iaitu Wilmar International Ltd, Golden Agri-Resources Ltd dan First Resources Ltd menafikan mereka melakukan pembakaran hutan untuk meratakan tanah.
Ketiga-tiga syarikat menyatakan, proses tersebut dilakukan secara mekanikal tanpa melibatkan pembakaran hutan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: