Edika, 45, berkata, meskipun terpaksa memberi perhatian penuh kepada isterinya Norhidayah Yusri, 34, yang lumpuh namun kini tanggungjawab tersebut sudah boleh dibahagikan bersama anak-anak.
"Insya-Allah memang saya berhasrat untuk kembali aktif jika ada tawaran berlakon, begitu juga dalam bidang peragaan.
"Hari ini (Selasa) pun rasa agak kekok dan gementar sebab dah lama tidak berjalan atas pentas peragaan.
"Anak-anak juga sudah besar dan sudah boleh diharap untuk menjaga ibu mereka jika saya keluar bekerja atau ke set penggambaran," katanya yang ditemui pada Festival Fesyen Islam (IFF) berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.
Pada majlis tersebut Edika diberi peluang memperagakan pakaian iaitu kerjaya lama yang dilakukannya ketika aktif dalam bidang berkenaan suatu ketika dahulu.
Dalam pada itu pelakon yang popular dengan filem Maria Mariana ini berkata dalam tempoh 15 tahun menyepi daripada dunia hiburan, dia banyak melakukan kerja-kerja grafik dan percetakan.
Sementara itu, ditanya tentang perkembangan kesihatan isterinya, Edika berkata ia masih sama seperti dahulu, namun dia kini lebih aktif dalam mengusahakan perniagaan produk kecantikan.
"Dia nak bekerja dan mengusahakan bisnes produk kecantikan, jadi saya hanya beri sokongan dan dorongan kepadanya," katanya.
Hasil perkahwinannya dengan Norhidayah sejak 10 tahun lalu, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Fardeen Nurulhaq, 10, dan Fareena Nurulhaq, 9, serta seorang anak angkat Nazirul Afiq yang kini berusia 15 tahun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: