Sunday, June 23, 2013

Berenang pakai rambut palsu


TEKSTUR dan warna rambut perlu dirujuk terlebih dahulu agar sesuai dengan pelanggan sebelum ditempah di sebuah kilang di Korea Selatan.


LELAKI yang bertubuh kurus itu bersungguh-sungguh mendapatkan saiz dan bentuk kepala seorang pelanggannya untuk menghasilkan acuan rambut.
Sebagai seorang pengusaha pusat tempahan khas rambut palsu, lelaki itu, Mohd. Nur Firdaus, 40-an mahu menghasilkan rambut yang kelihatan asli untuk pelanggannya.
Menurutnya, rambut yang dihasilkannya itu berbeza berbanding yang terdapat di pasaran.
Mohd. Nur berkata, kebanyakan rambut palsu di pasaran mempunyai hasil kerja yang kelihatan kasar.
"Namun, khidmat yang saya tawarkan ini adalah membuat rambut palsu tempahan khas dengan mengikut imej pelanggan.
"Rambut itu nampak benar-benar semula jadi apabila ia digayakan," katanya kepada Jurnal.
Kebanyakan pelanggannya bukan hanya mahu kelihatan cantik semata-mata.
Sebaliknya, teknik itu merupakan salah satu kaedah kosmetik untuk mengatasi masalah botak dan rambut gugur.
Sebahagian daripada pelangganya itu adalah golongan lelaki yang mempunyai masalah botak di tengah kepala.
Ada juga pelanggannya yang mempunyai masalah rambut jarang sehingga kulit kepala kelihatan selain botak akibat penyakit.
Khidmatnya lebih menjurus kepada meningkatkan keyakinan diri pelanggannya yang mempunyai masalah tersebut.
"Mereka datang dengan perasaan rendah diri. Setelah pulang dengan rambut baharu, mereka semakin yakin pada diri sendiri. Pada kebiasaannya, para pelanggan yang datang adalah mereka yang mengalami botak di bahagian tengah kepala, rerambut nipis, rambut gugur akibat rawatan kemoterapi atau alopesia (bahagian tertentu kepala yang tidak ditumbuhi rambut)," ujarnya yang memulakan perniagaan itu sejak tahun 2006.
Meskipun pada suatu ketika dahulu teknik kosmetik tersebut lebih popular dalam kalangan mereka yang telah berusia namun, sejak dua tahun kebelakangan ini Firdaus mula menerima pelanggan yang lebih muda.
"Dahulu hanya pelanggan yang telah berusia yang datang membuat tempahan. Bagaimanapun, kini semakin ramai remaja berusia 19 tahun ke atas yang datang dengan masalah yang sama. Ia sebenarnya menunjukkan perkembangan yang tidak sihat kerana mereka semakin terdedah dengan masalah rambut.
"Kebanyakannya memberi alasan bahawa telah banyak kali melakukan rawatan kimia ke atas rambut dan meluruskan rambut. Jika boleh, elakkan daripada menggunakan bahan kimia pada rambut agar ia tidak menipis sebelum tua," nasihat Firdaus kepada golongan muda.
Rambut yang dihasilkan oleh Firdaus di pusat rambut palsu Hairsetup Enterprise yang beroperasi di Pandan Indah, Kuala Lumpur itu dijahit dengan lebih teliti berbanding yang terdapat di pasaran.
Firdaus akan memastikan kesemua aspek termasuk ukuran dan jenis rambut palsu yang digunakan adalah hampir sama dengan rambut asal pelanggannya.
KEBANYAKAN lelaki yang mempunyai masalah botak di bahagian tengah kepala menempah rambut palsu daripada Firdaus.


Buatan Korea
Tujuan penelitian itu dibuat adalah untuk memastikan orang ramai tidak sedar pelanggannya itu sebenarnya memakai rambut palsu.
"Saya perlu menghasilkan rambut baharu di bahagian tertentu sahaja kerana sebahagian daripada rambut asal pelanggan masih ada. Ia merupakan kerja yang agak rumit kerana hasilnya perlu kelihatan sekata apabila rambut tersebut dipakai oleh pelanggan," katanya.
Bagaimanapun, Firdaus tidak menjahit sendiri rambut tersebut. Sebaliknya, dia menghantar maklumat tentang rambut yang hendak dipakai oleh pelanggannya ke sebuah kilang rambut di Seoul, Korea Selatan.
"Setelah ukuran rambut diambil termasuk ketebalan dan warna yang diperlukan, sampel rambut dan maklumat pelanggan tersebut akan dihantar ke kilang pembuatan rambut di Korea Selatan. Dalam tempoh kira-kira 48 hari, rambut pelanggan akan siap dan sedia untuk dipakai.
"Pihak pembuat akan menghantar rambut yang mempunyai tekstur dan warna sama dengan pelanggan tanpa didandan terlebih dahulu," katanya.
Menurutnya, pihak pembekal akan menyiapkan rambut yang panjangnya kira-kira 15 sentimeter untuk disesuaikan dengan wajah pelanggannya.
Firdaus meyakinkan pelanggannya bahawa rambut tersebut kelihatan hampir sama dengan rambut asli.
Jenis kain renda berwarna coklat yang digunakan dalam pembuatan rambut itu membezakannya daripada rambut palsu yang dijual di pasaran.
Struktur tersebut yang berperanan seperti kulit kepala kelihatan begitu nipis dan menjadi penyokong kepada helaian rambut yang dijahitnya.
Lubang pada keseluruhan kain renda itu menyalurkan udara kepada si pemakai. Apabila berpeluh, ia mudah diserap dan tidak memberi sebarang masalah kepada kulit kepala pengguna.
Menurut Firdaus, terdapat tiga cara untuk memasang rambut palsu tersebut pada bahagian kepala yang tidak berambut atau berambut jarang iaitu menerusi teknik menampal, menggantung dan memintal.
"Teknik yang paling berkesan dan praktikal adalah menampal dengan menggunakan pelekat dua muka khas. Ia selamat digunakan dan tidak mudah tertanggal. Pelekat itu begitu kuat sehinggakan pelanggan boleh berenang atau tidur sambil memakai rambut palsu. Ia mampu bertahan sehingga seminggu, tetapi adalah dinasihatkan agar rambut itu ditanggal pada setiap hari.
"Selain itu, teknik memintal yang selalunya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk dipasang turut mendapat permintaan daripada pelanggan. Melekatkan rambut palsu dengan menggunakan klip juga boleh digunakan.
Harga
"Namun, ia kurang praktikal berbanding teknik lain. Ia hanya sesuai untuk mereka yang mempunyai rambut yang tebal agar klip plastik tersebut tidak kelihatan menonjol.
"Strukturnya yang keras juga boleh memberi kecederaan jika si pemakai melakukan aktiviti lasak," ujarnya.
Meskipun terdapat dua jenis tekstur rambut yang digunakan iaitu rambut sebenar dan rambut sintetik, Firdaus menasihati para pelanggannya agar menggunakan rambut sebenar supaya ia kelihatan lebih semula jadi.
"Untuk membezakan rambut asli dengan yang palsu, apabila ditiup angin, rambut sebenar akan berterbangan mengurai berbanding rambut sintetik yang kelihatan kejur.
"Rambut asli itu selalunya diperoleh daripada para peniaga rambut di China, Mongolia dan Vietnam. Kebanyakan rambut untuk pelanggan saya adalah dari Vietnam kerana rupanya lebih menyamai rambut orang Malaysia.
"Jika ramai yang beranggapan bahawa rambut tersebut diperoleh daripada orang mati, sebenarnya ia adalah tanggapan yang silap," jelasnya.
Firdaus berkata, kebanyakan golongan remaja menyara hidup dengan menjual rambut mereka di luar negara.
Dia berkata, rambut palsunya tidak mudah rosak apabila terkena air ataupun disapu gel rambut. Ia juga perlu dicuci dengan menggunakan syampu khas tiga kali seminggu.
Harga bagi setiap set rambut palsu adalah antara RM1,900 hingga RM2,600 bergantung kepada saiz untuk menutup sebahagian kepala yang botak.
Para pelanggan perlu membayar sebanyak RM3,600 jika mahu menggunakan rambut yang menutup keseluruhan kepala.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: