Sunday, June 23, 2013

Debaran drama pertama Shuhaimi Lua



BARISAN pelakon dan kru yang terlibat dalam menjayakan penggambaran 16 episod drama Iman Nabila di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.



SETELAH berjaya meyakinkan syarikat televisyen tempatan menerusi naskhah Perempuan Tanpa Rahim dan Adik Kami, pengarah Shuhaimi Lua Abdullah kini mengorak langkah lebih laju dalam dunia pengarahan.
Buat pertama kalinya, sutradara baru itu diberi peluang oleh syarikat Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. untuk mengarahkan sebuah drama bersiri berjudul Iman Nabila yang mula ditayangkan sejak 10 Jun lalu di slot Azalea, TV3.
Shuhaimi yang ditemui ketika proses penggambaran drama di Batu Caves, Selangor baru-baru ini berasa teruja apabila buat pertama kalinya diberi peluang mencuba untuk mengarahkan sebuah naskhah bersiri.
"Pastinya ia peluang keemasan buat saya dalam dunia pengarahan. Apatah lagi drama ini akan menjadi perhatian penonton kerana diselitkan dalam slot yang jumlah penontonnya ramai di saluran tersebut. Perasaan saya bercampur baur antara teruja dan berdebar-debar," katanya.
Iman Nabila yang ditayangkan pada setiap hari Isnin sehingga Khamis pada pukul 4 petang itu mengisahkan mengenai konflik yang berlaku dalam sebuah keluarga.
Iman lakonan Shahz Jaszle dan Nabila yang dilakonkan Elfaeza Ul Haq merupakan anak-anak yang menjadi mangsa konflik keluarga apabila mereka bertukar tangan kepada orang lain ketika kecil. Apabila dewasa, kedua-duanya bertemu tanpa dirancang menyebabkan timbulnya pelbagai konflik dan persoalan.
Selain dua teraju utama tersebut, Iman Nabila turut dibarisi pelakon seperti Kuza, Siti Elizad, Mahmud Ali Basha, Wan Shades, Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Aida Khalida.
Berganding dengan barisan pelakon yang namanya amat dikenali para peminat drama tempatan, sedikit sebanyak memberi tekanan buat Shuhaimi untuk mengarahkan naskhah nukilan penulis skrip, Sharifah Abd. Rahim itu biarpun dia sudah berpengalaman dalam dunia pengarahan.
"Saya tidak berasa kekok walaupun baru kali pertama mengarah drama bersiri. Pengalaman bekerja sebagai salah seorang kru untuk beberapa drama sebelum ini juga banyak membantu saya.
"Cuma ada perasaan sedikit risau pada kali ini kerana barisan pelakonnya bukannya calang-calang orang. Lagipun, ini kali pertama saya bekerja bersama-sama dengan hampir keseluruhan pelakon drama bersiri itu.
"Pelakon-pelakon senior seperti Aida Khalida banyak membantu saya dengan menyumbangkan ideanya. Saya menerima teguran dengan hati terbuka biarpun duduk di kerusi pengarah," katanya yang pernah mencipta sensasi menerusi filem pendek, Chukang pada tahun 2010.
Bekerja bersama pelakon yang terkait dengan sensasi, sedikit sebanyak mendedahkan Shuhaimi kepada risiko. Bahkan banyak pihak yang sering menebak soalan kepadanya sama ada Shahz yang merupakan teraju utama drama bersiri itu telah membawa masalah kepadanya.
Walaupun terdapat kebimbangan apabila terdengar cakap-cakap mengenai pelakon itu, Shuhaimi masih mampu menghela nafas lega apabila Shahz lebih menekankan sifat profesional ketika bekerja.
"Memang sebelum ini saya dengar pelbagai cerita tentang Shahz termasuklah kes lewat datang ke set dan beberapa kontroversi lain, tetapi sepanjang penggambaran berlangsung, saya tidak mempunyai masalah dengannya.
"Bahkan, dia menepati masa, jauh berbeza daripada apa yang saya dengar sebelum ini," kata Shuhaimi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: