Monday, June 24, 2013

Selebriti bantu lariskan produk



GOLONGAN selebriti sering mendapat perhatian kerana mereka sentiasa tampil anggun dan mempesona. Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika mereka acapkali dilantik sebagai duta produk kecantikan, kesihatan atau fesyen.
Kelibat selebriti dalam iklan media cetak atau elektronik mampu menarik perhatian masyarakat mendekati produk atau jenama masing-masing.
Tidak kira dunia seni antarabangsa mahupun tempatan, golongan selebriti mudah menjana sumber kewangan melalui kontrak yang diikat bersama syarikat tertentu.
Kontrak-kontrak itu pasti memberi pulangan lumayan kepada mereka. Baru-baru ini, penyanyi lagu Single Ladies, Beyonce Knowles mendapat kontrak bernilai AS$50 juta (RM157 juta) untuk menjadi duta produk syarikat minuman Pepsi.
Walaupun jumlah itu sangat mustahil untuk digapai selebriti tempatan, namun ia membuktikan betapa besar pengaruh seorang selebriti dalam dunia perniagaan.
Sebelum ini, Pepsi pernah bekerjasama dengan beberapa selebriti antarabangsa seperti Britney Spears, Michael Jackson, David Beckham dan Kanye West.
Baru tiga tahun menceburi dunia hiburan, pelakon Izara Aishah sudah dilamar sebagai jurucakap produk minuman kesihatan dan kecantikan, Innershine.
Dia mula dikenali beberapa tahun lalu iaitu menerusi drama Vanilla Coklat .
Model jelita
Selaku duta produk telah meletakkan nama aktres muda itu sebaris dengan nama-nama besar yang pernah menyandang gelaran sama termasuklah penyanyi Camelia, Maya Karin dan Ziana Zain.
“Walaupun menggantikan tempat Maya, saya langsung tidak beranggapan mempunyai taraf yang sama dengan pelakon senior itu kerana masih terlalu hijau dalam industri ini,” ujarnya pada majlis pelancaran baru-baru ini.
Dia bakal menghiasi kempen-kempen iklan dan sesi promosi di seluruh negara. Izara berkata, Innershine banyak membantunya untuk kekal segar ketika berada di lokasi penggambaran. Ia juga membuatkan wajah berseri melalui minuman secara konsisten.
“Kandungannya kaya dengan serat pemakanan serta Vitamin C amat sesuai untuk wanita yang sentiasa bergerak aktif memandangkan ia bukan sahaja menyerikan wajah tetapi memelihara dalaman kulit agar bersih,” kata Izara.
KECANTIKAN Maya mudah memikat syarikat kecantikan dan kesihatan antarabangsa untuk menjadi duta mereka.


Pemilihan Izara bertepatan dengan konsep Innershine Pati Prun dengan camu camu kerana model jelita itu membawa imej seorang wanita moden yang mementingkan kulit lembut, berseri dan semula jadi seiring dengan impian serta objektif Innershine.
“Izara sememangnya sesuai menjadi duta Innershine kerana mempunyai kecantikan asli dan keyakinan diri sekali gus mampu menguatkan imej produk kami,” ujar Naib Presiden dan Pengurus Besar Cerebos (M) Sdn. Bhd., Koh Joo Siang.
Tambah Joo Siang, Izara mewakili wanita muda hari ini yang giat berusaha demi mencapai matlamat hidup sendiri dan mampu menguruskan kehidupannya dengan baik.
Jualan meningkat
Dalam pada itu walau sudah tidak bersama Innershine, khidmat Maya sebagai duta produk ternyata sangat meriah.
Syarikat yang mengeluarkan tilam yang menyokong kesihatan tulang iaitu Vono antara yang meletakkan kepercayaan kepada Maya sebagai jurucakap produk itu.
Kontrak pelakon Pisau Cukur itu disambung setahun lagi selepas bekerjasama sejak tahun 2010.
Maya mengakui amat selektif dalam memilih produk yang ingin menjadikannya sebagai duta namun selepas yakin dengan jenama itu, Maya tidak ragu-ragu untuk meneruskan kontrak.
“Saya akan terus bekerjasama bersama produk yang berkualiti dan memberi manfaat kepada masyarakat. Ia sesuatu yang baik apabila dapat memperkenalkan jenama yang bagus selain harga yang berpatutan kepada pengguna,” ujarnya.
Tidak dinafikan kelibat Maya berjaya menarik perhatian masyarakat apabila penjualan tilam Vono meningkat sejak dia menjadi duta produk tersebut.
“Maya membantu Vono menjadi jenama kegemaran di Malaysia. Kami yakin melalui penyambungan kontrak ini, dia akan menarik lebih ramai pengguna di Malaysia,” ujar Presiden Perniagaan Rantau Slumberland, Wong Wai Hong.
Tambahnya, selama empat tahun Maya menjadi duta Vono, hasil penjualan meningkat sebanyak 15 peratus.
Ia menunjukkan pengguna yakin dengan jenama itu sebagai refleksi kepada imej bersih Maya sepanjang berada dalam industri hiburan tempatan dan antarabangsa.
Keanggunan dan kewibawaan Maya juga pernah menghiasi beberapa jenama dan produk lain seperti Loreal, Pantene, Celcom dan Tag Heuer.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: