Monday, June 24, 2013

Rombakan siaran program TV3



NIEZAM ZAIDI merupakan salah seorang pelakon drama bersiri, Dewi Lasak.


PADA 1 Jun 1984 bersamaan 29 tahun yang lalu, Sistem Televisyen Malaysia Berhad atau lebih sinonim dengan nama TV3 dilancarkan di Jalan Liku, Bangsar, Kuala Lumpur.
Pada awalnya, stesen TV swasta pertama tanah air ini memulakan siaran hanya di sekitar Lembah Klang dari pukul 5 petang hingga tengah malam.
Seiring dengan peredaran masa dan kepesatan teknologi, TV3 kini boleh ditonton secara 24 jam sehari di seluruh Malaysia secara percuma.
Sejak itu, beberapa slot diperkenalkan untuk mengisi waktu perdana seperti Cerekarama pada tahun 1985, Samarinda menerusi Badai Metropolis (2004), Lestary dengan drama popular Natasha (2005), Aksi menampilkan Misi XX-Ray (2007) dan Zehra (2009) yang menyaksikan kejayaan drama rantaian Nur Kasih.
Bagaimanapun bermula hari ini (24 Jun), beberapa program yang bercorak majalah, dokumentari, drama dan hiburan akan diubah waktu siarannya.
Program dokumentari popular, Majalah 3 yang sebelum ini disiarkan pada setiap hari Sabtu akan ditukar ke hari Isnin pukul 9 malam.
Slot Samarinda yang sedang menyiarkan drama bersiri, Epilog Cinta Khirana diubah ke setiap Isnin hingga Rabu pukul 10 malam dan World Wrestling Entertainment (WWE) pula bersiaran pada hari Isnin, pukul 11 malam.
Selepas berakhirnya drama Epilog Cinta Khirana, slot Samarinda akan menayangkan drama Ramadan Yang Hilang.
Slot Aksi pula bakal menampilkan drama bersiri, Dewi Lasak arahan Pierre Andre lakonan Intan Ladyana, Niezam Zaidi dan Bella Daly yang bakal bersiaran pada setiap hari Rabu pukul 9 malam.
Sementara itu, program Bersamamu akan bertukar siaran ke hari Khamis pukul 9.30 malam. Slot Pearl Screen yang mempersembahkan filem-filem terbaik Hong Kong dan China pula disiarkan pada hari Khamis pukul 10 malam.
Di sebalik rombakan waktu siaran, beberapa program masih dikekalkan seperti asal.
Program tersebut termasuklah yang membabitkan slot Lestary, Zehra, Mega Movie dan Cerekarama selain rancangan Soal Jawab, 999 dan Supernatural.
Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Sherina Mohamed Nordin berharap agar penukaran waktu siaran tersebut dapat diterima baik oleh semua penonton.
"Ini merupakan cabaran buat stesen kerana penonton mungkin sudah sinonim dengan waktu asal, misalnya Majalah 3 (Sabtu) dan slot Aksi pada hari Isnin.
"Namun, demi menyediakan tatapan dan trend yang lebih segar serta kekal inovatif, perubahan harus dilakukan.
"Perubahan jadual ini berdasarkan kaji selidik yang telah dilakukan secara teliti ke atas kecenderungan serta permintaan penonton dan sebagai strategi pemasaran kami.
"Dengan purata syer penonton sebanyak 40 peratus, diharapkan langkah positif ini akan terus menarik minat penonton," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: