Friday, June 21, 2013
Kempen makan secara sihat
RUANG legar Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) di Kuala Lumpur pada hari itu tidak ubah seperti sebuah akademi seni dan masakan.
Kelihatan dua kanak-kanak yang lengkap dengan topi chef dan memakai sarung tangan, bersedia menerima arahan Chef Eksekutif PCMC, Hamidon Din bagi membuat demonstrasi masakan sihat.
Walaupun menjadi ‘chef cilik’ pada hari tersebut, kedua-duanya langsung tidak kekok beraksi. Segala arahan Chef Hamidon dilaksanakan dengan baik sekali.
“Saya sangat seronok dan pada masa yang sama rasa gemuruh dapat membantu Chef Hamidon melakukan demonstrasi masakan.
“Ia sangat mudah. Saya akan cuba membantu ibu memasak di rumah kelak,” kata Amira Sofea Yuhada Ellis, 9.
Demonstrasi tersebut merupakan salah satu aktiviti PCMC sempena Bulan Nutrisi yang bertemakan Eat Right, Your Way, Every Day.
PCMC turut mengadakan pertandingan memasak untuk kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 11 tahun bagi mewujudkan kesedaran mengenai cara memasak makanan sihat memandangkan bilangan kanak-kanak yang menghidap obesiti di Malaysia semakin meningkat.
Di satu sudut lain, sekumpulan kanak-kanak teruja melihat kek cawan yang sudah siap dihias. Mereka meneliti satu persatu kerana selepas itu mereka dikehendaki membuat dekorasi untuk kek cawan masing-masing.
Kelihatan ada yang kekok memegang beg plastik krim yang dibekalkan. Usai menghias krim pelbagai warna, mereka sibuk mengambil bahan-bahan hiasan seperti strawberi, anggur, ceri, marshmallow dan anak patung kecil.
Ibu bapa turut membantu memberikan arahan dari jauh bagi memastikan hasil tangan anak mereka menjadi.
Mencuri tumpuan
Turut diadakan pada hari berkenaan ialah pertandingan melukis untuk kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 11 tahun dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun.
Seperti biasa, anak-anak ini dibantu oleh ibu bapa yang mengambil peluang meluangkan masa bersama sempena cuti hujung minggu.
Gelagat mereka amat mencuri tumpuan. Ada yang meniarap di atas lantai dan ada yang duduk dengan bermacam-macam gaya bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan.
Dalam pada itu, Chef Hamidon memberitahu, demonstrasi masakan itu lebih bertujuan untuk mengajar dan mendedahkan anak-anak kepada makanan sihat.
“Di luar sana banyak makanan tetapi kita tidak tahu sama ada kandungan garam dan lemaknya dikawal atau tidak.
“Dalam resipi bebola daging yang kami buat sebentar tadi, kita letakkan sayur sebab kanak-kanak kebanyakannya tidak gemar makan sayur,” ujarnya sambil menjelaskan, cuma sedikit garam dan minyak digunakan dalam masakan itu.
Katanya lagi, bagi ibu yang tidak sempat menyediakan hidangan untuk anak-anak setiap hari, sekurang-kurangnya mereka perlu memasak pada hujung minggu.
“Luangkan masa memasak untuk anak-anak. Sediakan masakan ringkas bersama mereka, secara tidak langsung ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya yang sudah berkhidmat selama enam tahun di PCMC.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam pemakanan anak-anak. Gaya pemakanan sihat mesti dibentuk sejak kecil lagi.
Jika pemakanan sihat tidak diberi penekanan, maka Malaysia akan kekal sebagai negara nombor satu di Asia Tenggara dengan kadar obesiti yang tinggi.
Kini, menurut Kementerian Kesihatan, seorang daripada enam rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: