Monday, June 24, 2013

Tradisi beli-belah di Pasar Payang




BUAH-BUAHAN tempatan khususnya pisang memenuhi kaki lima kawasan di luar pasar usang itu. Turut kelihatan kelapa dan ubi keledek yang masih segar. Para peniaga yang kebanyakannya sudah mencecah umur 60 tahun ke atas masih lantang memanggil orang yang lalu-lalang di depan mereka.
"Buah ini mak cik bawa dari rumah sendiri," kongsi seorang peniaga wanita di kaki lima itu ketika ditanya seorang pembeli.
Beralaskan guni plastik, barangan jualan peniaga di kawasan luar Pasar Besar Kedai Payang itu dapat diperoleh pada awal pagi. Penjual-penjual pula duduk bersimpuh di atas lantai pasar tanpa peduli basah atau panas, mereka selesa dalam keadaan demikian sejak berpuluh tahun lamanya.
Mungkin keindahan Pasar Payang di Kuala Terengganu itu terletak pada pemandangan klasik tersebut. Tiada kemodenan selari melatari segenap inci kompleks pasar dua tingkat itu. Segalanya tampak asli dan sifat itu menjadi tarikan paling berharga kepada pelancong asing.
Memasuki ruangan dalaman pasar kebanggaan negeri Darul Iman itu, suasana hingar-bingar terus menjemput tetamu. Proses jual beli berjalan dalam suasana muhibah. Paling penting, peniaga masih mengekalkan dialek negeri sekali gus mencerminkan ketinggian budi rakyat Terengganu.
Pelbagai barangan harian seperti sayur-sayuran, ikan, ayam, keropok malah kain batik dapat dibeli di Pasar Payang. Bukan sahaja barangan di sini asli kualitinya malah harga yang ditawarkan juga jauh lebih murah berbanding pasar raya moden.
Di mana anda boleh mendapatkan salad berharga RM2? Zon sayur-sayuran pasar tersebut juga bakal menemukan anda kepada variasi sayur kampung yang segar. Pucuk asam gelugur dan serai kayu dijual pada harga RM1 secekak.
"Ulam pun banyak di sini seperti pegaga dan ulam raja. Saya ambil daripada pembekal dan selalunya pukul 2 petang semuanya habis dijual," ujar Jaharah Besar, 58, peniaga sayur yang telah 20 tahun berniaga di Pasar Payang.
Kehijauan sayuran di kedai kecil Jaharah dapat dilihat jelas dengan limpahan cahaya mentari yang masuk terus dari lubang yang terbentuk di atas bumbung bangunan pasar itu, menandakan keuzuran binaan bangunan pasar tersebut.
"Kalau hujan, memang air masuk terus tapi saya tak bimbang sebab sayur-sayur ini suka basah. Namun kalau pasar ini dimodenkan, saya tidak menolak kerana baharu itu lebih bagus," tambah Jaharah yang menyewa tapak perniagaan itu dengan membayar RM1 setiap hari.

BECA masih menjadi pengangkutan berguna penduduk tempatan untuk ke Pasar Payang.


Pelancong jatuh
Meneroka zon basah Pasar Payang, pandangan pasti terpana kepada keindahan Laut China Selatan yang membelakangi pasar tersebut. Bot-bot nelayan dengan hasil tangkapan singgah terus ke jeti kecil yang bersambung dengan pasar basah di situ.
Ikan tempatan pelbagai jenis seperti ikan air itam dan kerapu diserahkan terus kepada peniaga tanpa melibatkan orang tengah. Atas sebab itu, kesegaran hasil laut di Pasar Payang tiada tolok bandingnya dan menjadi pilihan utama penduduk setempat.
Bagaimanapun kedaifan pasar basah itu sangat ketara. Lantai simen yang basah membuatkan pengunjung berjalan dengan berhati-hati, bimbang permukaan licin mendorong mereka jatuh.
"Dua kali saya melihat pelancong asing jatuh sebab lantai licin. Saya dan peniaga pasar basah di sini akui kebersihan memang menjadi masalah. Jika dibandingkan dengan pasar di Chabang Tiga, pasar kami paling selekeh.
"Lantai pasar ini tidak pernah digantikan dengan mozek malah saluran air juga tidak diperbaiki. Kami semua tidak menolak sebarang perubahan dan sangat menyokong pembaharuan menaik taraf keadaan pasar.
"Namun untuk berpindah ke Chabang Tiga itu agak berat," luah Mahadi Ibrahim, 44, yang merupakan generasi ketiga keluarganya yang berniaga di Pasar Payang.
Tidak lama lagi, pasar basah di Pasar Payang akan dipisahkan dan ditempatkan di Chabang Tiga. Cadangan itu dilaksanakan sejajar hasrat kerajaan negeri membina kompleks bersepadu melibatkan pasar baharu empat tingkat, hotel dan pangsapuri di atas tapak asal Pasar Payang.
"Hampir 99 peratus peniaga di sini tidak setuju dengan perpindahan itu kerana lokasi sekarang sangat strategik memandangkan kedudukannya yang berhampiran laut," tambah Mahadi yang memberitahu kebanyakan hasil laut datangnya dari Pulau Redang dan perairan Besut.
Selain kekayaan pekerti desa yang masih diterapkan peniaga di Pasar Payang, ukhuwah sesama peniaga juga menyentuh hati pengunjung.
Kalau anda berkunjung ke sebuah kedai menjual keropok ikan dan mencari keropok cap tertentu, kedai itu tidak berat hati untuk meminta anda ke kedai sebelah jika mereka tiada barangan itu.
Bagi mereka, keuntungan boleh dicari tetapi sepakat sebuah keluarga di Pasar Payang itu tidak boleh diganti. Nilai itu didedahkan seorang peniaga buah jambu dan keropok lekor, Hayati Mat Zin, 45, ketika ditemui Kosmo! di Pasar Payang baru-baru ini.
Cerita pembangunan semula pasar itu tidak begitu mengusik sensitiviti mereka kerana semuanya bersedia untuk menerima perubahan. Namun berita berkenaan perpecahan pasar basah daripada pasar asal merundung kecewa para peniaga.
"Hidup saya memang di pasar ini daripada kecil. Saya membesar di Pasar Payang sejak jam besar di sebelah pasar ini masih belum dialihkan. Para peniaga di sini pun sudah seperti keluarga sendiri.
"Memang kami tidak mahu berpisah," penuh harapan hasrat Hayati yang merupakan seorang ibu tunggal dan kini bekerja keras bagi membesarkan 10 anaknya.

IKAN yang diperoleh terus dari laut menjadi pilihan kegemaran penduduk setempat.


Keagungan batik
Menaiki tangga ke tingkat dua pasar tersebut, pengunjung bakal bertemu lot-lot kedai menjual barangan kraf tangan dan item signatur Terengganu, batik. Lorong-lorong sempit yang menjadi laluan utama ruangan atas Pasar Payang menyebabkan kelancaran pergerakan sedikit terbatas.
Ruang terhad tingkat dua itu bagaimanapun tidak menyekat keterujaan pengunjung untuk singgah di kedai-kedai yang menjual kain bermotif batik. Sejak sekian lama, Pasar Payang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara kerana kualiti tinggi batik yang dijual di situ.
"Orang luar ramai membeli batik di sini dan ia menjadi antara promosi terpenting pelancongan di Terengganu. Kami sangat menjaga kualiti batik di sini dan memang ia dihasilkan sendiri secara halus," cerita pekerja di sebuah kedai batik di Pasar Payang, Suriani Bidi, 30.
Barangkali atas faktor perbezaan barangan jualan, hampir semua kedai di tingkat dua Pasar Payang dilengkapi penghawa dingin dan diubah suai tanpa berpandukan keseragaman. Sewa sebulan bernilai RM300 juga dirasakan agak tinggi berbanding lot kedai di tingkat bawah.
Tambah Suriani: "Semua kerja pengubahsuaian kedai dilakukan sendiri peniaga. Kami perlu utamakan keselesaan pelanggan yang datang membeli kain di sini.
"Namun cadangan untuk menambah beberapa bahagian kepada pasar sedia ada kurang dipersetujui peniaga. Bukan kami menolak pembaharuan, malah semua akan gembira jika pasar ini diperbaiki dan dimodenkan."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: