|
JIKA dilihat dari sudut positif, kehadiran ramai penyanyi baharu memberi gambaran pertambahan penyanyi pelapis dan ia juga menjadi pencetus kepada perkembangan industri hiburan tempatan.
Bagaimanapun, apa yang menjadi persoalan adakah kemunculan barisan penyanyi baharu itu memenuhi kualiti yang dimahukan industri muzik negara?
Ada yang beranggapan kemunculan penyanyi baharu, terutamanya penyanyi berkumpulan dilihat kurang bersedia dari segi mental dan fizikal. Lebih malang, ada yang memiliki vokal yang teruk.
Begitupun, penyanyi kumpulan itu tetap diterima, malah menjadi kegilaan remaja khususnya wanita.
Adakah perkara itu disebabkan wajah cantik atau kacak yang dimiliki? Mungkinkah kerana lagu-lagu mereka catchy atau mudah diingat, di samping lirik yang kebanyakannya bertemakan percintaan, persahabatan dan seksual yang bersesuaian dengan jiwa anak-anak muda zaman sekarang?
Perkara itu seterusnya menjadi pelaris kepada penjualan single atau album mereka, biarpun pada hakikatnya, kualiti vokal yang dimiliki tidak bagus.
Mengulas mengenai perkara tersebut, penyanyi hebat yang sering dijemput sebagai pengkritik program-program realiti nyanyian televisyen, Ziana Zain melontarkan pandangan beliau.
Penyanyi baharu tiada jiwa
"Memang kalau dilihat pada masa ini, penyanyi yang tiada rupa tetapi memiliki vokal yang hebat tidak berjaya dalam industri. Sebaliknya, bagi mereka yang tidak memiliki vokal yang hebat tetapi ada rupa berjaya pula dalam industri," ulas pelantun lagu Madah Berhelah itu kepada Kosmo!.
Pada hakikatnya, kata Ziana, nyanyian penyanyi-penyanyi baharu tidak mempunyai jiwa dan sebutan lirik juga tidak begitu jelas.
Berbanding penyanyi-penyanyi lama, ujar Ziana, mereka bekerja keras untuk menghayati melodi dan lirik sesebuah lagu.
"Lagu-lagu sekarang banyak dipengaruhi oleh muzik luar seperti K-Pop. Mereka sebenarnya tidak boleh menyanyi dengan bagus sebaliknya sekadar miming.
"Namun, itulah selera generasi sekarang. Mereka mahukan lagu yang sebegitu, tambahan dengan rupa penyanyi yang kacak," jelas Ziana.
Mengulas mengenai hala tuju penyanyi baharu dan perkembangan industri muzik pada masa akan datang, kata Ziana lagi, industri seni tidak mampu berbuat apa-apa kerana ia juga adalah kemahuan generasi semasa.
Ulasnya, dulu syarikat rakaman akan memastikan artis-artis di bawah naungan mereka berkualiti. Sebaliknya sekarang, siapa sahaja boleh menjadi penyanyi popular hanya menerusi laman internet seperti YouTube.
Begitupun, ujar Ziana, penyanyi-penyanyi baharu ini dilihat tidak akan bertahan lama. Ziana juga tidak menolak hakikat ada penyanyi baharu yang bagus.
"Tidak semua penyanyi baharu tidak bagus. Ada segelintirnya sangat bagus tetapi tidak begitu menyerlah - Najwa Mahiaddin contohnya," katanya.
Jelas Ziana lagi, penyanyi baharu juga dimanjakan dengan teknologi yang mampu menjadikan vokal mereka kedengaran hebat ketika merakamkan lagu.
"Penyanyi lama tidak mempunyai teknologi untuk membantu dalam rakaman album seperti sekarang. Kadang-kadang sampai berjam-jam merakam lagu untuk jadikan nyanyian sempurna dari segi penghayatan dan juga kawalan nafas," ujarnya.
Komposer tersohor, Mohd. Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai pula turut menyuarakan pandangannya mengenai album tidak bermutu yang dihasilkan oleh penyanyi baharu.
Katanya, penyanyi yang belum layak merakamkan album itu akan memberi kesan negatif kepada industri muzik tempatan.
"Dalam industri muzik sekarang, ada pihak khususnya syarikat rakaman menjadikan wajah sebagai pertaruhan sekali pun tanpa berbekalkan bakat nyanyian yang sewajarnya," ujarnya.
Tambahnya, keghairahan syarikat rakaman menerbitkan album penyanyi berdasarkan wajah juga membuatkan kehadiran penyanyi kurang persiapan mental dan fizikal itu tumbuh bak cendawan selepas hujan.
Dalam pada itu, Kosmo! turut mendapatkan pandangan beberapa kumpulan muzik baharu seperti Forteen, Klangit dan Roman mengenai isu berbangkit.
Klangit tidak malu dikritik
Lagu Sesal Mendua alunan kumpulan Klangit sememangnya meraih perhatian peminat muzik.
Namun, ketika membuat persembahan secara langsung di pentas Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM19), lontaran vokal penyanyinya iaitu Ary atau nama sebenarnya Muhamad Nur Hadre Ayub gagal dipersembahkan dengan baik.
Akibatnya, Klangit yang terdiri daripada Ary (vokalis), Mohd. Izwan Ahmad Mahayuddin atau Ewan (gitar utama) dan Mohd. Haris Muhamad atau Haris (gitar bass), dikritik hebat peminat yang mengatakan kualiti vokal mereka tidak setara dengan populariti lagu tersebut.
Mengulas mengenai perkara itu, ujar Ary, dia tidak berasa malu dikritik peminat kerana dia sedar mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, dia berharap dapat belajar dan mendapat tunjuk ajar daripada karyawan yang sudah lama dan terbukti hebat dalam bidang nyanyian.
"Saya akui tidak pernah masuk kelas vokal. Cuma, saya ada timba sedikit pengalaman menyanyi dengan Adi Sixth Sense dan juga kumpulan Sofarz. Saya tidak malu dikritik mengenai vokal saya kerana sememangnya saya perlu banyak belajar. Saya anggap kritikan itu sebagai cabaran untuk buat lebih baik pada masa akan datang.
"Saya juga berharap mendapat tunjuk ajar vokal daripada penyanyi Jamal Abdillah yang saya rasakan memiliki vokal yang hebat," ujarnya kepada Kosmo!.
Klangit mula menyertai industri muzik sejak tahun 2008 menerusi lagu Gelisah dan Mungkin, tetapi hanya mula meniti populariti selepas kemunculan single Sesal Mendua.
Mengulas mengenai perkara itu, Ary mendedahkan, amat penting memiliki lagu yang menarik untuk dihayati biarpun vokal penyanyinya tidak bagus.
"Memang penting bagi seseorang yang tidak memiliki vokal hebat mendapat lagu yang sedap didengar. Apa-apa pun ia juga bergantung kepada rezeki seseorang penyanyi itu," jelasnya lagi.
|
One nasihat rakan Forteen
Menurut vokalis kumpulan Forteen, Muhammad Ridzuan Sharifuddin atau dikenali sebagai One pula, kumpulan Forteen pernah dikatakan tidak mempunyai vokal yang bagus tetapi popular berlandaskan rupa ketika awal pembabitan mereka dahulu.
"Memang pada awalnya Forteen ada menerima kritikan tetapi lama-kelamaan, peminat tahu bahawa kami bukan sebuah kumpulan yang bergantung pada rupa paras sebaliknya mereka nampak kekuatan vokal kami," jelasnya.
One memberitahu, sebagai penyanyi baharu, sememangnya dia perlu melengkapkan diri dari segi vokal.
Ujarnya yang pernah dinobatkan sebagai Artis Harapan Terbaik AIM ke-13 ketika menyanyi secara solo, dia banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat dari segi penghayatan lagu kepada rakan-rakan Forteen lain iaitu Saifu Ridzuan Abd Hamid (Ariz), Mohd. Arif Ameerais Azhar (Ameerais) dan Muhammad Izzul Islam Mazlan (Izzue).
"Selepas menyertai Forteen, saya ada memberi sedikit tunjuk ajar kepada rakan-rakan dalam kumpulan itu dan berkongsi pengalaman saya sebagai penyanyi solo sebelum bersama Forteen.
"Selain saya, Ariz, Ameerais dan Izzue sebenarnya masing-masing ada latar belakang muzik.
"Kami juga sudah membuktikan mampu menyanyi secara langsung dan berjaya memenangi anugerah Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik pada AIM19," ujarnya.
Penyanyi runut bunyi
Vokalis kumpulan Roman iaitu Mohd. Farouk Abdul Razak atau Farouk pula mendedahkan, Roman ditubuhkan semata-mata untuk projek runut bunyi drama.
Antara lagu Roman yang popular termasuklah Roman (menampilkan Kilafairy, untuk drama Tihany di TV9), Major Problema (menampilkan Marsha Milan Londoh bagi drama Paan Hafiz, TV3), Wujud (menampilkan Miera Tilu untuk drama Tujuh Ramadan) dan Hanya Di Aidilfitri (menampilkan Kilafairy).
Bagaimanapun, kumpulan yang dianggotai Farouk, Nasnoor Zulfadhli Mohd. Nasiruddin atau Edd dan Ahmad Rostam Abdul Rashid atau Otam itu turut mendapat jemputan membuat persembahan secara langsung pada Anugerah Blokbuster kedua yang berlangsung pada 15 Jun lalu.
Malangnya, Roman dikatakan gagal membuat persembahan dengan baik pada acara tersebut.
Mengulas mengenai perkara itu, kata Farouk, dia mengakui berasa gementar kerana buat kali pertama mengadakan persembahan.
Tidak malu dengan kritikan itu, ujar Farouk, dia akan bekerja keras untuk memperbaiki mutu suaranya pada masa akan datang.
Mengulas mengenai faktor penyanyi baharu diterima peminat, ulas Farouk, semuanya bergantung kepada rezeki setiap penyanyi itu selain memperoleh lagu yang hebat yang mampu memikat hati pendengar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: