Thursday, June 27, 2013
Aksi 1 Lawan Satu
FILEM aksi sulung arahan pengarah Pierre Andre, 1 Lawan Satu mendapat reaksi kurang senang daripada kalangan penggemar filem lantaran babak pertarungan yang terlampau banyak.
Daripada keseluruhan filem yang berdurasi sejam 30 minit itu, cuma 20 peratus menampilkan dialog barisan pelakon dan selebihnya adalah aksi pergaduhan yang memaparkan pelbagai seni bela diri popular antaranya silat, taekwondo, capoeira dan street fight.
Mengulas tentang hal tersebut, ujar Pierre, dia melihat dari satu sudut berbeza dalam usaha menghasilkan sebuah filem yang padat aksi dan tidak meleret-leret.
"Setiap pengarah ada pandangan sendiri mengenai filem arahannya begitu juga saya. Saya tidak melihat 1 Lawan Satu yang terlalu padat aksi sebagai masalah.
"Ada penonton yang gemarkan sebuah filem yang mencabar adrenalin mereka, ibaratnya aksi yang ditampilkan itu tidak memberi ruang penonton bernafas.
"Secara jujurnya saya puas dengan hasil filem aksi ini," katanya yang ditemui ketika majlis tayangan perdana filem 1 Lawan Satu di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
1 Lawan Satu menceritakan kehidupan dua individu berbeza latar belakang iaitu Radhi dan Saleh. Radhi terpaksa bertarung di jalanan demi mendapatkan wang untuk menampung pembiayaan perubatan adiknya, Sara yang sedang sakit.
Sementara itu, Saleh yang handal bersilat sedang menyelesaikan misi keluarganya untuk membawa adiknya, Saleha pulang setelah diculik oleh Oman.
Radhi yang terdesak kerana memikirkan keadaan Sara menerima tawaran Oman untuk berlawan untuknya manakala Saleh perlu berlawan dalam satu pertarungan demi menyelamatkan Saleha.
Tambah Pierre, dia mahu membiarkan penonton membuat kesimpulan sendiri apabila menyaksikan filem itu. Atas faktor itu juga dia memilih dua watak protagonis sebagai tonggak filem itu.
"Judul filem ini sendiri sudah cukup kuat untuk menggambarkan keseluruhan filem. Saya pilih dua watak utama yang protagonis supaya penonton boleh membuat kesimpulan pada penghujung filem itu nanti.
"Susah untuk cari filem Asia yang memberikan penonton kebebasan membuat pilihan," ujarnya yang tidak menolak kebarangkalian akan ada sekuel untuk filem itu.
Memilih pelakon baharu iaitu adiknya sendiri, Mikael Andre sebagai pelakon utama, Pierre ada alasan yang tersendiri.
"Saya suka bekerja dengan pelakon baharu kerana tidak perlu memikirkan masalah disiplin. Kalau pelakon bertaraf bintang nanti, saya perlu mengambil kira jadual selain perilaku yang mungkin merumitkan.
"Lagipun, Mikael sebagai contoh berjaya memberikan komitmen tinggi dalam kerjanya. Pemilihan pelakon bukan kerana faktor hubungan persaudaraan saya dan dia sebaliknya minatnya yang mendalam dalam bidang lakonan," tegasnya.
Sementara itu, Mikael berkata, dia berdepan detik cemas apabila dia secara tidak sengaja menumbuk hidung salah seorang pelakon sehingga patah.
"Mujur dia seorang bekas komando. Apabila saya tertumbuk hidungnya hingga patah dia dengan senangnya membetulkan masalah itu dengan menggunakan sebatang pen dan kembali meneruskan lakonan," katanya yang sedikit trauma akibat kejadian itu.
Selain Mikael, filem yang bakal ditayangkan bermula 27 Jun ini turut dibintangi Azlan Komeng, Along Eyzendy, Fyza Kader dan Mimie Ernida.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: