Friday, June 21, 2013

'Saya memang gila-gila' - Sakinah




SHARIFAH SAKINAH, sekali pandang wajahnya cukup manis, ditambah dengan ketinggian yang dimilikinya.
Gayanya di hadapan lensa kamera persis seorang model profesional. Namun, apabila dia berceloteh, gelak tawa pasti menyambut, terserlah jelas perangai gila-gilanya.
Sakinah faham 'isi' pertemuan kami pada petang Isnin lalu. Ia tentu berkisar tentang klip video Keek yang dimuat naiknya sejak beberapa bulan lalu.
Perkara pertama yang diberitahu wanita ini, dia mengaku dirinya tidak popular menyebabkan dia memuat naik video ke laman sosial itu dengan sangkaan tiada siapa yang akan peduli.
Bagaimanapun, jangkaannya meleset. Klip video pertama yang ada menyebut tentang warna pakaian dalam yang dipakainya dikritik ramai. Video seterusnya yang dimuat naik juga mendapat reaksi yang sama.
Ada yang menganggap Sakinah tidak peka kerana video itu dikatakan berunsur lucah tetapi ada juga yang menyukainya kerana menganggapnya sebagai lawak dan hiburan semata-mata.
"Bagi saya, memuat naik video yang gila-gila ke dalam Keek merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Itulah diri saya. Tetapi reaksi yang luar biasa daripada orang ramai membuatkan saya terkejut.

SAKINAH tidak kisah dengan pandangan khalayak terhadap dirinya. Dia hanya ingin menjadi dirinya sendiri.


"Saya ingatkan tiada siapa yang ambil peduli tentang saya sebab itulah saya berani buat video yang sebegitu. Bila video itu keluar, banyak pula komen negatif mengenai saya.
"Saya akui memang terkejut dan rasa bersalah pada mulanya tetapi lama-kelamaan saya sudah tidak kisah apa orang ingin kata tentang diri saya," balasnya.
Walaupun dikritik kurang bijak dan tidak sopan, Sakinah terus memuat naik video sebegitu dengan niat untuk menghiburkan orang yang menontonnya.
"Dalam drama Mimpi Sampai Ke Bintang, saya bawa watak seorang wanita yang kurang cerdik, jadi saya tidak kisah kalau orang nak kata saya bodoh atau gila. Memang saya seorang yang gila-gila dan nakal, sebab itu saya suka kacau orang serta menghiburkan orang di sekeliling.
"Selagi video itu menghiburkan dan tidak melampaui batas, saya akan terus melakukannya," jawabnya.
Diakui, sejak kontroversi video Sakinah di laman Keek, tiba-tiba sahaja namanya menjadi popular. Malah setiap video yang dimuat naik olehnya pasti ditonton ramai orang.
Namun, lain pula pendapat Sakinah yang mengatakan kehidupan dan kerjayanya sama sahaja seperti dahulu.
"Popular ke saya? Saya rasa sama saja, tidak ada perubahan. Mungkin saya popular di laman sosial kerana berjaya menarik perhatian tetapi kerjaya saya masih seperti dulu.

SELAIN berlakon, Sakinah bercadang untuk mencuba bidang pengacaraan.


"Tawaran berlakon masih ada dan saya juga sibuk dengan penggambaran drama. Semuanya masih seperti biasa. Saya bukannya mencari populariti atau perhatian dengan video tersebut. Itu bukan cara saya untuk popular," luahnya serius.
Dua orang kakaknya yang juga selebriti, Sharifah Norhaslinda dan Sharifah Shahira selalu menasihatinya supaya mengawal tindak-tanduknya, tetapi mereka tidak pernah memarahinya hanya disebabkan memuat naik video yang dikritik ramai itu.
"Dua orang kakak saya sangat faham dengan perangai saya. Kak Shira tidak marah, tetapi minta saya supaya mendiamkan diri buat seketika sehingga kontroversi itu reda.
"Dia tidak pernah menghalang saya daripada memuat naik video yang seterusnya. Pesannya jangan kerap sangat memuat naik video yang terlalu gila-gila sebab nanti orang menyampah," tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: