|
BIENDA memilih pendekatan enggan masuk campur urusan yang membabitkan ibunya iaitu penyanyi terkenal era 90-an, Sheeda dan bapa tirinya, Ahmad Fazli berhubung kes tuntutan hak penjagaan adiknya, Nur Fazlinda.
Kata Bienda, dia enggan mengeluarkan komen lanjut yang boleh membuka aib keluarganya kepada orang ramai.
Malah, pelantun lagu Penantian itu mengakui sering menasihati kedua-dua belah pihak agar tidak merumitkan masalah yang sedang meruncing.
“Sudah banyak kali saya nasihatkan supaya urusan keluarga jangan diperbesar-besarkan tetapi saya tidak sangka pula kes tuntutan hak penjagaan adik saya itu semakin menjadi isu besar.
“Selagi boleh diselesaikan, kita selesaikan dengan cara baik tanpa perlu melibatkan orang luar. Saya sayangkan mereka berdua dan tidak menyebelahi mana-mana pihak tetapi kedua-dua pihak perlu profesional dan memikirkan mengenai anak-anak mereka.
“Jangan pentingkan diri dan bertindak secara rasional,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran eKekCawan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sheeda sebelum itu hadir ke Majlis Sulh (perbincangan) yang turut disertai bekas suaminya, Ahmad Fazli Mohamad untuk berbincang mengenai tuntutan hak penjagaan anak di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujar Sheeda, dia tidak dibenarkan berjumpa atau berkomunikasi dengan anaknya, Nur Fazlinda lebih dari tempoh sebulan apabila anaknya diambil oleh bekas suaminya awal bulan Mei lalu.
Sheeda yang pernah popular dengan lagu Angkat Kaki itu pernah menjadi isteri kepada Ahmad Fazli selama lima tahun dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fazlinda.
Kek cawan
Menutup kisah pergolakan rumah tangga ibunya, Bienda yang ditemani suaminya Kamarul Zariman Abd. Rahman berkongsi perkembangan terkininya.
Kata Bienda atau nama sebenarnya, Nor Razlinda binti Razli, 28, dia bakal membuka sebuah kedai menjual tudung rekaannya tidak lama lagi di lokasi yang enggan didedahkan lagi.
“Buat masa sekarang saya sudah mempunyai sembilan rekaan tudung hasil cetusan idea saya sendiri. Insya-Allah kedai saya akan dibuka menjelang bulan Ramadan ini.
“Jika sebelum ini saya sering berniaga di bazar malam setiap kali tibanya bulan Ramadan, tahun ini mungkin saya akan terus membuka gerai tudung saya di lokasi sama di Cheras,” katanya mengenai perniagaan tudung Bienda Lavienda.
Selain itu, Bienda turut berkolaborasi dengan Chef Yang Jamil untuk mengusahakan perniagaan kek cawan yang diberi nama eKekCawan berkonsepkan Grab and Go.
Menerusi usaha sama itu, Bienda dan Chef Yang akan menyediakan produk kek cawan kepada pengusaha yang berminat untuk membuka cawangan di lokasi pilihan masing-masing.
“Berteraskan modal RM168,000 untuk membuka sebuah cawangan eKekCawan, peniaga tidak perlu runsing memikirkan bahan mentah yang sudah pastinya akan kami bekalkan,” katanya.
Nyanyian
Sementara itu, Bienda menjelaskan, dia tidak sesekali mengetepikan kerjaya nyanyiannya dan memberitahu bakal merakamkan sebuah single bersama band Pesawat tidak lama lagi.
“Saya baru selesai merakamkan single berjudul Permata bersama Edrie Hashim dan selepas ini akan berkolaborasi dengan vokalis band Pesawat, Jipie untuk sebuah single berkonsepkan lagu ketuhanan,” ujar Bienda.
Dalam pada itu, Bienda mengakui yang dia kini terpaksa lebih memilih tawaran untuk berlakon memandangkan dia masih memberikan susu badan kepada anaknya, Lavienda Namira yang kini berusia setahun empat bulan.
“Saya rindu untuk berlakon tetapi saya perlu lebih cerewet dan memilih tempat atau waktu yang sesuai. Kali terakhir berlakon sekitar tujuh bulan lalu iaitu drama Sebumbung dan ketika itu saya terpaksa membawa anak saya bersama ketika penggambaran,” jelasnya.
Bienda bagaimanapun mengakui yang dia telah dinasihatkan untuk mengandung dalam tempoh terdekat memandangkan kelahiran sebelum ini menjalani proses pembedahan cesarean.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: