Friday, June 21, 2013

'Bercinta jangan sampai lupa daratan' - Bade


KIRI: Sakinah dan Syamiel menjalinkan hubungan cinta sejak setahun lalu.


TERKENAL dengan sifat kegilaannya dalam memuat naik klip video nakal menerusi laman Keek, aktres Sharifah Sakinah, 24, kini popular dalam sekelip mata.
Namanya semakin hangat apabila dia diketahui umum menjalinkan hubungan cinta dengan Mohd. Syamiel Equan, 22, iaitu anak pasangan dua pengarah filem terkenal, Badarudin Azmi dan Erma Fatima.
Justeru, adakah Bade merestui hubungan cinta Sakinah dan Syamiel dalam usia yang boleh dianggap muda itu?
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Bade ketika dia ditemui di lokasi penggambaraan filem Sindiket di Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pangkalan Sabah di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Kosmo! : Adakah anda tahu hubungan cinta Sakinah dan Syamiel?
BADE: Ya, saya tahu mereka telah bercinta sejak setahun lalu.
Sebagai bapa kepada Syamiel, adakah anda ada halangan terhadap hubungan itu?
Tiada masalah bagi saya untuk tidak terima Sakinah (sebagai kekasih Syamiel), walaupun dia berperangai gila-gila kerana mereka saling mencintai.
Jadi, ini bermakna anda merestui mereka berdua?
Setiap orang apabila tiba pada satu peringkat usia seperti mereka semestinya akan mengalami perasaan untuk bercinta dan menyintai. Begitu juga dengan saya yang pernah melalui fasa tersebut. Mungkin itu akan membuatkan mereka jadi lebih dewasa.
Apa maksud anda dengan menjadi lebih dewasa?
Seperti yang saya katakan tadi, manusia akan bercinta. Saya percaya kepada Sakinah, tambahan pula dia lebih matang daripada anak saya. Saya tidak tahu apakah tarikan Syamiel sampaikan Sakinah jatuh cinta.
Sakinah dikenali sebagai gadis yang gila-gila. Dari sudut mana anda melihat kematangannya?
Saya kenal Sakinah kerana dia pernah membintangi drama arahan saya, Planet Kiara. Bagi saya, kalau mereka hendak bercinta, itu hak mereka. Apa yang penting, jangan sampai lupa daratan.

BADE (bersama isteri, Erma Fatima) menganggap percintaan antara Sakinah dan anak mereka Syamiel sebagai satu proses biasa yang akan mematangkan seseorang.


Maksudnya?
Syamiel dan Sakinah mempunyai tanggungjawab masing-masing. Mereka seharusnya bijak mengatur dan mengawal jadual profesion yang diceburi. Perkara utama yang mesti ada dalam diri mereka tentulah disiplin. Kalau mereka lupa akan hal itu, buruk padahnya.
Kita beralih kepada topik lain pula. Apa perkembangan filem terbaharu arahan anda, Sindiket?
Alhamdulillah, buat masa ini semuanya terkawal dan berjalan lancar. Biarpun terdapat sedikit kekangan dari segi jadual, kami dapat selesaikannya dengan bijak.
Semua pelakon dan kru juga faham peranan masing-masing. Kita juga mendapat kerjasama yang baik daripada pihak PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia khususnya dari sudut kelengkapan dan peralatan.
Kenapa Sabah dipilih sebagai lokasi utama filem ini? Apa yang ingin ditonjolkan sebenarnya?
Berdasarkan kajian saya, Sabah antara tempat kegiatan pemerdagangan manusia di Malaysia. Jadi, sudah pasti negeri ini dipilih.
Sebenarnya karya asalnya dibuat oleh rakan saya dan kemudian diolah semula berdasarkan situasi semasa. Skrip filem ini saya siapkan sendiri dalam masa seminggu.
Kalau tidak silap, Sindiket juga menggunakan khidmat pelakon Indonesia?
Ya, betul kerana kita mahukan suasana filem itu hidup terutama semasa penggambaraan di Pulau Sebatik, Kalimantan, Indonesia.
Antara pelakon Indonesia yang terlibat dalam Sindiket ialah Hardy Hartono dan Danny Agus selain Wangi Julianda daripada kumpulan The Fabulous Cats.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: