Thursday, June 27, 2013

Teknologi interaktif mendidik kanak-kanak



SUATU ketika dahulu, kanak-kanak hanya bermain anak patung, set masakan, set kereta dan boneka-boneka plastik. Namun kanak-kanak hari ini sejak kecil lagi sudah didedahkan dengan pelbagai gajet berteknologi tinggi seperti komputer, laptop, tablet, kamera atau Play Station.
Malah, antara gajet paling popular yang kini menjadi pilihan kanak-kanak ialah tablet kerana ia mobil, ringan dan lebih interaktif.
Bahkan, jika beberapa tahun lalu, harga seunit tablet mungkin mencecah RM2,000 ke atas, namun hari ini pada harga RM800 ibu bapa sudah boleh menjadikannya sebagai medium pembelajaran si kecil.
Di luar negara, mengikut laporan Pemantau Media Ofcom, lebih separuh daripada kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun di Amerika Syarikat sudah mengetahui cara-cara mengendalikan tablet terutamanya iPad.
Ternyata situasi yang sama juga tidak asing di negara ini. Sophia Nadine Hazrul Nizam, 3, contohnya sudah berjinak-jinak dengan iPad sejak berusia setahun lebih gara-gara kepelbagaian aplikasi permainan yang ditawarkan menerusi gajet tersebut.
Lebih interaktif
Melihat ketangkasan jari-jari kecil Sophia yang membelek-belek satu persatu aplikasi permainan itu, ternyata si kecil berkenaan sememangnya mahir menggunakan iPad. Sophia rancak menggeser skrin sentuh untuk mencari aplikasi kegemarannya.
Ibu Sophia, Dina Nur Azhana Mohd Nawawi, 29, berkata, melalui gajet itu dia boleh berinteraksi dengan lebih interaktif dengan anak sulungnya itu.
Dina mengakui terdapat banyak kelebihan gajet-gajet berteknologi seperti iPad kerana pada usia setahun lebih, anak manjanya itu boleh menguasai abjad ABC dan kiraan satu hingga 10 dengan baik.
“Walaupun dia gemar melayari laman web dan bermain permainan tetapi hakikatnya, dia mampu menguasai pembelajaran dengan cepat dan mudah,” tuturnya sambil memberitahu, anaknya itu meneroka teknologi berkenaan dengan sendiri.
SOPHIA sentiasa ditemani ibunya ketika menggunakan komputer riba.


Bagaimanapun Dina mengakui sama seperti kebanyakan ibu bapa lain, obsesi anak-anak terhadap gajet seperti iPad adakalanya membimbangkan dirinya.
Malah, dia risau sekiranya membenarkan anaknya menggunakan iPad sejak kecil adalah satu tindakan yang kurang tepat serta mengganggu tumbesaran dan kemahiran sosialnya.
Dina memberitahu, apabila anaknya itu tidak mahu melepaskan iPad, dia terpaksa mengalihkan perhatian anaknya dengan permainan fizikal seperti set permainan untuk mengurangkan kebergantungan iPad sebagai hiburan.
Selain itu, kongsi kakitangan swasta tersebut, dia juga terpaksa memujuk Sophia secara perlahan-lahan dengan mewujudkan aktiviti-aktiviti lain seperti membaca buku, mewarna dan membawanya ke taman permainan.
Bagi mengulas perkara itu, Dekan Fakulti Sains dan Tingkah Laku di Universiti HELP, Dr. Goh Chee Leong berkata, otak si kecil sejak dilahirkan sehingga berumur 10 tahun sebenarnya telah mula mencari maklumat-maklumat baharu.
Justeru, dia berpendapat penggunaan teknologi itu pada masa kini tidak mendatangkan kesan negatif berbanding televisyen.
Menurutnya, pada kebiasaan golongan kanak-kanak akan menghabiskan masa yang lama apabila menonton televisyen, bagaimanapun proses pembelajaran di TV tidak berlaku secara dua hala.
Begitupun, senarionya berbeza dengan penggunaan telefon pintar atau iPad.
Kebiasaannya purata masa antara 15 hingga 20 minit diambil oleh kanak-kanak untuk melayari aplikasi atau permainan kegemaran mereka dan menariknya ia menjana kecerdasan otak si kecil melalui aktiviti-aktiviti interaktif.
Kanak-kanak mampu mempelajari pelbagai topik menerusi tablet misalnya mengenali huruf abjad, cara-cara menyebut nama-nama binatang dan banyak lagi.
“Pada usia ini, jika pembelajaran tidak dijalankan secara interaktif, ia sebenarnya tidak berguna,” pintasnya.
Kawalan ibu bapa
Bagaimanapun, akui Chee Leong golongan ibu bapa perlu mengawal dan mengawasi penggunaan tablet dalam kalangan kanak-kanak.
“Tempoh masa menggunakan haruslah secara sederhana selain jenis permainan, aplikasi dan laman web yang dilayari tidak bersifat negatif yang boleh memberi kesan kepada minda si kecil,” ujarnya.
Sehubungan itu, ibu bapa turut disarankan membawa anak-anak melakukan aktiviti yang menyihatkan tubuh seperti bermain di taman permainan, mengayuh basikal atau mewarna.
Ia bagi memastikan kanak-kanak tidak terlalu obses dengan tablet selain memahirkan mereka bergaul dengan orang sekeliling.
Dalam pada itu, Chee Leong turut memuji teknologi tablet menerusi skrin sentuh kerana kanak-kanak mampu mengakses maklumat yang banyak berbanding komputer. Teknologi skrin sentuh kini juga sudah banyak diaplikasikan pada laptop.
“Perkara yang menarik mengenai teknologi skrin sentuh, ia mudah digunakan berbanding menggunakan tetikus yang adakalanya menyukarkan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

CHEE LEONG menunjukkan aplikasi pembelajaran yang sesuai menjadi rujukan dan bahan bacaan kanak-kanak.


Bercerita lanjut mengenai teknologi skrin sentuh, Chee Leong memberitahu, anak lelakinya yang berusia tiga tahun juga gemar menggunakan teknologi berkenaan untuk melayari aplikasi-aplikasi menarik.
“Dia berminat dengan cerita atau gambar-gambar yang berkaitan dengan air misalnya air terjun, sungai dan air pancut jadi, saya serta isteri akan membawanya ke lokasi yang mempunyai ciri-ciri dengan air.
“Namun, pada hari ini dengan menggunakan teknologi terbaharu, anak saya bukan sahaja boleh melihat malah mampu membina ciri-ciri gambar yang berkaitan dengan air,” jelasnya sambil menyifatkan teknologi tersebut mampu menjadikan kanak-kanak sebagai peneroka dalam dunia internet.
Teknologi mesra kanak-kanak
Sementara itu, Pengurus Perhubungan Awam Intel Malaysia dan Singapura, Zalinda Zainon berkata, pihaknya menawarkan teknologi baharu yang bersesuaian untuk semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.
Kemudahan teknologi skrin sentuh seperti tablet dan laptop dilihat memudahkan kanak-kanak belajar dengan interaktif dan pantas. Menerusi satu sentuhan sahaja, kanak-kanak boleh melayari aplikasi-aplikasi yang terkandung di dalam gajet itu.
“Ia sesuai digunakan oleh kanak-kanak yang berusia dua hingga lima tahun dengan kawalan ibu bapa,” katanya.
Tambah beliau, jika sebelum ini hanya golongan dewasa boleh menggunakan teknologi tetapi pihaknya kini memberi peluang yang sama kepada golongan kanak-kanak untuk turut merasai keseronokan.
Penggunaan gajet boleh membantu ibu bapa mengawal anak-anak yang aktif daripada bertindak di luar kawalan mereka.
Bagaimanapun, beliau berharap ibu bapa tidak bersikap lepas tangan dan membiarkan anak-anak mereka bermain gajet secara bersendirian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: