Kedua-dua penyampai radio itu berharap jumlah tersebut dapat dicapai menjelang Jumaat ini ketika seri bertemu peminat diadakan.
"Selain mempunyai misi untuk berjabat tangan dengan 20,000 pendengar Suria FM, peluang ini turut digunakan untuk kami beramah mesra dengan mereka yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan.
"Diharap dengan perancangan yang telah diatur untuk bertemu dengan mereka di pelbagai lokasi dapat mencapai misi tersebut," kata Halim ketika ditemui di studio Suria FM Sabah di KK Times Square di sini pada Rabu lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Halim berkata, kedatangan mereka ke Sabah juga untuk meraikan lima pemenang Ronda Impian Ceria Pagi Sabah yang berpeluang menjadi pemandu pelancong untuk mereka melawat tempat-tempat menarik di negeri itu.
Halim berkata, pemenang ditentukan berdasarkan susunan program paling menarik untuk membawa mereka ke tempat-tempat di negeri itu yang terkenal dengan keindahan semula jadi, budaya dan sejarah.
"Setiap hari seorang pemenang akan membawa kami ke tempat-tempat yang telah dicadangkannya dan setakat ini pengalaman berada di sini cukup menarik," jelasnya.
Antara lokasi yang dilawati oleh kedua-dua penyampai itu seperti Pulau Manukan, Jambatan Gantung Tamparuli, Rumah Terbalik, Taman Kinabalu, Taman Buaya Tuaran, Kampung Air Tanjung Aru dan beramah mesra bersama masyarakat Kampung Sipitang.
Tourism Malaysia turut menyokong program berkenaan dengan menyediakan pengangkutan untuk Halim dan Abidah serta krew bagi bertemu pendengar Suria FM.
Dalam pada itu, Adibah berkata, mereka juga turut bersiaran secara langsung untuk segmen Ceria Pagi bermula 6 hingga 10 pagi dari studio stesen radio itu di Kota Kinabalu sepanjang lima hari berada di sana.
"Pengalaman ke udara untuk segmen Ceria Pagi di Sabah sangat bermakna kerana ia bukan seperti kebiasaan namun pengalaman itu menyeronokkan," katanya.
Suria FM Sabah bersiaran bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang dari hari Isnin sehingga Jumaat.
Ia boleh didengari menerusi frekuensi 105.9 FM dan pendengar di Semenanjung Malaysia boleh mendengar siaran tersebut menerusi laman web www.suriafm.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: