Sunday, June 23, 2013

Kiev berpesta api



DUA peserta melakukan persembahan bertenaga yang penuh warna-warni.


PEPATAH ada menyatakan jangan bermain api nanti membakar diri. Bagaimanapun, lain pula ceritanya di Kiev, Ukraine apabila api dijadikan sebagai salah satu elemen bagi menghasilkan persembahan yang unik dan mendebarkan.
Dikenali sebagai Fiesta Api Antarabangsa Kiev, festival yang dimulakan pada tahun 2007 itu pantas meraih populariti bukan sahaja di Ukraine tetapi di seluruh dunia.
Saban tahun, ribuan pelancong berkumpul di bandar raya itu untuk menyaksikan persembahan ahli akrobatik, ahli silap mata, pemuzik jalanan, penari dan pelempar api terbaik dunia.

API dijadikan sebagai satu elemen persembahan yang unik dan mendebarkan di Kiev, Ukraine.


Pada tahun ini, festival itu berlangsung selama dua hari bermula dari 14 hingga 15 Jun lalu.
Ia disertai kira-kira 500 penghibur tempatan dan luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Switzerland, Perancis, Hungary dan Jerman.
“Acara ini merupakan tarikan pelancongan terbaharu di Kiev. Saban tahun, mereka berkumpul untuk menyaksikan persembahan bercahaya dan berwarna-warni oleh barisan penghibur terkenal bertaraf dunia,” kata jurucakap penganjur festival berkenaan.
Katanya, bagi mencipta kelainan, festival tahun ini diberikan tema yang berbeza.
“Selain menyaksikan penyertaan yang lebih ramai, peserta atau kumpulan yang menang juga berpeluang membuat persembahan pentas yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen Rusanovsky.

FESTIVAL ini disertai oleh ahli akrobatik, penari malah ahli silap mata.


“Di samping itu, bagi yang ingin berjinak-jinak dalam persembahan api ini, mereka boleh menyertai kelas yang dikendalikan jurulatih-jurulatih profesional,” ujar kenyataan itu lagi.
Apa yang pasti, jika merancang ke Ukraine, jangan lupa untuk memasukkan Fiesta Api Antarabangsa Kiev dalam kalendar pelancongan anda. Pengalaman menyaksikan acara terbesar dan terhebat ini pasti sukar dilupakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: