Sunday, January 15, 2017

Siti Nordiana Berjaya Kikis Perasaan Malu



Siti Nordiana dalam proses buat single baharu.
PETALING JAYA: Penyanyi Siti Nordiana berkata dia sudah berjaya mengikis perasaan malu yang menebal dalam dirinya sejak setahun  kembali aktif dalam dunia hiburan tanah air.

Siti Nordiana atau lebih mesra dengan sapaan Nana, 33, berkata, dia mendapat semangat baharu sejak setahun lalu iaitu selepas memenangi program realiti Gegar Vaganza musim kedua.

"Saya seorang yang sangat pemalu, kalau nak buat apa-apa mesti tidak jadi kerana rasa malu dan kerdil. Tapi Alhamdulillah sekarang saya berjaya membuangnya.

"Saya dapat semangat baru dan sentiasa menganggap setiap peluang yang datang kepada saya perlu dilakukan sebaik mungkin," ujarnya yang baharu sahaja menamatkan pementasan teater Dia Semanis Honey Muzikal di Istana Budaya pada Khamis.

Teater yang bermula sejak 3 Januari lalu itu mendapat sambutan menggalakkan sehingga dilanjutkan selama tiga hari iaitu sehingga 12 Januari lalu.

Tambah Siti Nordiana, dia cuba memberi lakonan terbaik sepanjang 10 hari teater tersebut dipentaskan.

"Lakonan teater ini berbeza daripada lakonan drama, setiap hari saya mahu buat lebih baik dan tidak boleh ada rasa malu-malu. Saya rasa seronok kerana penonton beri respon yang baik membuatkan saya bersemangat," ujarnya.

Teater tersebut membariskan pelakon-pelakon popular seperti Siti Nordiana, Alif Satar, Marsha Milan, Nadya Syahera, Datin Nina Juren Ahmad Fauzi, Aleeza Shahdan dan Dafi.

Pementasan ini adalah adaptasi dari drama berkenaan yang di siarkan di Astro Ria pada Mei 2016.

Dalam perkembangan lain, katanya, dia bakal digandingkan semula dengan pelakon Alif Satar dalam sebuah drama berjudul Pengantin Musim Salju.

Katanya, penggambaran drama berkenaan akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Saya ambil tawaran berlakon sekali sahaja setahun, ada juga produksi yang tawarkan bergandingan dengan pelakon lelaki lain tapi jadual saya tidak mengizinkan.

"Insya-Allah, saya juga teringin untuk cuba berlakon dengan orang lain jika ada masa yang sesuai," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang perkembangan kerjaya nyanyian, Siti Nordiana berkata dia dalam proses meneribitkan single terbaharunya yang bakal keluar tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: