MADHYA PRADESH - INDIA. Doktor kini mampu tersenyum gembira selepas satu pembedahan memotong sebahagian daripada lidah bayi yang besar menyebabkan dia sukar untuk bernafas berjaya lapor Mirror.co.uk.
Aparajit Lodhi dilahirkan dengan anomali kongenital yang jarang sekali berlaku iaitu Macroglossia, satu istilah perubatan untuk mereka yang mempunyai lidah yang besar.
Selepas gangguan kongenital tersebut dikesan, doktor memberitahu ibu bapa bayi tersebut bahawa anak mereka tidak mampu bertahan lama dengan keadaan itu memandangkan lidahnya akan membengkak dan menyebabkan dia lemas.
Ibu bayi perempuan itu, Mini Lodhi yang berasal dari Jabalpur di India Utara Madhya Pradesh terkejut melihat keadaan anaknya.
“Saya sangat terkejut melihat lidahnya memenuhi seluruh ruang mulutnya dan dia juga sering menangis.
“Tatkala melihat dia di dalam kesakitan dan juga kelaparan namun tiada apa yang mampu saya lakukan kerana pertumbuhan itu membantutkan hasrat untuk menyusunya,” katanya.
Sebelum ini, bayi tersebut diberikan bantuan pernafasan selama empat hari sebelum menjalani pembedahan mengurangkan saiz lidahnya itu.
Ketua Pembedahan Pediatrik, Hospital  dan Kolej Netaji Subhash Chandra Bose,  Dr Argawal berkata bahawa sejak dalam kandungan lagi dia tidak dapat menelan apa-apa.
“Selepas dua jam pembedahan, bayi itu mampu untuk menelan buat kali pertama.” katanya.
Sementara itu, ibu bayi perempuan itu memanjatkan rasa syukur beliau setelah melihat senyuman di wajah anaknya itu.
“Ini merupakan kali pertama saya dapat melihat senyuman di wajah anak kecil saya, akhirnya saya dapat menyusukannya.